#384 Perbezaan Antara Iblis dan Jin

Rated 0 out of 5
RM6.00
-69%

Buku Fizikal

Solat Sunat Tahajjud

Rated 0 out of 5
RM5.00RM35.00
-32%

Siri Kematian

Fiqh Jenazah

Rated 0 out of 5
RM8.00RM15.00

Siri Solat Sunat

Solat Hari Raya

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Istisqa

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM10.00
-58%
Rated 0 out of 5
RM100.00

Siri Solat Sunat

Solat Musafir

Rated 0 out of 5
RM5.00

Soalan

Apakah perbezaan dan persamaan antara jin dan iblis?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Menjawab persoalan diatas, kami kemukakan dahulu persamaan dan perbezaan antara jin dan iblis.

Antara persamaan mereka:

Pertama: Iblis dan jin daripada jenis yang sama iaitu dicipta daripada api seperti yang terdapat di dalam nas-nas. Firman Allah SWT:

Firman Allah SWT:

وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِن قَبْلُ مِن نَّارِ السَّمُومِ

Maksudnya: Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.[1]

Ibn Kathir menukil riwayat daripada Ibnu Abbas RA, menyatakan, sesungguhnya jin itu dijadikan daripada api yang marak dan menyala-nyala. Selain itu, riwayat daripada Amru bin Dinar menyatakan jin dijadikan daripada nyalaan matahari.[2]

Begitu juga dengan kata-kata Iblis yang bongkak dengan penciptaannya daripada api sebagaimana katanya di dalam firman Allah SWT:

قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِّنْهُ خَلَقْتَنِي مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُ مِن طِينٍ ‎‏

Maksudnya: Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikannya dari tanah.”[3]

Al-Tobari menyatakan di dalam tafsirnya: Iblis menyatakan bahawa tangannya lagi keras daripada Adam, dia lebih kuat daripada sudut kekuatan berbanding Adam, dan jenisnya diciptakan lebih baik daripada Adam diciptakan iaitu daripada api.[4]

Kedua: Iblis dan jin tersebut tidak dapat dilihat pacaindara kasar, kecuali dengan izin Allah

Firman Allah SWT:

إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. [5]

Dalam mentafsirkan ayat (وَقَبِيلُهُ) Imam al-Qurtubi menyebut bahawa ia memberi makna kepada tentera-tentera syaitan. Selain itu Imam Mujahid berpendapat (وَقَبِيلُهُ) adalah dari golongan jin dan syaitan. Begitu juga, pada pendapat yang lain perkataan (وَقَبِيلُهُ) memberi maksud sebagai generasi atau keturunan syaitan. Imam Qurtubi menyebutnya lagi bahawa, mengikut sesetengah pendapat ulama, ayat ini merupakan dalil bahawa jin tidak boleh dilihat. Dikatakan lagi bahawa, harus untuk melihat golongan jin. Ini kerana sekiranya dikehendaki oleh Allah SWT untuk memperlihatkan mereka, maka Allah SWT akan membuka hijab supaya dapat dilihat jasad dan tubuh badan mereka. [6]

Ketiga: Mereka adalah makhluk Allah yang juga dikenakan taklif sebagaimana manusia. Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya : Dan tidaklah aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku.[7]

Imam al-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya bahawa ayat di atas ini jelas menunjukkan bahawa golongan jin dan manusia adalah termasuk dalam arahan untuk beribadah kepada Allah S.W.T. Ini seperti yang disebutkan oleh Saidina Ali bin Abi Talib RA dalam menghuraikan maksud ayat di atas dengan katanya: Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk Aku perintahkan kepada mereka agar beribadah. [8]

Imam Al-Qadhi Badr Al-Din Al-Syibli menyebut: Ini adalah antara beberapa ayat yang menunjukkan golongan jin termasuk dalam kalangan mukallaf dan mereka itu turut termasuk dalam ayat suruhan dan juga ayat larangan. [9]

Begitu juga dengan firman Allah SWT yang menunjukkan jin juga termasuk dalam mukallaf:

قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الْجِنِّ فَقَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا ‏(1) يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ ۖ وَلَن نُّشْرِكَ بِرَبِّنَا أَحَدًا ‎

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan! `Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.[10]

Dr. Wahbah Zuhaili menyebut di dalam tafsirnya bahawa ayat di atas menerangkan, terdapat pelbagai faedah daripada kisah di dalam ayat ini, di antaranya menjelaskan bahawa golongan jin juga diberi taklifan dan tanggungjawab mengikut syariat Islam seperti mana golongan manusia. Begitu juga, di antara kalangan mereka itu terdapat golongan yang beriman dan mereka menyeru kepada golongan jin yang kafir agar beriman kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada seluruh makhluk termasuk manusia, jin dan malaikat. (Lihat Tafsir al-Munir 29/163)

Keempat: Mereka diciptakan terlebih dahulu daripada manusia

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن صَلْصَالٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ ﴿٢٦﴾ وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِن قَبْلُ مِن نَّارِ السَّمُومِ

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. (26) Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.[11]

Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya bahawa Allah menjadikan jin sebelumnya, iaitu sebelum manusia diciptakan, daripada api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma. Ibn Abbas berkata, iaitu api yang membunuh. [12]

Manakala Perbezaan antara Iblis dan Jin pula ialah:

Pertama: Setiap iblis dan syaitan termasuk dalam kalangan jin, dan bukan semua jin adalah iblis dan syaitan. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam menggambarkan sikap iblis yang berasal daripada golongan Jin:

فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ ۗ

Maksudnya: lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya.[13]

Imam al-Tobari menyatakan di dalam tafsirnya: Iblis bukanlah dari kalangan malaikat sama sekali, dengan hanya sekali pandang (dapat difahami dari ayat ini), sebaliknya Iblis adalah asal-usul kepada jin sepertimana Adam itu asal-usul kepada manusia.[14]

Kedua: Iblis dan syaitan termasuk dalam makhluk yang dilaknat sedangkan jin tidak semestinya.

Firman Allah SWT:

وَإِنَّ عَلَيْكَ لَعْنَتِي إِلَىٰ يَوْمِ الدِّينِ

Maksudnya:Dan sesungguhnya engkau (iblis) ditimpa laknatku terus menerus hingga ke hari kiamat!”[15]

Al-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya: Allah menyatakan bahawa Iblis dalam kalangan yang dilaknat, dibuang dan dijauhkan daripada rahmat-Nya sehingga hari pembalasan disebabkan oleh kekafirannya. Hal ini kerana laknat ini memutuskan segalanya, kemudian apabila dimasukkan ke neraka menujukkak kebenaran laknat tersebut.[16]

Ketiga: Iblis dan syaitan adalah kafir, sedangkan jin terbahagi kepada dua, ada islam dan ada yang kafir.

Bukti Iblis dalam kalangan kafir sebagaimana Firman Allah SWT:

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.

Al-Baghawi di dalam tafsirnya menyebut: Kebanyakan ahli tafsir menyebut bahawa Allah sudah mengetahui bahawa iblis dalam kalangan kafir yang wajib bagi mereka penderitaan.[17]

Manakala dalam kalangan jin pula, terdapat yang beriman dan yang kufur. Firman Allah SWT:

Firman Allah SWT:

وَأَنَّا مِنَّا الْمُسْلِمُونَ وَمِنَّا الْقَاسِطُونَ ۖ فَمَنْ أَسْلَمَ فَأُولَـٰئِكَ تَحَرَّوْا رَشَدًا

Maksudnya: `Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang berugama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar,[18]

Dr. Wahbah Zuhaili di dalam tafsirnya menyebut, ayat di atas menceritakan tentang golongan jin ini sesetengah daripada mereka beriman, taat dan beramal soleh kepada Allah SWT dan sesetengah daripadanya melakukan kezaliman dan menyimpang daripada jalan kebenaran dan kebaikan… (الْقَاسِطُونَ) bermaksud golongan jin yang kafir, mereka menyeleweng daripada pertunjuk yang benar. Dan mereka ini akan dimasukkan ke dalam neraka Allah SWT. [19]

Keempat: Iblis dapat penangguhan hukuman, tetapi jin tidak begitu.

Firman Allah SWT:

قَالَ رَبِّ فَأَنظِرْنِي إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ (79) قَالَ فَإِنَّكَ مِنَ الْمُنظَرِينَ (80) إِلَىٰ يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ

Maksudnya: Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat) “.Allah berfirman: ” Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh – ” Hingga ke hari masa yang termaklum “.[20]

Imam al-Alusi berkata: Firman Allah SWT “إِلَىٰ يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ” (Hingga ke hari – masa yang termaklum), khilaf pada penggunaan kalimah tersebut, yang masyhurnya adalah hari tiupan sangkakala yang pertama ( يوم النفخة الأولى ) bukannya pada hari kebangkitan makhluk ( (يوم البعث kerana hari kebangkitan itu bukannya hari kematian. Tetapi sebahagian mereka ada yang membenarkan untuk maksud ( يوم البعث ) iaitu hari kebangkitan bukannya pada hari tiupan sangkakala yang pertama, dan tidak semestinya syaitan itu tidak mati, boleh jadi syaitan itu mati pada hari pertama kemudian dalam masa yang sama ia dibangkitkan bersama makhluk-makhluk lain.[21]

Kesimpulan

Sebagai penutup, jelaslah bahawa iblis dan syaitan ini merupakan musuh manusia yang terang lagi jelas. Allah menceritakan akan kewujudan syaitan yang sentiasa menjadi musuh nombor satu kepada manusia. Firman Allah :

يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ كَمَآ أَخْرَجَ أَبَوَيْكُم مِّنَ ٱلْجَنَّةِ يَنزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْءَٰتِهِمَآ

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup)…[22]

Begitu juga dengan firman Allah SWT:

أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَن لَّا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya:Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu![23]

Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya: ini merupakan ejekan dari Allah Ta’ala kepada orang-orang kafir dari golongan Bani Adam yang mentaati syaitan. Padahal syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi mereka, serta bermaksiat kepada Allah Yang Mahapemurah. Padahal Dia-lah Yang menciptakan mereka dan memberikan rizki kepada mereka. [24]

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini dan menjauhkan kita daripada godaan dan tipu daya syaitan. Kami akhiri dengan doa:

نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ غَضَبِهِ وَعِقَابِهِ وَشَرِّ عِبَادِهِ وَمِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وَأَنْ يَحْضُرُونِ

Maksudnya: Kami berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna dari murka dan seksa-Nya, dan dari kejahatan hamba-hamba-Nya dan daripada godaaan  syaitan,  serta  daripada kedatangan mereka kepada kami.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 2 Februari 2022 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Hijr, 27

[2] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 4/458

[3] Surah al-A’raf: 12

[4] Lihat Tafsir al-Tobari, 12/327

[5] Surah al-A’raf: 27

[6] Lihat Tafsir al-Qurtubi, 7/186

[7] Surah Al-Dzariyat: 56

[8] Lihat Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, 17/52

[9] Lihat Akam Al-Marjan fi Ahkam Al-Jaan, hlm. 63

[10] Surah al-Jin: 1-2

[11] Surah al-Hijr: 27

[12] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 4/533

[13] Surah al-Kahfi: 50

[14] Lihat Tafsir al-Tobari, 15/286

[15] Surah Sad: 78

[16] Lihat Tafsir al-Qurtubi, 15/229

[17] Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/82

[18] Surah al-Jin: 14

[19] Lihat Tafsir al-Munir, 29/170

[20] Surah Sad: 79-81

[21] Lihat Ruh al-Ma’ani, 8/91

[22] Surah Al-‘Araf : 27

[23] Surah Yasin: 60

[24] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/584

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Home
Account
Cart
Search