Soalan
Assalamualaikum ustaz. Oleh kerana malam ini adalah malam Rejab, saya ada terdengar tentang hadis berkenaan lima malam yang tidak ditolak doa padanya, di mana antaranya ialah di awal Rejab. Sejauh manakah kesahihan hadis tersebut? Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Dalam menjawab persoalan di atas, ia bukanlah hadis daripada Nabi SAW, dan tidak ada para ulama hadis yang meriwayatkannya secara bersanad kepada Nabi SAW kecuali riwayat al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus (2/196) dan Ibn Asakir dalam Tarikh Dimasyq (10/408). Dan dalam sanad tersebut, terdapat Ibrahim bin Abi Yahya, dan yang lain juga ditohmah. Demikianlah al-Hafiz Ibn Hajar telah mendha’ifkannya dalam kitab al-Talkhis al-Habir.
Akan tetapi, para ulama’ ada yang meriwayatkan nas ini daripada kalam sebahagian sahabat dan tabi’in. ‘Abd al-Razzaq telah mengeluarkannya dalam al-Musannaf (4/317) secara mauquf kepada Ibn ‘Umar. Dikeluarkan juga oleh al-Baihaqi secara mauquf daripada Abi al-Darda’ dalam al-Sunan al-Kubra (3/319). Pada sanad-sanad mereka juga dhaif.
Imam al-Syafi’i berkata: Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan, “Sesungguhnya doa dimustajabkan pada lima malam..” dan aku berpendapat, sunat dan baik setiap apa yang aku nyatakan ini pada malam-malam ini, tetapi ia bukanlah bermakna kefardhuan. (Lihat al-Umm, 1/264)
Pendapat Imam al-Syafi’i ini amat berhati-hati sehingga mendatangkan dalam bentuk sighah balaghana (بلغنا) dan kalimat yuqal (يقال) dengan maksud ‘dikatakan’ sepertimana yang terdapat dalam kitab al-Umm. Walaupun begitu, bagi sesiapa yang ingin melakukan amalan dan berdoa, maka bolehlah dia melakukannya. Begitulah juga pada malam-malam dan hari-hari yang lain. Mudah-mudahan Allah SWT memustajabkan dan mengabulkan doa kita. Amin.
Di samping itu, kita juga tidak menafikan bahawa bulan Rejab adalah termasuk daripada bulan-bulan haram yang memiliki kelebihannya yang tersendiri, di mana kesemuanya adalah terdiri daripada empat bulan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang benar dalam memahami agama ini. Amin.
Wallahua’lam.
Bertarikh: 2 Februari 2022 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1443H