SOALAN

Bolehkah saya bertemu semula dengan kucing peliharaan kesayangan saya yang telah meninggal dunia di akhirat nanti ?

JAWAPAN

Abu Hurairah R.A berkata:

إن الله يحشر الخلق كلهم، كل دابة وطائر وإنسان، يقول للبهائم والطيركونوا ترابًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan makhluk kesemuanya (pada hari akhirat kelak). (Iaitu) setiap haiwan, burung-burung, dan juga manusia. Lalu Allah berkata kepada haiwan-haiwan dan juga burung: ‘’Jadilah kamu tanah’’.( Lihat Tafsir al-Tabari, 24/181)

Keadaan haiwan di akhirat kelak tidaklah sama dengan keadaan umat manusia. Dari sudut amalan mereka tidak akan dihitung pada kebaikan dan keburukannya, begitu juga mereka tidak dimasukkan ke dalam syurga-syurga Allah seperti golongan manusia yang bertakwa. Sebaliknya, kesemua haiwan akan menjadi debu tanah pada hari akhirat kelak.

Walaupun begitu, perlu kita fahami bahawa ahli syurga akan mendapat apa sahaja yang diinginkannya. Firman Allah SWT:

لَهُم مَّا يَشَاءُونَ فِيهَا وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ

Maksudnya: “Buat mereka (para penghuni syurga) apa sahaja yang mereka mahukan dan di sisi kami ada penambahan (nikmat).”

(Surah Qaf: 35)

Imam Ibn Jarir al-Tabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata: ‘’Bagi golongan mereka ini yang bertakwa apa sahaja yang mereka mahukan di dalam syurga. Yang mana telah disediakan kepada mereka apa sahaja yang jiwa mereka mahukan serta keindahan-keindahan buat pemandangan mereka’’. (Lihat Tafsir al-Tabari, 22/367).

Firman Allah SWT:

لَهُمْ فِيهَا فَاكِهَةٌ وَلَهُم مَّا يَدَّعُونَ

Maksudnya: “Buat mereka (para penghuni syurga) buah-buahan di dalam syurga dan buat mereka apa sahaja yang mereka minta.” 

(Surah Yasin: 57)

Kata Imam al-Baghawi: ‘’Bagi mereka (para penghuni syurga) itu apa sahaja yang mereka cita-citakan dan juga apa sahaja yang mereka mahukan.’’ (Lihat Tafsir al-Baghawi, 7/22).

Firman Allah SWT:

وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ

Maksudnya: “…dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.”

(Surah Fussilat: 31)

Imam Al-Tabari meletakkan sebuah riwayat bahawa seorang Arab Badwi bertanya kepada Rasulullah SAW:

يا رسول الله إني أحبّ الإبلَ فهل في الجنة إبل فقال يا أعرابيّ إنْ يُدْخِلْكَ اللهُ الجَنَّةَ إنْ شاءَ اللهُ فَفِيها ما اشْتَهَتْ نَفْسُكَ وَلَذَّتْ عَيْنَاك

Maksudnya: ‘’Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mencintai unta. Adakah di syurga nanti ada unta?’’ Lalu baginda berkata: ‘’Wahai Arab Badwi, sekiranya Allah memasukkan kamu ke dalam syurga Insya-Allah, maka di dalamnya terdapat apa sahaja yang kamu kehendaki dan melazatkan pemandangan matamu”. (Lihat Tafsir al-Tabari, 2/641).

Justeru, walaupun haiwan akan menjadi debu tanah di hari akhirat nanti, ahli syurga diberi keistimewaan untuk mendapatkan apa jua keinginan mereka. Hal ini termasuklah untuk bersama-sama dengan haiwan peliharaannya. Wallahu a’lam.

Leave a Reply