Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Adakah boleh pesakit yang nazak mewakafkan hartanya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, mewakafkan harta adalah antara amalan yang amat dituntut di dalam Islam. Ini kerana, ganjaran pahala yang berterusan akan diperolehi bagi mereka yang melakukan amalan tersebut ikhlas kerana Allah SWT. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

(Surah Ali-Imran:92)

Wakaf  pada bahasa bererti menahan dari dijual beli dan lain-lain (الْحَبْسُ عَنِ التَّصْرِفِ). Perkataan wakaf, tahbis (تَحْبِيسُ) dan tasbil (تَسْبِيل) adalah membawa makna yang sama. Dengan makna itu, di kebanyakan negara Arab, Kementerian Hal Ehwal Wakaf disebut (وزَارًةُ الاَوْقَافِ). Hanya negara Maghribi sahaja dipanggil (وِزَارَةُ الاَحْبَاسِ).

Para fuqaha telah bersepakat memberi takrif wakaf dari sudut bahasa dengan “al-Habs” yang bererti menahan kerana ia lebih hampir kepada pengertian syarak. Ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Saidina Umar R.A, sabda Rasulullah SAW:

إِنْ شِئْتَ حَبَسْتَ أَصْلَهَا وَتَصَدَّقْتَ بِهَا

Maksudnya: “Sekiranya engkau mahu, tahanlah (wakafkanlah) pokoknya dan bersedekah (di jalan Allah) akan buahnya (hasilnya).”

Riwayat al-Bukhari (2772)

Ibn Hajar menjelaskan: “Iaitu mewakafkannya dan bersedekah dengan manfaat (yang terhasil) daripadanya.”  (Lihat Fath al-Bari, 5/401)

Wakaf dari segi syarak pula bermaksud menahan harta itu pada jalan Allah untuk diberi manfaatnya kepada golongan fakir dan musafir dengan mengekalkan ainnya (asal) sebagai pemilik pemberi wakaf.

Pengertian wakaf sepertimana ditakrifkan oleh ulama mazhab Syafi’i adalah:

حَبْسُ مَالٍ يُمْكِنُ الاِنْتِفَاعُ بِهِ مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهِ بِقَطْعِ التَّصَرُّفِ فِي رَقَبَتِهِ عَلَى مَصْرِفٍ مُبَاحٍ مَوْجُودٍ

Maksudnya: “Penahanan harta yang boleh diambil manfaatnya dan berkekalan ‘ain harta itu. Dengan gugurnya hak milik pewakaf ke atas permannfaatan perkara-perkara yang mubah (tidak haram)”. ( Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/376 )

Secara ringkas, wakaf boleh difahami sebagai menahan harta benda yang kekal ainnya (zatnya) yang boleh diambil atau digunakan manfaatnya untuk tujuan kebajikan dan diserahkan ke tempat atau pihak yang ditentukan, serta terhalang daripada boleh digunakan secara berleluasa terhadap benda yang diwakafkan dan dimanfaatkan itu dengan harapan ianya dapat mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah Mengetahuinya.”

(Surah Ali-Imran: 92)

Dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim, Imam Ibn Kathir ada menyatakan satu kisah berkaitan Abu Talhah RA yang mewakafkan satu telaga yang paling disukainya demi mendapat redha Allah SWT dan RasulNya. ( Lihat Tafsir al-Quran ‘Azim, 1/496 )

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan pesakit yang berada dalam keadaan nazak atau sakaratu al-maut hanya dibenarkan untuk mewakafkan tidak lebih daripada satu pertiga hartanya. Ini bertujuan memelihara kepentingan pewaris-pewarisnya. Sekiranya pesakit ini mewakafkan satu pertiga (1/3) atau kurang, wakaf ini dibenarkan bagi memelihara kepentingan dirinya sendiri untuk menerima balasan pahala selepas kematiannya (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/13). Berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Saad bin Abi Waqqas RA, katanya:

كانَ رَسُولُ الله صَلَّى اللهُ عليهِ وَسَلَّم يَعُودُنِي عَامَ حَجَّةِ الْوَدَاعِ مِن وَجَعِ اشْتَدَّبِي، فَقُلتُ: إِنِّي قَد بَلَغَ بِي مِن الوَجَعِ، وَأَنَا ذُو مَالٍ، وَلا يَرِثُنِي إِلَّا ابْنَةٌ، أَفَأَتَصَدَّقُ بِثُلُثَي مَالِي؟ قال: لا فقلتُ: بالشطر ؟ فقال : لا ، ثم قال: الثلث، والثلث كَبِيرٌ أَو كَثِيرُ، إِنَّكَ أَن تَذَرَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِن أَن تَذَرَهُم عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ.

Maksudnya: “Pada tahun Hajjatul Wada’, Rasulullah SAW telah menziarahiku kerana sakitku yang semakin tenat. Lalu, aku bertanya: “Aku dalam keadaan sakit yang tenat dan aku seorang yang berharta dan warisku hanyalah seorang anak perempuan. Adakah boleh aku sedekahkan dua pertiga daripada hartaku?” Baginda bersabda: “Tidak.” Aku berkata: “Separuh?” Baginda bersabda: “Tidak.” Kemudian sabdanya: “Satu pertiga. Satu pertiga pun sudah besar dan banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya adalah lebih baik daripada kamu tinggalkan mereka dalam keadaan melarat, meminta-minta belas ihsan daripada orang lain.”

Riwayat al-Bukhari (1233) dan Muslim (1628)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama merafa‘kan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam