#6612:  Kebangkitan Semula Pada Hari Akhirat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh saya dapatkan pencerahan tentang kebangkitan semula manusia selepas mati pada hari kiamat kelak?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

‏ وَضَرَبَ لَنَا مَثَلًا وَنَسِيَ خَلْقَهُ ۖ قَالَ مَن يُحْيِي الْعِظَامَ وَهِيَ رَمِيمٌ ‎﴿٧٨﴾‏ قُلْ يُحْيِيهَا الَّذِي أَنشَأَهَا أَوَّلَ مَرَّةٍ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ خَلْقٍ عَلِيمٌ

Maksudnya: Katakanlah: “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya); “Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu”

(Surah Yasin: 79-80)

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Katakanlah kepadanya wahai Rasulullah: “Yang menghidupkan tulang-tulang itu adalah Zat yang menciptakannya pertama kali tanpa sesuatu apa pun. Dialah Zat yang Maha Mengetahui setiap makhluk dan tidak ada satu pun yang dapat bersembunyi daripada-Nya.”

Kebangkitan semula ini disebutkan oleh para ilmuwan Islam sebagai al-ba‘th (البَعْثُ). Menurut ahli bahasa, kalimah al-ba‘th (البَعْثُ) di sisi orang Arab secara umumnya dapat difahami dengan beberapa maksud yang berbeza, antaranya:

Pertama: Mengutuskan, sebagaimana yang kita dapati dalam firman Allah SWT:

ثُمَّ بَعَثْنَا مِنۢ بَعْدِهِم مُّوسَىٰ وَهَـٰرُونَ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَإِي۟هِۦ بِـَٔايَـٰتِنَا

Maksudnya: “Kemudian Kami utuskan sesudah Rasul-rasul itu, Nabi Musa dan Nabi Harun, kepada Firaun dan kaumnya dengan membawa ayat-ayat Kami.”

(Surah al-A‘raf: 103)

Ia juga terkadang difahami dengan maksud membangkitkan orang yang sedang berbaring atau duduk. Kalimah ini turut difahami dalam konteks yang berbeza, iaitu dibangkitkan semula selepas mati dengan dikeluarkan dari kubur ke tempat untuk berkumpul. Ini difahami menerusi firman-Nya:

ثُمَّ بَعَثْنَـٰكُم مِّنۢ بَعْدِ مَوْتِكُمْ

Maksudnya: “Kemudian kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati.”

(Surah al-Baqarah: 56)

Allah SWT juga berfirman di dalam ayat yang lain:

قَالُوا۟ يَـٰوَيْلَنَا مَنۢ بَعَثَنَا مِن مَّرْقَدِنَا ۜ ۗ

Maksudnya: “(Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: ‘Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?’”

(Surah Yasin: 52)

Adapun menurut istilah, al-ba‘th (البَعْثُ) ini didefinisikan sebagai kebangkitan semula secara fizikal. Menurut Syamsuddin al-Safarini, inilah konteks yang biasanya difahami kerana setiap orang wajib mempercayainya, bahkan boleh membawa kepada kekufuran sekiranya ada yang cuba mengingkari.

Imam Ibn Kathir berkata, ia adalah kebangkitan semula secara roh dan fizikal pada hari kiamat kelak. Dan takrifan yang hampir sama dibawakan oleh Syeikh ‘Abd al-Razzaq ‘Afifi dan Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, iaitu al-ba‘th (البَعْثُ) itu apabila Allah SWT menghidupkan semula orang-orang yang telah meninggal dunia dan mengeluarkan mereka dari kubur pada hari kiamat. (Lihat Lawami‘ al-Anwar al-Bahiyyah, 2/157; Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/395; Fatawa wa Rasa’il ‘Abd al-Razzaq ‘Afifi – Qism al-‘Aqidah, hlm. 231; Syarh Lum‘ah al-I‘tiqad, hlm. 115)

Maha Suci Allah serta Kekuasaan-Nya yang telah memberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW setiap perincian berkenaan kebangkitan semula ini, dan ini disebutkan dalam firman-Nya:

وَنُفِخَ فِى ٱلصُّورِ فَصَعِقَ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَن فِى ٱلْأَرْضِ إِلَّا مَن شَآءَ ٱللَّهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ فَإِذَا هُمْ قِيَامٌۭ يَنظُرُونَ

Maksudnya: “Pada hari ditiup sangkakala yang pertama, lalu matilah semua makhluk di langit dan di bumi melainkan mereka yang dikehendaki oleh Allah. Selepas itu sangkakala ditiup sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangkit menunggu apakah yang akan berlaku kepada mereka.”

(Surah al-Zumar: 68)

Malaikat Israfil akan diperintahkan untuk meniup sangkakala yang akan mematikan semua hidupan di langit dan di bumi kecuali mereka yang Allah SWT menghendaki untuk kekal bernyawa. Kemudian diperintahkan pula untuk ditiup sangkakala buat kali kedua yang disebutkan sebagai tiupan al-ba‘th, iaitu tiupan yang akan membangkitkan semula kesemua makhluk setelah mereka menjadi tulang belulang, mereka kembali hidup lalu melihat kengerian hari kiamat. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/104)

Peristiwa kebangkitan semula ini turut diceritakan dalam ayat yang lain, firman Allah SWT:

وَنُفِخَ فِى ٱلصُّورِ فَإِذَا هُم مِّنَ ٱلْأَجْدَاثِ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يَنسِلُونَ (٥١) قَالُوا۟ يَـٰوَيْلَنَا مَنۢ بَعَثَنَا مِن مَّرْقَدِنَا ۜ ۗ هَـٰذَا مَا وَعَدَ ٱلرَّحْمَـٰنُ وَصَدَقَ ٱلْمُرْسَلُونَ (٥٢) إِن كَانَتْ إِلَّا صَيْحَةًۭ وَٰحِدَةًۭ فَإِذَا هُمْ جَمِيعٌۭ لَّدَيْنَا مُحْضَرُونَ (٥٣)

Maksudnya: “Lalu ditiupkan sangkakala yang kedua, maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing untuk menghadap Tuhan mereka. (51) Pada ketika itu, orang yang tidak percayakan hari kebangkitan berkata: ‘Alangkah celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?’ Lalu dikatakan kepada mereka: ‘Inilah yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh para rasul.’ (52) Hanya dengan satu pekikan sahaja daripada tiupan sangkakala, maka dengan serta merta mereka semua dibawa hadir kepada Kami untuk dibicarakan. (53)”

(Surah Yasin: 51-53)

Mereka keluar dari kubur setelah ditiupkan sangkakala yang kedua dengan kadar segera untuk berkumpul di hadapan Allah, tidak boleh lagi untuk memperlahankan masa atau melewat-lewatkannya. Ketika itu, orang-orang yang mendustakan agama Allah SWT akan berasa sedih dengan menzahirkan rasa sakit hati dan penyesalan. Kebangkitan inilah yang dijanjikan oleh Allah SWT serta Rasul-Nya, maka jelaslah kebenaran mereka dengan di hadapan mata sendiri. Ayat ini sebenarnya bukan hanya ingin mengkhabarkan tentang janji ini sahaja, bahkan ia juga ingin menjelaskan bahawa pada hari tersebut seluruh makhluk akan melihat sifat kasih Allah SWT yang tidak disangka-sangka. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 697)

Rasulullah SAW menceritakan kepada sahabat Baginda bahawa proses kebangkitan semula ini bermula dengan turunnya hujan yang akan menumbuhkan semula daging-daging pada tubuh sekalian makhluk. Abdullah bin ‘Amru R.A meriwayatkan dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda:

ثُمَّ يُنْفَخُ فِي الصُّورِ فَلاَ يَسْمَعُهُ أَحَدٌ إِلَّا أَصْغَى لِيتًا وَرَفَعَ لِيتًا. قَالَ: وَأَوَّلُ مَنْ يَسْمَعُهُ رَجُلٌ يَلُوطُ حَوْضَ إِبِلِهِ. قَالَ: فَيَصْعَقُ وَيَصْعَقُ النَّاسُ، ثُمَّ يُرْسِلُ اللَّهُ – أَوْ قَالَ: يُنْزِلُ اللَّهُ – مَطَرًا كَأَنَّهُ الطَّلُّ أَوِ الظِّلُّ (نُعْمَانُ الشَّاكُّ) فَتَنْبُتُ مِنْهُ أَجْسَادُ النَّاسِ ثُمَّ يُنْفَخُ فِيهِ أُخْرَى فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنْظُرُونَ ثُمَّ يُقَالُ يَا أَيُّهَا النَّاسُ هَلُمَّ إِلَى رَبِّكُمْ

Maksudnya: “Kemudian ditiupkan sangkakala, tetapi ia tidak didengari melainkan seseorang itu akan menyengetkan lehernya pada satu sisi dan menaikkannya dari sisi yang lain. Orang pertama yang akan mendengar tiupan ini adalah seorang lelaki yang sedang melumurkan bekas minuman untanya (dengan tanah liat). Kemudian lelaki tersebut mati, dan orang-orang lain juga mati selepasnya. Lalu Allah menghantarkan – atau menurunkan – hujan yang datang umpama air embun – atau bayang (syak dalam riwayat ini daripada perawi bernama Nu‘man). Maka tumbuh dari air hujan tersebut jasad-jasad manusia, kemudian ditiupkan pula sangkakala seterusnya dan mereka serta-merta bangkit menanti (keputusan masing-masing). Kemudian dikatakan kepada mereka: ‘Wahai sekalian manusia! Marilah kepada Tuhanmu’.”

Riwayat Muslim (2940)

Tumbuhnya daging pada jasad ini telah diumpamakan oleh Allah SWT seperti pohon-pohon yang tumbuh dari tanah selepas disirami dengan air hujan. Oleh yang demikian, perumpamaan ini beberapa kali disebutkan dalam al-Quran agar manusia mengambil pengajaran daripadanya. Firman Allah SWT:

وَهُوَ ٱلَّذِى يُرْسِلُ ٱلرِّيَـٰحَ بُشْرًۢا بَيْنَ يَدَىْ رَحْمَتِهِۦ ۖ حَتَّىٰٓ إِذَآ أَقَلَّتْ سَحَابًۭا ثِقَالًۭا سُقْنَـٰهُ لِبَلَدٍۢ مَّيِّتٍۢ فَأَنزَلْنَا بِهِ ٱلْمَآءَ فَأَخْرَجْنَا بِهِۦ مِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٰتِ ۚ كَذَٰلِكَ نُخْرِجُ ٱلْمَوْتَىٰ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan Dialah Allah yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmat-Nya iaitu hujan, hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ia ke negeri yang tandus, lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu. Kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu pelbagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati, supaya kamu mengambil pelajaran daripadanya.”

(Surah al-A‘raf: 57)

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

وَٱللَّهُ ٱلَّذِىٓ أَرْسَلَ ٱلرِّيَـٰحَ فَتُثِيرُ سَحَابًۭا فَسُقْنَـٰهُ إِلَىٰ بَلَدٍۢ مَّيِّتٍۢ فَأَحْيَيْنَا بِهِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا ۚ كَذَٰلِكَ ٱلنُّشُورُ

Maksudnya: “Dan Allah yang mengutuskan angin, lalu angin itu menggerakkan awan, kemudian Kami menghalakannya ke negeri yang gersang, lalu Kami hidupkan bumi itu dengan hujan daripada awan itu selepas ia dahulunya mati, dan seperti itulah juga berlakunya kebangkitan manusia selepas kematian.”

(Surah Fatir: 9)

Apabila kita teliti dalam dua ayat di atas, Allah SWT sebutkan: “Demikianlah pula Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati” dan “Seperti itulah juga berlakunya kebangkitan manusia selepas kematian”. Ini merujuk kepada persamaan antara ‘kembalinya tubuh manusia itu daripada tanah’ dan ‘tumbuhnya pohon-pohon’ selepas diturunkan hujan. Pohon-pohon itu tumbuh dari benih yang kecil, begitu juga manusia tumbuh semula jasad mereka dari tulang sulbi yang kecil. Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَا بَيْنَ النَّفْخَتَيْنِ أَرْبَعُونَ قَالَ: أَرْبَعُونَ يَوْمًا؟ قَالَ: أَبَيْتُ، قَالَ: أَرْبَعُونَ شَهْرًا؟ قَالَ: أَبَيْتُ، قَالَ: أَرْبَعُونَ سَنَةً؟ قَالَ: أَبَيْتُ، قَالَ: ثُمَّ يُنْزِلُ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَيَنْبُتُونَ كَمَا يَنْبُتُ البَقْلُ، لَيْسَ مِنَ الإِنْسَانِ شَيْءٌ إِلَّا يَبْلَى، إِلَّا عَظْمًا وَاحِدًا وَهُوَ عَجْبُ الذَّنَبِ، وَمِنْهُ يُرَكَّبُ الخَلْقُ يَوْمَ القِيَامَةِ

Maksudnya: “‘Apa yang ada di antara dua tiupan (sangkakala) adalah empat puluh.’ Dia (Abu Hurairah) bertanya: ‘Empat puluh hari?’ Baginda berkata: ‘Aku tidak mahu (menentukannya).’ Dia (Abu Hurairah) berkata: ‘Empat puluh bulan?’ Baginda berkata: “Aku tidak mahu (menentukannya).” Dia (Abu Hurairah) berkata: ‘Empat puluh tahun?’ Baginda berkata: ‘Aku tidak mahu (menentukannya).’ Baginda berkata lagi: ‘Kemudian Allah menurunkan air dari langit dan mereka pun tumbuh sebagaimana tumbuhnya sayur-sayuran. Tidak ada sesuatu pun daripada manusia melainkan hancur (para nabi terkecuali), kecuali satu tulang iaitu tulang sulbi (bahagian terakhir hujung tulang belakang). Dan daripadanyalah akan disusun semula ciptaan (yakni semua makhluk) pada Hari Kiamat’.”

Riwayat al-Bukhari (4935) dan Muslim (2955)

Kata Imam al-Nawawi, tulang sulbi itu adalah perkara pertama yang diciptakan dari seorang manusia, dan ia akan kekal agar dapat kembali dibangkitkan semula penciptaan manusia. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 18/92)

Beginilah secara ringkasnya perihal kebangkitan semula manusia pada hari kiamat selepas dimatikan oleh Allah SWT. Dia jua yang Maha Mematikan dan Menghidupkan segala sesuatu daripada tidak wujud kepada wujud. Semoga kita semua beroleh manfaat dari perbincangan ini, kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Wallahu a‘lam

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *