Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apakah hukumnya jika seseorang meletakkan patung di dalam rumah atau keretanya, dengan tujuan sebagai perhiasan semata-mata?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Patung

Menurut Kamus Dewan, patung boleh ditakrifkan sebagai sesuatu bentuk manusia, atau binatang, atau seumpamanya, yang dibuat daripada batu, logam dan lain-lain. Manakala anak patung pula bermaksud patung kecil yang dijadikan permainan oleh kanak-kanak. Menurut Kamus Pelajar pula, patung juga boleh didefinisikan sebagai bentuk orang atau binatang yang diukir daripada batu dan lain-lain. Anak patung pula bermaksud barang permainan kanak-kanak yang berupa orang.[1]

Larangan Menyimpan Patung dan Mengukirnya

Terdapat larangan dalam beberapa hadith mengenai menyimpan dan meletakkan patung di dalam rumah serta mengukirnya. Antaranya ialah hadith, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.”

Riwayat al-Bukhari (3225) dan Muslim (2016)

Dalam hadith yang lain juga, Rasulullah SAW bersabda:

أنَّ أُمَّ حَبِيبَةَ، وأُمَّ سَلَمَةَ ذَكَرَتا كَنِيسَةً رَأَيْنَها بالحَبَشَةِ فِيها تَصاوِيرُ لِرَسولِ اللهِ ﷺ، فَقالَ رَسولُ اللهِ ﷺ: إنَّ أُولَئِكَ، إذا كانَ فِيهِمُ الرَّجُلُ الصّالِحُ، فَماتَ، بَنَوْا على قَبْرِهِ مَسْجِدًا، وصَوَّرُوا فيه تِلْكِ الصُّوَرَ، أُولَئِكِ شِرارُ الخَلْقِ عِنْدَ اللهِ يَومَ القِيامَةِ.

Maksudnya: Bahawasanya Ummu Habibah dan Ummu Salamah Ranhuma teringat kepada tempat ibadat yang mereka pernah melihatnya di Habsyah yang terdapat patung-patung berhala di dalamnya dan menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Maka, Rasulullah SAW bersabda: “Pada satu ketika dahulu ada seorang lelaki yang soleh kemudian dia meninggal dunia. Maka, penduduk di situ mereka membina tempat ibadah di atas kuburnya dan mengukirkan patung-patung tersebut untuknya. Mereka itulah seburuk-buruk ciptaan di sisi Allah SWT pada hari Kiamat.

Riwayat Muslim (528)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata bahawa hadith ini menunjukkan kepada pengharaman mengukir dan menyimpan patung. ( Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 1/525)

Begitu juga, dalam satu hadith lain yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas’ud bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ أشَدَّ النّاسِ عَذابًا يَومَ القِيامَةِ المُصَوِّرُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya manusia yang paling pedih azabnya di hari Kiamat ialah orang-orang yang mengukir patung (untuk disembah).”

Riwayat al-Bukhari (5606) dan Muslim (2108)

Allah SWT juga memberi ancaman kepada golongan yang mengukir patung ini supaya menciptakan juga biji benih dan zarah. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَن أظْلَمُ مِمَّنْ ذَهَبَ يَخْلُقُ كَخَلْقِي، فَلْيَخْلُقُوا حَبَّةً، ولْيَخْلُقُوا ذَرَّةً

Maksudnya: Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengubah sesuatu sepertimana ciptaan-Ku? Hendaklah mereka itu menciptakan juga biji dan juga zarah.”

Hal ini kerana ayat-ayat al-Quran menunjukkan bahawa sifat membuat dan mengubah rupa bentuk merupakan salah satu daripada sifat yang khusus bagi Allah SWT iaitu al-Musawwir (المصوّر). Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

هُوَ الَّذِي يُصَوِّرُكُمْ فِي الْأَرْحَامِ كَيْفَ يَشَاءُ ۚ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah ‘Ali Imran: 6)

وَلَقَدْ خَلَقْنَاكُمْ ثُمَّ صَوَّرْنَاكُمْ ثُمَّ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ لَمْ يَكُن مِّنَ السَّاجِدِينَ

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.”

(Surah al-‘Araf: 11)

Hukum Meletakkan Patung Sebagai Perhiasan

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Talhah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ

Maksudnya:  “Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.”

Riwayat al-Bukhari (3225) dan Muslim (2016)

Imam al-Nawawi berkata: Menurut para ulama’, antara sebab yang menghalang malaikat daripada masuk ke dalam rumah adalah kerana terdapat gambar (makhluk bernyawa). Ini disebabkan perbuatan meletakkan gambar itu merupakan maksiat yang amat keji dan seolah-olah menyerupai ciptaan Allah SWT manakala sebahagian daripada gambar-gambar tersebut dijadikan sembahan.

Oleh itu malaikat tidak akan masuk ke dalam rumahnya, tidak melakukan solat di dalamnya, tidak meminta keampunan bagi penghuninya, tidak memohon keberkatan seterusnya tidak melindungi penghuni rumah tersebut daripada gangguan syaitan.

Malaikat-malaikat yang tidak masuk ke dalam rumah tersebut ialah Malaikat Rahmah iaitu malaikat yang memohon keberkatan dan keampunan bagi penghuninya. Adapun Malaikat Hafazah, mereka masuk ke dalam setiap rumah dan tidak pernah berpisah dengan manusia dalam apa jua keadaan kerana mereka diperintahkan untuk mencatat setiap amalan manusia. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 7/207)

Al-Mubarakfuri berkata: Ungkapan “لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ” adalah dengan maksud malaikat rahmah, bukan malaikat hafazah (yang sentiasa bersama manusia dan mencatat perilakunya) dan bukan juga malaikat maut (yang mencabut nyawa). Ungkapan “بَيْتًا” adalah dengan maksud tempat tinggal. Maksud “صُورَةُ تَمَاثِيلَ” pula ialah gambar (berbentuk) manusia dan binatang. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/88)

Dalam riwayat yang lain, daripada Abi al-Hayyaj al-Asadi, bahawa Ali bin Abi Talib R.A telah berkata kepadanya: “Tidakkah mahu aku ingatkan engkau sepertimana Rasulullah SAW ingatkan aku, bahawa:

لاَ تَدَعْ تِمْثَالاً إِلاَّ طَمَسْتَهُ

MaksudnyaJanganlah engkau tinggalkan patung kecuali engkau telah membuatnya menjadi tidak berbentuk.”

Riwayat Muslim (969)

Imam al-Nawawi berkata: Hadis di atas menunjukkan bahawa wujudnya perintah untuk mengubah patung (berbentuk) haiwan yang bernyawa.  (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/36)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ لِي صَوَاحِبُ يَلْعَبْنَ مَعِي فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ يَتَقَمَّعْنَ مِنْهُ فَيُسَرِّبُهُنَّ إِلَيَّ فَيَلْعَبْنَ مَعِي

Maksudnya“Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku. Maka, ketika Rasulullah SAW masuk dalam rumah, sahabat-sahabat aku itu pun bersembunyi dari Baginda. Lalu Baginda menyerahkan mainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku.”

Riwayat al-Bukhari (6130)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam mensyarahkan hadith ini berkata: Para ulama berdalil dengan hadis ini tentang hukum harus terhadap patung mainan untuk kanak-kanak. Hadith ini adalah pengecualian dari keumuman hadis yang melarang membuat tandingan yang serupa dengan ciptaan Allah. Keharusan ini ditegaskan oleh al-Qadi ‘Iyadh dan beliau katakan bahawa inilah pendapat majoriti ulama. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 10/527)

Kesimpulan

Dalam isu seperti di atas, apabila disebut rumah – yang berbentuk tempat, yang kita gunakan – maka ia termasuk juga kereta dan seumpamanya.

Namun perlu dilihat maksud patung tersebut, adakah ia patung yang dihormati, patung yang besar dan yang dipuja, maka ini jelas dilarang.

Adapun patung permainan kanak-kanak yang kecil – yang tidak diagungkan dan dimuliakan seperti mana kanak-kanak yang ada kalanya melempar patung tersebut, meleraikan anggota patung mainan, ia hanya dianggap sekadar barang permainan kanak-kanak, maka dibolehkan dengan syarat ia bukan patung yang besar dan hanyalah semata-mata patung kanak-kanak.

Walaupun begitu, kami mengesyorkan supaya dielakkan agar kita tidak menimbulkan perkara yang boleh membawa kepada perasaan-perasaan pemujaan dan sebagainya. Jika boleh diganti dengan hal-hal yang boleh mengelakkan daripada sebarang bentuk syubhah kerana apabila kita meninggalkan perkara-perkara yang khilaf seperti ini, ia termasuk dalam apa yang disebutkan bahawa:

الْخُرُوجُ مِنَ الْخِلاَفِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya“Keluar dari perkara khilaf adalah digalakkan.”

Semoga kita dapat mendidik keluarga dan anak-anak kita agar benar-benar menghayati agama dengan sebaik mungkin. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 24 Februari 2022 bersamaan 22 Rejab 1443H

[1] Lihat Pusat Rujukan Persuratan Melayu [https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=patung]

Leave a Reply