Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan tentang apa yang dimaksudkan dengan dosa-dosa besar? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Dosa

Secara umumnya, terdapat beberapa beberapa lafaz yang mengandungi makna dosa di dalam al-Quran, antaranya:

  • Lafaz Zanb (ذنب)

Di dalam al-Quran, ia disebut sebanyak 39 kali, di mana 21 daripadanya disebut dalam surah Makkiyyah dan 18 disebut dalam surah Madaniyyah. (Lihat al-Mu’jam al-Mufahras li Alfaz al-Quran, hlm. 339) Ia merangkumi makna dosa, akhir sesuatu dan digunakan bagi menunjukkan dosa yang telah lalu.

  • Lafaz Khati’ah (خطيئة)

Dalam al-Quran, lafaz ini disebut sebanyak 22 kali. Makna yang terkandung pada lafaz ini adalah digunakan untuk menyatakan berlakunya suatu kesalahan sama ada yang disengajakan atau kerana lupa. (Lihat al-Mu’jam al-Mufahras li Alfaz al-Quran, hlm. 288 dan Lisan al-‘Arab, 5/134)

  • Lafaz Junah (جُنَاحٌ)

Lafaz ini juga merupakan salah satu lafaz dalam al-Quran yang mengandungi makna dosa.

 

Pengertian Dosa Besar

Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ

MaksudnyaDan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya.

(Surah al-Syura: 37)

Allah SWT turut berfirman:

إِن تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُم مُّدْخَلًا كَرِيمًا

MaksudnyaJika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).

( Surah al-Nisa’: 31)

Ibnu Abbas R.Anhuma dalam menjelaskan ayat di atas berkata:

الكَبِيْرَةُ كُلُّ ذَنْبٍ خَتَمَهُ اللهُ بِنَارٍ، أَوْ غَضَبٍ، أَوْ لَعْنَةٍ، أَوْ عَذَابٍ

Maksudnya: Dosa besar adalah yang Allah akhiri dengan ancaman neraka, atau kemurkaan, atau laknat atau azab seksa. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 5/59 dan Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/282)

Al-Hasan al-Basri menyatakan:

كُلّ ذَنْب نَسَبَهُ اللَّه تَعَالَى إِلَى النَّار فَهُوَ كَبِيرَةٌ

Maksudnya: “Setiap dosa yang Allah nisbahkan dengan neraka maka itu adalah dosa besar.”

(Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/285)

Dalam hadis Nabi SAW juga turut menyebut berkenaan adanya pembahagian dosa besar dan dosa kecil. Sabda Baginda SAW:

الصَّلاةُ الخمسُ والجمعةُ إلى الجمعةِ كفَّارةٌ لما بينَهنَّ ما لم تُغشَ الْكبائرُ

Maksudnya“Solat lima waktu dan solat Jumaat ke solat Jum’at seterusnya, menghapuskan dosa-dosa di antara keduanya, selama mana tidak melakukan dosa besar.”

Riwayat Muslim (233)

Nabi SAW turut bersabda:

اجتنبوا السبعَ الموبقاتِ . قالوا : يا رسولَ اللهِ ، وما هن ؟ قال : الشركُ باللهِ ، والسحرُ ، وقتلُ النفسِ التي حرّم اللهُ إلا بالحقِّ ، وأكلُ الربا ، وأكلُ مالِ اليتيمِ ، والتولي يومَ الزحفِ ، وقذفُ المحصناتِ المؤمناتِ الغافلاتِ

Maksudnya“Jauhilah tujuh dosa yang membinasakan. Para sahabat bertanya: wahai Rasulullah, apakah ia? Rasulullah menjawab, ‘Syirik terhadap Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari ketika peperangan, menuduh wanita baik-baik berzina.’” 

Riwayat al-Bukhari (2766) dan Muslim (89)

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menukilkan beberapa pandangan berkaitan maksud dosa besar. Antaranya:

  • Al-Rafi’e dalam al-Syarh al-Kabir berkata: “Dosa besar ialah dosa yang mewajibkan hukuman had. Ada juga pandangan menyatakan, ia ialah dosa yang diiringi balasan buruk kepada pelakunya berdalilkan al-Quran atau Sunnah.”
  • Ibn Abd al-Salam menyebut: Dosa yang membuatkan pelakunya menjadi hina. Menurut beliau lagi, ada pandangan yang menyatakan dosa besar ialah dosa yang disertakan dengan balasan buruk atau laknat.”
  • Ibn al-Solah berkata: “Ada beberapa tanda yang menunjukkan suatu dosa termasuk daripada dosa besar iaitu; mewajibkan hukuman had, janji buruk dengan neraka menerusi dalil al-Quran dan Sunnah, pelakunya menjadi fasiq dan dilaknat.”

Beliau kemudian menyatakan takrif oleh Imam al-Qurtubi dalam kitab al-Mufhim merupakan penjelasan terbaik dalam menghuraikan dosa besar, iaitu:

كُلّ ذَنْب أُطْلِقَ عَلَيْهِ بِنَصِّ كِتَاب أَوْ سُنَّة أَوْ إِجْمَاع أَنَّهُ كَبِيرَة أَوْ عَظِيم أَوْ أُخْبِرَ فِيهِ بِشِدَّةِ الْعِقَاب أَوْ عُلِّقَ عَلَيْهِ الْحَدّ أَوْ شُدِّدَ النَّكِير عَلَيْهِ فَهُوَ كَبِيرَة

Maksudnya: Setiap dosa yang diitlaqkan padanya dengan nas al-Quran, Sunnah, atau ijmak bahawa ia ialah dosa besar, dijanjikan hukuman yang berat, hukuman had, atau sangat diingkari atasnya, maka ia adalah dosa besar.” (Lihat Fath al-Bari, 15/709)

 

Kesimpulan

Begitulah pengertian dosa besar sepertimana yang dijelaskan oleh para ulama. Kita disarankan untuk menjarakkan diri daripada dosa besar dengan sesungguh-sungguhnya.

Para ulama telah mengkaryakan buku khusus berkenaan dosa-dosa besar. Antaranya Imam al-Zahabi melalui kitabnya al-Kaba’ir dan juga Imam Ibn Hajar al-Haitami melalui kitabnya al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir. Mereka telah menerangkan satu persatu berkenaan dosa-dosa besar yang terangkum dalam al-Quran dan hadis serta menyebut balasan dan akibatnya.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah agar diampuni dosa kita dan juga mereka yang terdahulu daripada kita.

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya“Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.”

(Surah al-Hasyr :10)

Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada segala dosa besar serta mengurniakan petunjuk dan kekuatan dalam melaksankan titah perintah-Nya. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 9 Februari 2022 bersamaan 7 Rejab 1443H

Leave a Reply