Soalan

Saya sudah berkeluarga dan mempunyai dua anak perempuan dan seorang anak lelaki yang masih kecil. Keadaan rumah kami yang kecil, jadi saya tidak mampu sediakan bilik berasingan antara anak lelaki dan perempuan. Soalan saya adakah boleh anak lelaki dan perempuan saya tidur sebilik tetapi berasingan tempat tidur?

Jawapan

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Rasulullah SAW bersabda:

مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا، وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

Maksudnya: “Perintahkan anak-anak kamu untuk menunaikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika mereka berusia sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur di antara mereka.”[1]

Majoriti fuqaha berpendapat bahawa wajib kepada bapa atau wali memisahkan tempat tidur anak-anak ketika berumur 10 tahun sama ada anak-anak tersebut sesama jantina atau lelaki dan perempuan mahupun antara anak dan ibu atau bapanya. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 38/34]

Ketika mengulas arahan “pisahkan tempat tidur di antara mereka”, Ibn Ruslan berkata: “Antara lelaki. Adapun pemisahan antara lelaki dan perempuan adalah lebih utama. Maksud pemisahan itu bermaksud mengasingkan tilam antara satu sama lain.”[2] Badr al-Din al-‘Aini pula menjelaskan: “[Pemisahan] tempat tidur. Ini kerana jika mereka mencapai umur 10 tahun, mereka menghampiri umur minima had akil baligh dan zakar mereka mula menegang. Maka, dikhuatiri berlaku sesuatu yang buruk.”[3]

Berkata Imam al-Subki bahawa memisahkan tempat tidur dilakukan dengan dua cara sama ada untuk setiap anak satu tilam atau kedua-duanya setilam tetapi berpisah dan tidak bersentuhan.[4]

Dapat difahami daripada huraian para ulama’ ini, pemisahan itu boleh berlaku samada sebilik tetapi tidak bersentuhan dan lebih baik lagi, pemisahan bilik. Sekiranya hanya terdapat dua bilik dan salah satunya bilik ibu bapa, maka perlu diutamakan untuk menyediakan bilik anak perempuan. Ini sebagai langkah berjaga-jaga daripada timbulnya sebarang perkara tidak baik pada masa akan datang.

Saya amat memahami, penyediaan rumah yang selesa bergantung kepada kemampuan individu masing-masing. Namun begitu, kami menasihatkan supaya ibu bapa sentiasa berusaha mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak dalam urusan keluarga. Jika tidak mampu sediakan bilik yang berasingan, usahakan untuk dipisahkan dengan tirai atau apa-apa yang sesuai. Firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu”[5]

Wallahu a’lam.

Bertarikh 6 November 2021 M bersamaan 30 Rabi’ al-Awwal 1443 H

[1] Riwayat Ahmad (6689) Abu Daud (495)

[2] Sharh Sunan Abi Daud li Ibn Ruslan, 3/364.

[3] Sharh Sunan Abi Daud li al-‘Aini, 2/416.

[4] Qadha’ al-Arb fi As’ilah Halab, m. 248.

[5] Surah al-Taghaabun: 16.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *