Soalan
Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan, siapakah yang dimaksudkan dengan wali Allah? Dan bagaimanakah untuk seseorang itu layak digelar sebagai wali Allah? Mohon pencerahan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Definisi Wali dan Wali Allah SWT
Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, al-Wali (الْوَلْيِ) dari sudut bahasa bermaksud “dekat atau hampir” (الْقُرْبُ). Ia disebut “waliyyahu, walyan” (وَلِيَهُ وَلْيًا) iaitu hampir kepadanya. Dan “wali al-Amr” (وَلِيَ الأمْرَ), apabila berurusan dengannya dan “Tawalla al-Amr” (تَوَلَّى الأمْرَ) iaitu dilantik akan dia.
Dari sudut istilah, al-Wilayah (الْوِلَايَةُ) digunakan sebagai ketua yang tertinggi, qadhi, tentera dan selainnya. Terdapat pelbagai maksud yang digunakan pada kalimah Wali atau Wilayah, ia juga memberi maksud sebagai wakil atau penjaga seperti yang diibaratkan sebagai wali di dalam nasab keturunan, wakil dalam pembahagian harta dan lain-lain lagi. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/135)
Selain itu, pada maksud yang lain al-Wilayah (الْوِلَايَةُ) berlawan dengan al-A’dawah (العداوة), secara asalnya ia bermaksud kasih sayang dan hampir. Dan maksud al-A’dawah (العداوة) ialah kebencian dan jauh. (Lihat al-Furqan Baina Aulia’ al-Rahmah dan aulia’ al-Syaitan, hlm 9)
Berkenaan istilah Wali Allah SWT, ia bermaksud golongan orang yang beriman dan mereka itu menerima perintah Allah SWT dengan penuh ketaatan dan menjauhi segala kemaksiatan. Dan mereka ini, dekat dan hampir kepada Allah SWT dengan penuh rasa kasih sayang, hidayah dan petunjuk. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/135-137)
Ibnu Abi I’zz al-Hanafi mentakrifkan perkataan al-Wali (الولي) kata lawannya al-A’du (العدو) iaitu musuh, kata dasar daripada al-Wala’ iaitu dekat dan hampir. Wali Allah ialah golongan yang dekat dengan Allah SWT dan dipermudahkan urusannya serta di beri rasa kasih sayang ke atasnya. Mereka hampir dengan Allah SWT dengan keredhaan-Nya. (Lihat Syarah al-Tahawiyyah, 2/509)
Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan mereka para wali Allah adalah golongan yang mendapat berita gembira pada kehidupan di dunia dengan mendapat pertolongan dan memperolehi petunjuk yang benar di dunia selagi mana mereka berlandaskan syariat Allah SWT di dalam kepercayaan mereka, mendiri solat, menunaikan zakat, menyeru kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran. (Lihat al-Tafsir al-Wasit li Zuhaili, 2/987)
Imam al-Syaukani menyatakan di dalam kitabnya, mereka yang dihitung sebagai wali Allah mestilah beriman kepada Allah SWT, malaikat-Nya, kitab yang diturunkan-Nya, para rasul dan takdir yang baik dan buruk seperti yang diperintah oleh Allah SWT. Meninggalkan apa yang dilarang serta memperbanyakkan ketaatan kepada Allah SWT maka mereka ini digelar sebagi wali Allah. Dan sesiapa yang bersikap sebaliknya maka mereka itu bukanlah daripada wali Allah, bukanlah tergolong di dalam naungan rahmaniah (rahmat Allah) bahkan mereka tergolong di dalam syaitaniah (tipu daya syaitan). (Lihat Qatr al-Wali ala Hadis al-Wali, 1/256)
Dengan ini, dapat difahami bahawa golongan para wali Allah merupakan golongan yang dekat dan hampir kepada Allah SWT berlandaskan keimanan dan ketakwaan dengan melakukan amalan berlandaskan syariat Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dan mereka juga sentiasa dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat kerana ketakwaan dan keimanan mereka.
Golongan Yang Digelar Wali Allah
Terdapat pelbagai ayat suci al-Quran yang mencerita dan menerangkan perihal golongan yang digelar sebagai wali Allah SWT. Sememangnya wali-wali Allah SWT merupakan golongan yang diberi kedudukan yang istimewa berdasarkan tingkat keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT:
أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّـهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ﴿٦٢﴾ الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ
Maksudnya: “Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.”
(Surah Yunus: 62-63)
Ibnu Kathir mentafsirkan ayat di atas menyatakan, Allah SWT memberitahu bahawa wali Allah mereka ini adalah golongan yang beriman dan bertakwa. Dan bagi setiap orang yang bertakwa termasuk di dalam golongan yang digelar sebagai wali Allah, dan mereka ini tidak akan berdukacita iaitu dengan ganjaran pada hari akhirat dan mereka juga tidak bersedih dengan keadaan di dunia. (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 4/242)
Syeikh al-Maraghi menyebut: Sesungguhnya wali Allah adalah mereka yang melakukan ibadah dengan penuh keikhlasan dan hanya bertawakkal kepada Allah SWT. Dan mereka ini tidak menagih kasih sayang selain daripada kasih sayang Allah SWT serta tidak mengharap pertolongan daripada sesuatu melainkan pertolongan Allah SWT. Mereka tidak akan dukacita pada hari akhirat seperti yang dihadapi golongan kuffar, fasiq dan zalim ketika menanti balasan di akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/129)
Kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-Nya yang bertakwa dan beramal soleh sehingga Allah SWT mengishtiharkan permusuhan-Nya terhadap sesiapa yang memusuhi kekasih-Nya iaitu para wali Allah. Ini seperti yang digambarkan di dalam hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW. Allah SWT berfirman:
مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ
Maksudnya: “Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku akan mengishtiharkan perang terhadapanya.”
Riwayat al-Bukhari (6502)
Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa yang dimaksudkan golongan wali Allah adalah orang yang mengenali Allah serta melakukan ketaatan dengan bersngguh-sungguh, ikhlas dalam melakukan ibadah. (Lihat Fath al-Bari, 11/342)
Ibn Daqiq al-‘Id di dalam syarahnya menyatakan: Sesungguhnya Allah SWT memberi amaran kepada sesiapa yang memusuhi wali-Nya. Dan wali Allah mereka adalah golongan yang berpandukan apa yang disyariatkan oleh Allah SWT. Justeru, seseorang itu hendaklah berwaspada supaya tidak menyakiti hati para wali Allah. (Lihat Syarah al-Arbai’n al-Nawawi li Ibn Daqiq al-A’id, 1/127)
Berdasarkan kepada nas dan pandangan yang diberikan, boleh dikatakan bahawa para wali Allah merupakan golongan yang mengasihi dan dikasihi Allah SWT serta golongan yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT dengan melakukan amal ma’ruf dan nahi mungkar berpandukan syariat yang dibawa oleh Baginda SAW.
Golongan para wali Allah juga adalah mereka yang membantu dalam urusan agama Allah SWT serta mereka juga diberi pertolongan daripada Allah SWT dalam segenap aspek kehidupan di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:
هُنَالِكَ الْوَلَايَةُ لِلَّـهِ الْحَقِّ ۚ هُوَ خَيْرٌ ثَوَابًا وَخَيْرٌ عُقْبًا
Maksudnya: “Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).”
(Surah al-Kahfi, 44)
Syeikh al-Sya’rawi menyebut di dalam kitabnya bahawa Allah SWT memberi bantuan kepada golongan hamba-Nya yang beriman. Dan golongan para wali Allah mereka ini menolong di jalan Allah SWT maka Allah SWT juga akan menolong mereka. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 3/1410)
Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menjelaskan, bahawa setiap umat manusia daripada golongan mukmin dan kafir akan kembali kepada perintah dan patuh kepada Allah SWT. Al-Wilayah bermaksud penguasa, pemerintah, pembantu, penghukum. Allah SWT sebaik-baik pemberi balasan. Dan sebaik-baik ganjaran Allah SWT adalah kepada golongan para wali Allah dari kalangan orang yang beriman dengan memberi bantuan dan balasan di dunia dan akhirat. (Lihat al-Tafsir al-Munir li Zuhaili, 15/256)
Kesimpulan
Berdasarkan nas dan kenyataan di atas, kami nyatakan bahawa para wali Allah itu boleh dikenali dengan sifat keimanan dan ketakwaan mereka terhadap Allah SWT. Dan sifat para wali Allah sentiasa mendahului perintah Allah SWT dan syariat yang dibawa Baginda SAW daripada kehendak dirinya dan manusia. Mereka juga sentiasa menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran.
Oleh itu, tiada sesiapa yang boleh menentukan secara pasti atau muktamad bahawa seseorang itu adalah wali kecuali Allah SWT. Manusia hanya dapat menilai seseorang itu hanya zahir amalannya sahaja dan sebaiknya kita bersangka baik terhadap sesama manusia. Ini kerana hanya Allah SWT yang Maha mengetahui zahir dan batin hamba-Nya. Firman Allah SWT:
إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اهْتَدَىٰ
Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
(Surah al-Najm: 30)
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 24 Februari 2022 bersamaan 22 Rejab 1443H