Soalan
Assalamualaikum ustaz. Ada sesetengah makmum membaca bacaan dalam solat dengan terlalu kuat, sehingga terkadang mengganggu makmum lain yang turut solat berjemaah. Mohon nasihat dan pandangan ustaz dalam isu ini.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Rukun dibahagikan kepada tiga iaitu rukun qalbi (hati), rukun qauli (pertuturan atau bacaan) dan rukun fi’li (perbuatan). Antara rukun yang utama di dalam solat ialah rukun qauli. Ianya dinamakan sebagai rukun qauli disebabkan rukun-rukun ini wajib untuk dibaca oleh orang menunaikan solat yang sekurang-kurangnya bacaan tersebut didengari oleh telinganya sendiri.
Syeikh al-Sayyid Abdullah al-Hadrami menyebutkan di dalam kitabnya bahawa: “(Rukun) Qauliah ada lima: Takbiratul Ihram pada awal solat, membaca surah al-Fatihah pada setiap rakaat, tasyahud dan selawat ke atas Nabi SAW serta salam, ketiga-tiganya pada duduk yang terakhir.” (Lihat Safinah al-Naja hlm. 44)
Justeru, daripada kenyataan tersebut, dapat difahami bahawa terdapat lima rukun qauli, iaitu:
- Takbiratul ihram
- Bacaan Surah al-Fatihah
- Bacaan tasyahhud akhir
- Selawat ke atas Nabi Muhammad pada tasyahhud akhir
- Salam
Kesemua rukun-rukun qauli ini perlu dibaca, disebutkan dan dilafazkan sehingga mengeluarkan suara sekadar bacaan yang boleh didengari oleh dirinya. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh Manhaj al-Tullab, 1/189)
Syeikh Abu Bakar Syata al-Dimyati turut menegaskan perkara ini dengan katanya: “(Dan wajib mendengar) yakni Takbiratul ihram itu oleh orang yang bersolat itu sendiri, sekiranya pendengarannya baik, dan tiada dihalang dengan benda yang mendatang contohnya bunyi bising, (seperti seluruh rukun qauli) daripada al-Fatihah, Tasyahhud akhir dan memberi salam.” (Lihat I`anah al-Talibin, 3/295)
Menurut Imam al-Nawawi pula, bacaan yang paling minimum untuk rukun qauli adalah dibaca dengan senyap iaitu bacaan tersebut boleh didengari oleh dirinya sendiri jika dia seorang yang boleh mendengar. (Lihat Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftin, 1/242)
Dalam kitab al-Majmu’ pula, beliau menyebut: “Bagi makmum maka sunat untuk memperlahankan suara sama ada ketika solat sendiri ataupun berjemaah. Dan kadar minimum ialah suaranya boleh didengari oleh telinganya sendiri jika dia mempunyai pendengaran yang elok dan tiada halangan untuk menyebutnya. Ini termasuklah bacaan al-Fatihan, surah, tasbih, tasyahhud, salam, doa dan lain-lain. Tidak kiralah bacaan yang wajib mahupun sunat. Kesemuanya tidak dikira sehinggalah dia mendengar sendiri apa yang dibaca.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/394)
Syeikh Muhammad al-Zuhaili turut menyebut: “Hendaklah dia mendengar (apa yang dibaca) dirinya sendiri, sekiranya mempunyai pendengaran yang baik, dan tidak ada padanya gangguan bunyi dan sebagainya. Sekiranya mempunyai masalah pada lisannya (pertuturan) atau bisu, maka hendaklah digerakkan apa yang termampu baginya. Digerakkan kedua bibirnya dan anak tekaknya dengan kadar yang termampu. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/241)
Begitu juga yang ditegaskan dalam kitab al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arba’ah dengan menyebut: Jawapan bagi persoalan (adakah seseorang itu disyaratkan untuk mendengar bacaan al-Fatihahnya) adalah, tiga daripada para imam mujtahid bersepakat bahawa jika sekiranya sekiranya seseorang itu tidak mendengar bacaannya, maka ia tidak dianggap sebagai membacanya. (Lihat al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah, 1/201)
Dalam menjawab isu di atas, kami nyatakan seperti berikut:
Pada asasnya, seseorang makmum ditegah daripada membaca dengan kuat di belakang imam, bahkan sepatutnya dia membaca dengan perlahan sekadar hanya boleh didengari oleh dirinya sendiri. Imam al-Nawawi menyebut fakta ini dalam al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (3/364): “Apabila kita berpendapat bahawa wajib bagi makmum untuk membaca (al-fatihah) ketika solat jahar (yang dibaca kuat seperti subuh dan solat Jumaat), (tetapi) makruh bagi makmum untuk menguatkan (bacaannya) sampai mengganggu jirannya (yakni orang lain sekelilingnya) bahkan hendaklah dia memperlahankan (suaranya) sampai hanya boleh didengar oleh dirinya sendiri, jika dia seorang yang sami` (tidak pekak) dan tiada suatu yang menyibuk (atau mengacau bacaan itu) daripada bunyi bising dan selainnya, kerana itulah sekurang-kurang kadar bacaan yang memadai.”
Sekalipun kenyataan di atas menunjukkan larangan makruh, namun sebahagian para ulama Syafieyyah menegaskan keharamannya apabila ia mengganggu orang lain, kerana itu adalah mudarat. Berkata Imam Ba Fadhl dalam al-Muqaddimah al-Hadhramiah: “Dan diharamkan menguatkan suara sekiranya mendatangkan tasywisy (mengacau bacaan) atas orang lain.”
Perbezaan pendapat ini cuba diharmonikan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam al-Minhaj al-Qawim (hlm. 125-126): “[Dan diharamkan] ke atas setiap seorang untuk menguatkan bacaan semasa solat atau diluarnya [jika mengacau orang lain] seperti orang yang sedang bersolat, yang sedang membaca al-Quran, atau tidur, kerana mendatangkan mudarat, dan merujuk bagi ucapan yang mengacau itu sekalipun terhadap fasiq kerana tidak diketahui melainkan daripadanya. Apa yang disebut daripada hukum haram itu adalah yang zahir (daripada nas al-Muqaddmah al-Hadhramiah), tetapi dinafikan pengharaman itu dengan kalam (Imam al-Nawawi) dalam al-Majmu’ dan selain itu, maka bahawasanya itu seakan-akan yang sarih (yang jelas) ialah bukan hukum haram, melainkan jika cuba dihimpunkan (kedua-dua pendapat itu) dengan kemungkinan bahawa makruh jika tasywisy (pengacauan) itu hanyalah ringan.”
Larangan ini relevan kerana Syariat Islam tertegak atas dasar menolak kemudaratan. Sebuah hadis Nabi SAW yang menjadi kaedah fiqh menyebut:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
]Begitu juga dalam Busyra al-Karim (hlm. 286), al-Allamah al-Habib Ba `Isyn bersetuju dengan pengharmonian tersebut dan memasukkan situasi jika tidak terdapat keuzuran: “[Dan diharamkan] ke atas orang yang sedang bersolat, dengan syarat tiada keuzuran, untuk [menguatkan bacaan] di dalam solat dan di luarnya [sekiranya mengacau orang lain] seperti orang yang bersolat, membaca al-Quran dan selain kedua mereka, kerana mendatangkan mudarat.
Dan diambil (faham) daripada ucapan yang mengacau itu, termasuklah larangan jika berlaku kepada orang yang fasiq sekalipun, kerana tidak diketahui melainkan daripadanya. (Hukum haram ini) jika pengacauan itu bersifat melampau. Jika tidak melampau, maka hukumnya adalah makruh. Dengan cara ini, maka harmonilah khilaf (yang disebutkan diatas). Adapun jika terdapat keuzuran, seperti suasana bising sehingga seseorang itu memerlukan untuk menguatkan suara, lalu dia mendatangkan bacaan berdasarkan keadaan itu, maka tidak makruh atau haram.” (Lihat Busyra al-Karim, hlm. 286)
Suka untuk kami sebutkan juga di sini beberapa pengecualian di mana boleh makmum itu menguatkan suara. Antaranya:
- Suara Muballigh. Sekiranya suara imam itu perlahan sehingga dikhuatiri tidak sampai kepada Jemaah yang berada dibelakang, disunatkan bagi makmum itu bertindak sebagai muballigh (penyampai) akan suara imam itu dengan dia menguatkan suaranya. Berkata Syeikh al-Jamal dalam Hasyiah-nya (1/367): [Berkata Imam Zakariyya al-Ansari: dan disunatkan menguatkan suara untuk memperdengarkan bagi imam dan muballigh] yakni jika terdapat hajat bagi melakukan itu, seperti mana yang disebut oleh Imam al-Ramli, kerana itu adalah zikir untuk menunjukkan perpindahan.”
- Membaca Amin selepas al-Fatihah imam. Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam al-Majmu` (3/371): “Sekiranya solat itu itu solat sirriyyah (membaca dengan suara perlahan seperti solat Zuhur) maka imam dan selainnya baca amin secara perlahan kerana mengikut keadaan bacaan (al-Fatihah) itu. Sekiranya jahriyyah (solat dengan bacaan kuat seperti solat Subuh) dan dibaca kuat semasa bacaan (al-Fatihah) maka digalakkan bagi makmum untuk menguatkan suara semasa mengucapkan Amin tanpa khilaf sepertimana yang dinaskan oleh Imam al-Syafie dan disepakatan oleh para Ashab.”
Justeru, berdasarkan perbahasan di atas, dapat kita simpulkan poin-poin berikut:
- Makruh hukumnya bagi seorang makmum membaca kuat semasa solat berjemaah kerana boleh mengganggu orang lain dan mereka hanya disunatkan membaca dengan perlahan sekadar didengari oleh diri sendiri.
- Jika makmum membaca kuat sehingga begitu mengganggu orang lain, dan juga mengacau bacaan orang yang berada di sebelah, maka hukumnya adalah haram.
- Tidak haram mahupun makruh jika tidak mengganggu orang lain, dan terdapat keuzuran seperti bunyi bising. Namun tidak diwajibkan untuk menguatkan suara jika terdapat bunyi bising, memadai dia membaca kadar suara pada keadaan yang tidak bising.
- Disunatkan untuk makmum menguatkan suara apabila mengucapkan amin selepas bacaan al-Fatihah Imam dalam solat jahriyyah, termasuk juga sewaktu qunut, dan bagi makmum yang menjadi muballigh.
Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada kita semua.
Wallahu a’lam.
Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H