#6607: Syirik Golongan Yahudi dan Nasrani

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah golongan yahudi dan Nasrani menjadikan kubur nabi mereka sebagai masjid? Mohon penjelasan Dato‘ Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syirik adalah dosa besar yang paling besar. Oleh itu, ianya diletakkan sebagai dosa besar yang pertama daripada 76 dosa besar yang dihimpunkan oleh Imam al-Zahabi dalam kitabnya al-Kaba’ir. Maka jelas syirik merupakan perkara yang sangat diharamkan dalam Islam.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا ‎

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”

(Surah al-Nisa’: 48)

Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, (3/129) berkata: “Allah Ta’ala tidak akan mengampuni dosa syirik yaitu ketika seorang hamba bertemu Allah dalam keadaan berbuat syirik.” Menurut Ibn al-Jauzi, Allah tidak akan mengampuni orang yang musyrik yang mati dalam kesyirikan. Ini bermaksud, jika dia meninggal dunia dalam keadaan sempat bertaubat, maka dia akan selamat daripada azab neraka. (Lihat Zad al-Masir, 2/103)

Syirik (mempersekutukan Allah) dikatakan dosa besar yang paling besar dan kezaliman yang paling besar, kerana ia menyamakan makhluk dengan Khaliq (Pencipta) pada hal-hal yang khusus bagi Allah SWT. Sesiapa yang menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu, maka dia telah menyamakannya dengan Allah dan ini sebesar-besar kezaliman. Zalim adalah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. (Lihat ‘Aqidah al-Tauhid, hlm. 74)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa benar, golongan Yahudi dan Nasrani menjadikan kubur para nabi mereka sebagai masjid bahkan mereka melakukan syirik yang amat besar kepada Allah SWT dengan menjadikan tempat tersebut sebagai tempat ibadah dan penyembahan. Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

قاتَلَ اللَّهُ اليَهُودَ، اتَّخَذُوا قُبُورَ أنْبِيائِهِمْ مَساجِدَ

Maksudnya: “Moga Allah membinasakan orang Yahudi. Mereka menjadikan kubur para nabi mereka sebagai masjid.”

Riwayat al-Bukhari (437)

Apa yang dapat difahami melalui hadith ini adalah bahawa  syirik itu sangat besar dosanya; kerana jalan-jalannya dan perantaraannya juga besar. Asal pembinaan masjid di atas kubur adalah untuk beribadah kepada Allah SWT, namun apabila dikhuatiri kubur itu akan disembah, maka membina bangunan di atas kubur tersebut menjadi salah satu dosa besar. Keagungan dalam perantaraan tersebut menunjukkan betapa besar matlamat dan dosanya.

Selain itu juga, syariat melindungi aspek tauhid dengan perlindungan yang sempurna; di mana semua jalan yang mungkin membawa kepada syirik telah ditutup. (Lihat Syarh Ahadith al-Ahkam, oleh Dr Salim al- ‘Ajmi, hlm.131 )

Justeru, jelaslah kepada kita melalui hadith di atas bahawa golongan Yahudi dan Nasrani mengagungkan para nabi mereka dengan membina masjid di atas kubur-kubur mereka. Oleh yang demikian, membuat binaan masjid di atas kubur adalah tidak dibolehkan kerana ia boleh membawa berlakunya syirik bahkan perbuatan tersebut menyerupai golongan kafir. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Sesiapa  yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031)

Imam al-San‘ani menyatakan, hadith ini menunjukan sesiapa yang menyerupai orang fasiq, atau orang kafir atau ahli bidaah dalam apa-apa perkara yang khusus bagi mereka sama ada pakaian, kenderaan atau cara (gerak-geri), maka dia termasuk dalam kalangan mereka. Jika dia menyerupai orang kafir dalam pakaian (khusus) dan beriktikad untuk jadi seperti mereka, maka dia telah kufur. Jika dia tidak beriktikad demikian, maka para fuqaha berbeza pendapat mengenainya. Ada yang menyatakan dia menjadi kufur dan ada yang berpendapat dia tidak kufur tetapi perlu diadabkan (diambil tindakan oleh pemerintah). (Lihat Subul al-Salam, 2/646-647).

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ أَنْ نَشْرِكَ بِكَ وَنَحْنُ نَعْلَمُ، وَنَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لَا نَعْلَمُ

Maksudnya: “Wahai tuhan kami, kami berlindung dengan-Mu dari menyekutukan-Mu sedangkan kami tahu (perkara itu adalah syirik), dan kami memohon keampunan dari-Mu pada apa yang kami tidak tahu.”

Wallahu a‘lam

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *