Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana jika makanan telah disediakan, dalam masa sama, waktu solat telah masuk? Dan benarkah ada hadith dalam isu ini, di mana diutamakan makan dahulu berbanding solat sekiranya makanan telah tersedia.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat merupakan salah satu rukun daripada rukun Islam dan ia juga merupakan penanda dalam membezakan antara orang yang beriman dan juga orang yang kafir sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith. Untuk itu, setiap orang yang beriman perlulah mengetahui dan mempelajari hukum-hakam berkaitan solat.

Solat adalah satu ibadah yang wajib ditunaikan oleh semua yang bergelar Muslim iaitu yang melafazkan dua kalimah syahadah. Firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang.”

(Surah al-Baqarah: 43)

Sabda Nabi SAW:

بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ ، شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke baitullah bagi yang mampu.”

Riwayat al-Bukhari (7)

Perkataan solat adalah diambil daripada bahasa Arab. Ia adalah merupakan kata nama terbitan (masdar) daripada kata kerja (fi’il); solla, yusolli, solatan yang membawa maksud doa, al-istighfar, al-maghfirah, al-Islam, al-din. ( Lihat al-Mu’jam al-‘Arabi al-Asasi, 1/746)

Allah SWT berfirman:

وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ

Maksudnya: Dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka.”

( Surah al-Taubah: 103)

Dari sudut istilah Fiqh, solat bermaksud beberapa perkataan dan perbuatan, yang didahului dengan takbir dan diakhiri dengan salam, mengikut syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 1/257)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Ia dinamakan solat kerana ia mengandungi doa yang merupakan unsur yang banyak di dalamnya. Hal ini kerana menggunakan nama juzuk untuk maksud keseluruhannya (إطلاقا لاسم الجزء على الكل). (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/309)

Menurut Kamus Dewan, solat dalam bahasa Melayu diertikan sebagai sembahyang iaitu perbuatan menyembah Allah dan secara khususnya ia dilaksanakan di dalam Solat fardu yang lima.

Kelebihan Solat Awal Waktu dan Berjemaah

Solat pada awal waktu dan solat berjemaah sememangnya thabit kelebihannya dalam banyak hadith, antaranya:

أَىُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ ‏”‏ الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا ‏”‏‏.‏ قَالَ ثُمَّ أَىُّ قَالَ ‏”‏ ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ ‏”‏‏.‏ قَالَ ثُمَّ أَىّ قَالَ ‏”‏ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ‏”‏‏

MaksudnyaApakah amalan yang paling dicintai disisi Allah SWT? Nabi menjawab “Solat pada waktunya”. Dia (perawi) bertanya lagi kemudian apa, jawab Baginda: “Berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” Dia bertanya lagi kemudian apa, jawab Baginda “Jihad pada jalan Allah SWT.”

Riwayat al-Bukhari (5970)

Dalam hadith lain, diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: “Solat berjemaah lebih baik (afdhal) daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali darjat.”

 Riwayat al-Bukhari (645) dan Muslim (1477)

Dalam riwayat lain pula menyatakan :

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا

Maksudnya: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian.”

Riwayat Muslim (1504)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang dapat 25 darjat dan ada yang dapat 27 berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/183)

 

Antara Makan atau Solat Dahulu

Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat riwayat yang menyatakan hal sedemikian. Kami nukilkan di sini beberapa riwayat yang menunjukkan hal tersebut:

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا وُضِعَ العَشَاءُ وَأُقِيمَتِ الصَّلاَةُ، فَابْدَءُوا بِالعَشَاءِ

Maksudnya: “Apabila dihidangkan makanan (makan malam) dalam keadaan solat didirikan maka mulakanlah dengan makanan.” 

Riwayat al-Bukhari (5463)

Di dalam riwayat yang lain, juga daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا حَضَرَ الْعَشَاءُ، وَأُقِيمَتِ الصَّلَاةُ، فَابْدَءُوا بِالْعَشَاءِ

Maksudnya: “Apabila telah datang makanan (makan malam) dalam keadaan solat didirikan maka mulakanlah dengan makanan.” 

Riwayat Muslim (557)

Melihat kepada dua hadith yang sahih di atas, maka jelas menunjukkan kepada terdapat perintah daripada Nabi SAW untuk mendahulukan makan sebelum solat.

Di samping itu, terdapat sebuah lagi hadith yang umum menunjukkan larangan solat ketika terhidangnya makanan:

 Daripada Aisyah RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لَا صَلَاةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ، وَلَا هُوَ يُدَافِعُهُ الْأَخْبَثَانِ

Maksudnya: “Tidak sempurna solat apabila makanan telah dihidangkan ataupun ketika seseorang itu menahan daripada dua benda kotor (buang air kecil dan besar).” 

Riwayat Muslim (560)

Imam al-Tirmizi berkata di dalam Jami’nya:

وَعَلَيْهِ العَمَلُ عِنْدَ بَعْضِ أَهْلِ العِلْمِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْهُمْ: أَبُو بَكْرٍ، وَعُمَرُ، وَابْنُ عُمَرَ، وَبِهِ يَقُولُ أَحْمَدُ، وَإِسْحَاقُ يَقُولَانِ: يَبْدَأُ بِالعَشَاءِ وَإِنْ فَاتَتْهُ الصَّلَاةُ فِي الجَمَاعَةِ

Maksudnya: “Hadith ini diamalkan oleh sebahagian ahli ilmu daripada kalangan sahabat Nabi SAW. Antaranya ialah Abu Bakar, Umar dan Ibn Umar. Ini juga merupakan pendapat Imam Ahmad dan Ishak. Mereka berdua berkata: Mulakanlah dengan makanan walaupun kamu terlepas melaksanakan solat secara berjemaah.” (Lihat Jami’ al-Tirmizi, 2/184)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas berkata:

فِي هَذِهِ الْأَحَادِيثِ كَرَاهَةُ الصَّلَاةِ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ الَّذِي يُرِيدُ أَكْلَهُ لِمَا فِيهِ مِنِ اشْتِغَالِ الْقَلْبِ بِهِ وَذَهَابِ كَمَالِ الْخُشُوعِ وَكَرَاهَتِهَا مَعَ مُدَافَعَةِ الْأَخْبَثَيْنِ وَهُمَا الْبَوْلُ وَالْغَائِطُ وَيَلْحَقُ بِهَذَا مَا كان في معناه مما يَشْغَلُ الْقَلْبَ وَيُذْهِبُ كَمَالَ الْخُشُوعِ وَهَذِهِ الْكَرَاهَةُ عِنْدَ جُمْهُورِ أَصْحَابِنَا وَغَيْرِهِمِ

Maksudnya: “Pada hadith-hadith ini menunjukkan kemakruhan solat ketika terhidangnya makanan yang ingin dimakannya kerana perbuatan ini akan menyibukkan hati dengannya (makanan) dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. Makruh juga bagi orang yang solat dalam keadaan menahan dua perkara yang kotor, iaitu membuang air kecil dan besar. Maka dengan itu, apa yang boleh difahami adalah (solat ketika makanan terhidang) hal ini akan menyibukkan hati dan menghilang kesempurnaan khusyuk. Kemakruhan ini adalah di sisi jumhur ashab kami (ulama’ al-Syafi’eyyah) dan selain daripada mereka.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/46)

Selain itu, Imam Ibn Qudamah menyebut berkenaan pentingnya khusyuk dan juga melapangkan hati di dalam solat sebagaimana yang dinyatakan ini:

إِذَا حَضَرَ الْعَشَاءُ فِي وَقْتِ الصَّلاَةِ فَالْمُسْتَحَبُّ أَنْ يَبْدَأَ بِالْعَشَاءِ قَبْل الصَّلاَةِ؛ لِيَكُونَ أَفْرَغَ لِقَلْبِهِ وَأَحْضَرَ لِبَالِهِ، وَلاَ يُسْتَحَبُّ أَنْ يَعْجَل عَنْ عَشَائِهِ أَوْ غَدَائِهِ

Maksudnya: “Apabila telah tersedia makan ketika waktu solat, maka sunat dimakan terlebih dahulu sebelum daripada solat. Ini kerana, ia akan melapangkan hati dan menghadirkan khusyuk. Selain itu, tidak disunatkan untuk tergesa-gesa ketika makan malam atau makan tengahari.” (Lihat al-Mughni, 1/655)

Beliau turut menyebut:

قَال أَصْحَابُنَا: إِنَّمَا يُقَدِّمُ الْعَشَاءَ عَلَى الْجَمَاعَةِ إِذَا كَانَتْ نَفْسُهُ تَتُوقُ إِلَى الطَّعَامِ كَثِيرًا، وَنَحْوَهُ قَال الشَّافِعِيُّ

Maksudnya: “Telah berkata ashab kami (ulama’ bermazhab Hanabilah): Sesungguhnya didahulukan makan daripada solat berjemaah jika dirinya cenderung kepada makanan (lebih daripada solat) dan Imam al-Syafie berkata seperti itu juga.” (Lihat al-Mughni, 1/655)

Penutup

Kami berpendapat bahawa hukum orang yang solat dalam keadaan makanan telah tersedia hukumnya adalah makruh jika didirikan solat dalam keadaan waktu solat itu masih lama berbaki dan dalam keadaan ini maka sunat untuk dia makan terlebih sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di atas.

Akan tetapi, jika waktu solat itu sudah hampir tamat, maka pada waktu ini hendaklah ditunaikan solat terlebih dahulu sebelum memakan makanan yang telah tersedia itu.

Sepertimana dijelaskan di atas, sememangnya terdapat nas atau hadith yang menceritakan agar didahulukan makan berbanding solat jika masih mempunyai waktu untuk didirikan solat tersebut. Ini kerana, seseorang itu perlu mendirikan solat dalam keadaan penuh khusyuk dan hati yang tenang.

Akhir kalam, semoga Allah SWT menerima solat-solat kita serta menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa bangun untuk melaksanakan solat kepada-Nya. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H

Leave a Reply