#562: Status Wudhu’ Suami yang Memandikan Jenazah Isteri

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Batalkah wudhu’ seorang suami apabila dia memandikan jenazah isterinya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Jenazah

Menurut Imam al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj Syarah al-Minhaj, (8/16) perkataan al-Jana’iz merupakan jamak dari perkataan janazah. Perkataan janazah adalah nama bagi mayyit (mayat) yang mana diletakkan di atas keranda. Selain itu, al-Nawawi menukilkan pandangan daripada Ibn Faris, yang mana beliau mengatakan perkataan al-Jana’iz itu adalah kalimah jamak dari masdar al-Janazah. (Lihat Tahrir Alfaz al-Tanbih, hlm. 94)

Manakala dari sudut istilah, menurut Muhammad Batthal, jenazah bermaksud seseorang yang meninggal dunia dan yang telah terpisah rohnya dari badannya. (Lihat al-Nazm al-Musta’zab fi Syarh Gharib al-Muhazzab, 1/123)

Begitu juga, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, jenazah boleh didefinisikan sebagai mayat bagi orang Islam.

 

Tanggungjawab kepada Si Mati

Pada asasnya, antara hak bagi si mati adalah dengan menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadis ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 & 51)

Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155)

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardu kifayah menurut ijma’ para ulama’ tanpa khilaf. ( Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/104)

Hukum Orang Lelaki Memandikan Jenazah Orang Perempuan

Dalam menjawab berkenaan isu batalkah wuduk seseorang apabila menguruskan jenazah yang berlainan mahram dengannya, adalah menjadi keperluan untuk kita menjelaskan apakah hukumnya seorang lelaki memandikan jenazah orang perempuan dan sebaliknya terlebih dahulu.

Merujuk dan meneliti kitab-kitab fiqh yang ditulis oleh para ulama, mereka menyatakan bahawa yang lebih utama adalah jenazah lelaki dimandikan oleh orang lelaki manakala jenazah wanita dimandikan oleh orang perempuan sendiri.

Walaupun begitu, terdapat beberapa riwayat daripada Nabi SAW yang menunjukkan bahawa seorang suami boleh memandikan jenazah isterinya, dan begitulah juga seorang isteri boleh memandikan jenazah suaminya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Umm al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata:

 رَجَعَ رَسُولُ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ مِنَ الْبَقِيعِ فَوَجَدَنِي وَأَنَا أَجِدُ صُدَاعًا فِي رَأْسِي وَأَنَا أَقُولُ وَارَأْسَاهُ فَقَالَ ‏”‏ بَلْ أَنَا يَا عَائِشَةُ وَارَأْسَاهُ ‏”‏ ‏.‏ ثُمَّ قَالَ ‏”‏ مَا ضَرَّكِ لَوْ مِتِّ قَبْلِي فَقُمْتُ عَلَيْكِ فَغَسَّلْتُكِ وَكَفَّنْتُكِ وَصَلَّيْتُ عَلَيْكِ وَدَفَنْتُكِ

Maksudnya: Rasulullah SAW telah pulang daripada al-Baqi’ dan baginda menemui aku dalam keadaan sakit kepala, lalu aku mengatakan: Alangkah sakitnya kepalaku. Maka baginda bersabda: Bahkan aku, alangkah sakit kepalaku wahai A’isyah. Kemudian sabda baginda: Tidak menjadi masalah buatmu, sekiranya kamu mati sebelum aku nescayalah aku sendiri yang akan menguruskan jenazahmu, aku mandikan kamu, kafankan kamu, solatkan ke atas jenazahmu, dan kebumikan kamu.

Riwayat Ibn Majah (1465)

Berdasarkan kepada hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW sendiri yang akan memandikan isterinya A’isyah R.Anha sekiranya beliau pergi dahulu meninggal dunia sebelum Nabi SAW. Ini merupakan isyarat yang menggambarkan keharusan seorang suami memandikan jenazah isterinya.

Demikian juga sebuah riwayat daripada Abdullah bin Abi Bakr bahawasanya Asma’ binti ‘Umais memandikan jenazah Abu Bakr al-Siddiq ketika beliau meninggal dunia. (Lihat al-Muwatha’, 1/223)

Asma’ di atas merupakan isteri kepada Abu Bakr al-Siddiq, dan terdapat riwayat yang lain menunjukkan bahawa Asma’ memandikan jenazah Abu Bakr di atas faktor melaksanakan tuntutan wasiat yang dilakukan oleh Abu Bakr sendiri. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Umm al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata: Abu Bakr al-Siddiq R.A wafat pada malam selasa bersamaan lapan Jamadil Akhir tahun yang ke-13 H. Dan beliau mewasiatkan supaya dia dimandikan oleh Asma’ binti ‘Umais yang merupakan isterinya. (Lihat al-Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi, 3/397)

Justeru, kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan beberapa riwayat yang kami kongsikan di atas adalah, harusnya seorang suami itu memandikan jenazah isterinya dan begitu juga seorang isteri boleh memandikan jenazah suaminya. Ini mengambil kira, tidak terdapat nas yang melarang hal ini menjadikannya kekal kepada hukum asal iaitu harus. Demikian juga terdapat ijma’ dalam hal ini seperti kata Imam Ibn al-Munzir Rahimahullah: Dan mereka (para fuqaha) berijma’ bahawa seorang isteri itu boleh memandikan jenazah suaminya apabila dia meninggal dunia. (Lihat al-Ijma’ oleh Ibn al-Munzir, hlm. 44)

Batalkah Wuduk Suami Sekiranya Memandikan Jenazah Isteri

Dalam menjawab persoalan ini, kami kongsikan beberapa pandangan para fuqaha yang membahaskannya. Imam al-Khatib al-Syarbini mengatakan: Dan boleh bagi seorang lelaki itu untuk memandikan isterinya yang bukan diceraikan dengan talak raj’ie sekalipun dia telah bernikah dengan orang lain, serta dia boleh memandikan hamba perempuannya sekalipun hambanya itu merupakan wanita ahli kitab. Dan boleh untuk seorang isteri yang bukan diceraikan dengan talak raj’ie untuk memandikan suaminya sekalipun dia pernah berkahwin dengan lelaki lain tanpa dia menyentuh suaminya (semasa pemandian) serta tidak pula suaminya atau tuannya menyentuhnya. (Lihat al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 1/410)

Imam al-Bujairimi al-Syafi’e apabila mensyarahkan kenyataan ini beliau berkata secara maknanya: Larangan ini bermaksud sunat untuk tidak menyentuh (tubuh badan jenazah). Ini kerana, mengikut pandangan yang muktamad adalah harus untuk seorang suami melihat jenazah isterinya dan begitu juga seorang isteri harus melihat jenazah suaminya selepas meninggal dunia sekalipun ke bahagian auratnya. Demikian juga harus untuk menyentuh jenazah menurut pandangan yang muktamad. (Lihat Tuhfat al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 2/268-269)

Kemudian kata al-Bujairimi lagi ketika mensyarahkan kata-kata al-Khatib : (Tidak boleh seorang tuan menyentuh jenazah hambanya yang perempuan) : Ini supaya tidak batal wuduk individu yang menyentuh, dan orang yang disentuh tidak batal wuduknya secara mutlak. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi, 2/269)

Sekalipun pendapat muktamad menyatakan tentang keharusan menyentuh, namun ia tetap tidak bercanggahan dengan kenyataan bahawa persentuhan itu membatalkan wuduk. Ini membawa erti, sekiranya suami itu tidak dalam keadaan berwuduk maka boleh untuknya menyentuh jenazah isterinya selama mana tidak ada syahwat padanya.

Kesimpulan

Setelah kami meneliti beberapa pandangan ulama dalam mazhab Imam al-Syafie berkaitan isu ini, kami berpandangan bahawa seorang suami yang memandikan jenazah isterinya dengan menyentuh kulit, akan menyebabkan wuduk suami itu terbatal.

Sebaiknya, mandikanlah jenazah isteri tersebut dengan menggunakan sarung tangan, tuala atau kain sapuan, sebagaimana yang dianjurkan di dalam sunnah supaya tidak berlaku persentuhan kulit yang boleh membatalkan wuduk.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 24 Februari 2022 bersamaan 22 Rejab 1443H

Leave A Comment