Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Alhamdulillah, kami lafazkan sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW apabila menerima nikmat dengan lafaz:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya telah sempurna pelbagai kebaikan.”

Alhamdulillah, pada hari ini, Isnin, 21 Safar 1446 Hijrah bersamaan 26 Ogos 2024 Masihi, dengan izin Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana, kami berjaya menyempurnakan jawapan dalam aplikasi al-Inarah dan juga Maktabah al-Bakri sehingga mencapai 7000 soalan. Usaha ini bermula hampir tiga tahun yang lalu, tepatnya pada 10 Januari 2022. Alhamdulillah.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pembantu yang bertugas siang dan malam tanpa mengenal erti penat lelah dalam menjayakan aplikasi al-Inarah yang amat mencabar ini. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada para penyelidik, pembantu media, serta semua pihak yang telah memberi sumbangan secara langsung atau tidak langsung. Kepada mereka semua, saya rakamkan dengan ucapan:

جَزَاكُمُ اللهُ خَيْرَ الْجَزَاء

Sesungguhnya, usaha ini memerlukan komitmen dan ketekunan serta usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh. Kami yakin dan percaya, sebagaimana kata pujangga Arab:

إذا كُنتَ ذا رأيٍ فَكُنْ ذا عَزيمَةٍ             فإنَّ فَسادَ الرأيِ أنْ تَترددا

“Jika kamu mempunyai pemikiran yang baik, maka sertakanlah dengan azam. 

         Ini kerana rosaknya pemikiran apabila kamu tidak tetap pendirian.”

Lebih manis lagi, peristiwa ini berlaku berdekatan dengan Hari Kemerdekaan Malaysia serta hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, yang membawa obor ilmu, hikmah, dan makrifah, di samping keunggulan akhlak yang menjadi contoh dan teladan kepada kita semua. Insya Allah, kami bertekad untuk terus memberikan jawapan demi jawapan dengan mengharapkan taufiq dan hidayah daripada-Nya. Semoga usaha ini diberkati dan diredhai oleh Allah SWT.

Kami juga dengan rendah hati memohon pandangan daripada semua pihak, termasuk para ulama, untuk menunjukkan kepada kami pandangan yang mungkin terkhilaf, yang akan kami ruju’ daripada khilaf tersebut jika ternyata benar. Hal ini berdasarkan ucapan Saidina Umar ibn al-Khattab R.A:

الرُّجُوعُ إلَى الْحَقِّ خَيْرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي الْبَاطِل

Maksudnya: “Kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.”

Riwayat al-Daraqutni (4/206)

Kami mengakhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.” 

 

Leave a Reply