Soalan

Apakah hukum mengambil wudhu’ dalam keadaan memakai produk kosmetik?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat serta yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari kesudahan.

Daripada Abdullah bin Amr R.Anhuma, beliau berkata:

تَخَلَّفَ عَنَّا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفْرَةٍ سَافَرْنَاهَا فَأَدْرَكَنَا وَقَدْ أَرْهَقَتْنَا الصَّلَاةُ وَنَحْنُ نَتَوَضَّأُ فَجَعَلْنَا نَمْسَحُ عَلَى أَرْجُلِنَا فَنَادَى بِأَعْلَى صَوْتِهِ وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنْ النَّارِ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا

Maksudnya: “Nabi SAW pernah terlewat menyertai kami dalam suatu perjalanan yang kami lakukan. Ketika Baginda menyusuli kami, waktu solat sudah hampir habis. Kami lalu berwudhuk dengan hanya mengusap kaki kami (tidak sempurna membasuhnya).  Maka Nabi SAW menyeru dengan suara yang keras: “Celakalah bagi tumit-tumit yang masuk neraka.” Baginda menyeru hingga dua atau tiga kali.

Riwayat al-Bukhari (60)

Hadis ini menunjukkan kepentingan untuk menyempurnakan wudhu’ dan memastikan air wudhu’ benar-benar mengenai anggota wudhu’.

Sekiranya ada yang menghalang air untuk lalu pada anggota wudhu’, ia menyebabkan wudhu’ tersebut tidak sah. Imam al-Nawawi menyebutkan: “Jika sekiranya di atas sebahagian anggota badannya terdapat lilin, tepung atau inai dan seumpamanya, yang mana ia menghalang air daripada sampai kepada anggota tersebut, maka tidak sah taharahnya, sama ada benda itu sedikit ataupun banyak. Namun, jika di atas tangannya atau pada anggota badan yang lain masih tersisa kesan inai dan warnanya tanpa zatnya, atau kesan minyak yang cair yang mana air akan menyentuhi kulit anggota badan tersebut, dengan mengalir dan tidak melekat, maka sah taharahnya itu.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/467).

Begitu juga antara syarat sah wuduk sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani adalah: “…tiada apa-apa penghalang pada anggota wudhu’ untuk sampai kepadanya seperti minyak goreng padat  (frying fat), lilin, dakwat dan inai. Berbeza pula kesan dakwat dan kesan inai [tidak ada masalah]. (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 108).

Justeru, jika bahan kosmetik itu menghalang air wudhu’ daripada sampai ke kulit, maka wajib ditanggalkan dengan sempurna sebelum berwudhu’. Namun, dimaafkan jika kesan bahan kosmetik itu, terlalu nipis sehingga tidak menghalang air daripada kulit dan terlalu sedikit. Wallahu a’lam.

Bertarikh 4 November 2021 M bersamaan 28 Rabi’ al-Awwal 1443 H

Leave a Reply