#6574: Perbezaan Ahli Hadith dan Ahli al-Ra’yi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Apakah perbezaan yang berlaku di antara ahli al-Hadith dan ahli al-Ra’yi? Boleh Dr tolong jelaskan apakah aliran ini? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”.

(Surah al-Mujadalah: 11)

Ibn Mas’ud RA berkata bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. (Lihatal-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/299)

Bagi merungkai kemusykilan di atas, kami simpulkan berkenaan takrifan Ahli al-Hadith dan Ahli al-Ra’yi adalah sebagaimana berikut:

Ahli al-Ra’yi merupakan pengikut mazhab fiqh aliran ulama yang berada di kota Kufah, Iraq. Aliran ini dipimpin oleh Imam Abu Hanifah serta anak murid kanannya iaitu Imam Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani dan al-Qadhi Abu Yusuf.

Mereka membina mazhab dengan berinspirasikan ajaran fiqh ‘Abdullah bin Mas‘ud RA dan sekalian ashab beliau seperti Ibrahim al-Nakha‘i, ‘Alqamah dan lain-lain. Mereka ini terkenal dengan minda fiqh yang hebat serta aktif dalam pengamalan konsep qiyas dalam mendepani masalah hukum-hakam yang berlaku di wilayah Iraq.

Ibn Mas‘ud juga dikenali sebagai sahabat Nabi yang amat cenderung menuruti fatwa-fatwa ‘Umar bin al-Khattab RA dan ‘Ali bin Abu Talib RA.

Ahli al-Hadith pula merupakan pengikut mazhab fiqh aliran ulama yang berada di kota Madinah Munawwarah, yang terletak di wilayah Hijaz.

Aliran ini diterajui oleh Imam Malik bin Anas, berinspirasikan ajaran fiqh Zaid bin Thabit R.A dan ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma yang terkenal dengan kedahsyatan mereka berpegang dengan Hadith dan Sunnah.

Imam Malik juga menyanjung fatwa-fatwa para Salaf dahulu semisal sekalian Fuqaha’ al-Sab‘ah (7 Mufti) di Madinah Munawwarah iaitu:

  • ‘Ubaidullah bin ‘Abdillah bin ‘Utbah bin Mas‘ud
  • Kharijah bin Zaid bin Thabit
  • Sulaiman bin Yasar
  • Abu Bakr bin ‘Abd al-Rahman
  • Sa ‘id bin al-Musayyib
  • al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakr
  • ‘Urwah bin al-Zubair

Demikianlah takrifan aliran Ahli al-Hadith dan Ahli al-Ra’yi secara ringkasnya.

Perbezaan antara Ahli al-Hadith dan Ahli al-Ra’yi

Menurut Syeikh Dr. Manna‘ al-Qattan dalam Tarikh al-Tasyri‘ al-Islami, (hlm. 287-295), perbezaan antara Ahli al-Hadith dan Ahli al-Ra’yi adalah begitu ketara. Kami simpulkan di dalam jadual seperti berikut:

Ahli al-Ra’yi (أَهْلُ الرَّأْيِ)Ahli al-Hadith (أَهْلُ الْحَدِيثِ)
Berpusat di Kufah, wilayah IraqBerpusat di Madinah, Hijaz
Diterajui oleh Imam Abu HanifahDiterajui oleh Imam Malik bin Anas
Berinspirasikan fiqh Saidina  ‘Abdullah bin Mas‘ud dan para ashab beliauBerinspirasikan fiqh Saidina Zaid bin Thabit, Saidina ‘Abdullah bin ‘Umar dan fatwa-fatwa Fuqaha al-Sab‘ah
Begitu aktif dalam mengaplikasikan metodologi qiyas terhadap nas-nas syarak dalam mengeluarkan fatwa dan pembinaan hukum-hakam.Enggan kerap melakukan Qiyas. Cenderung berfatwa dengan kebergantungan yang maksimum terhadap teks al-Quran, hadith dan riwayat-riwayat (athar) para salafussoleh sahaja.
Banyak menghasilkan perbahasan cabang fiqh yang variasi, futuristik dan pelbagai.Berpada dengan perbahasan apa yang dinyatakan di dalam kitab-kitab hadith dan athar.
Sedikit dalam meriwayatkan hadith, lebih fokus kepada perbahasan fiqh. Mereka juga lebih banyak meletakkan syarat sebelum mengamalkan sesebuah hadith, sebagai langkah berhati-hati.Lebih fokus kepada periwayatan hadith. Mereka bersungguh-sungguh mengamalkan setiap hadith yang didengari; untuk diamalkan dan dijadikan fatwa.
Kerap berbincang, berdiskusi, berdebat, berfikir tentang permasalahan baharu, bersifat inovatif dan semangat inkuiri yang tinggi.Lebih bersifat diam pada perkara yang tidak ada di dalam kitab hadith, mendengar dengan taat terhadap hadith-hadith dan athar Salaf, tidak suka berbalah dan berdebat.

Selain daripada itu, Syeikh Dr.  ‘Amir Fida’ Bahjat, pensyarah Fiqh dan Usul di Universiti Taibah, Madinah Munawwarah turut menyebutkan bahawa wujud persaingan yang dahsyat antara dua aliran ini pada suatu masa dahulu. Ahli al-Hadith lebih banyak menggunakan periwayatan Hadith kerana hadith-hadith sahih berlegar dengan begitu banyak dalam kalangan mereka. Manakala, ahli al-Ra’yi kurang menerima hadith dengan jalur yang sahih berbanding ahli al-Hadith di Madinah. Oleh yang demikian, mereka lebih berhati-hati dalam menerima sebarang riwayat.[1]

Kini, aliran Ahli al-Ra’yi diteruskan oleh mazhab Hanafi. Manakala, aliran Ahli al-Hadith diteruskan oleh mazhab Maliki dan Hanbali. Manakala, mazhab al-Syafi‘i pula cenderung untuk menggabungkan antara Ahli al-Hadith dan Ahli al-Ra’yi serta mengharmonikan kedua-dua metodologi ini. Demikian itu merupakan usaha yang sangat murni dan mulia.

Kesimpulannya

Maka kami simpulkan, ahli al-Hadith adalah ulama fiqh di Madinah Munawwarah suatu masa dahulu, begitu juga ahli al-Ra’yi adalah ulama fiqh di Kufah suatu masa dahulu. Perbezaan yang berlaku antara Ahli al-Hadith dan Ahli al-Ra’yi adalah tentang metodologi penerimaan dalil-dalil syarak serta tata cara pembinaan hukum-hakam. Ahli al-Hadith cenderung menyanjung hadith dan riwayat-riwayat (athar), manakala Ahli al-Ra’yi pula menyanjung sifat kritis terhadap segala nukilan dan gencar mengamalkan konsep qiyas.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ عَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا

Maksudnya: “Ya Allah! Ajarkanlah kami ilmu yang bermanfaat, dan manfaatkanlah dengan ilmu yang Engkau ajarkan kepada kami, dan tambahkan ilmu kami.”

Wallahu a‘lam.

Nota Hujung:

[1] Lihat https://youtu.be/RRfFFSvcNfM?si=kT_KWh4t_TMvqFCj&t=150, minit ke-2:30 hingga akhir. Diakses pada 28 Julai 2024.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *