Soalan
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah seseorang itu dikuasai dengan pemikiran kematian sentiasa, sehingga akhirnya dia menjadi penat dan stress?
Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam menjawab persoalan ini, Islam mengalakkan kita menziarahi kubur di mana antara tujuannya adalah untuk mengingati kematian. Daripada Ibn Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوا الْقُبُورَ، فَإِنَّهَا تُزَهِّدُ فِي الدُّنْيَا، وَتُذَكِّرُ الآخِرَةَ
Maksudnya: “Aku dahulunya melarang ke atas kamu ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahlah kubur, kerana ia menzuhudkan dirimu dan mengingatkanmu kepada akhirat.”
Riwayat Ibn Majah (307) dan Ibn Hibban (981)
Akan tetapi mengingati mati sehingga membawa tekanan (stress) tidaklah sayugia kerana ini termasuk dalam bab zhan (sangkaan) yang buruk kepada Allah, sedangkan ilmu berkenaan ajal tentang kematian seseorang tidaklah diketahui kecuali oleh Allah SWT sahaja.
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًا ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.”
(Surah Luqman: 34)
Al-Tabari berkata: Maksudnya adalah, tidak ada seorang manusia yang hidup, yang mengetahui tempat dia akan mati. (Lihat Jami’ al-Bayan, 20/806)
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَفَاتِيْحُ الْغَيْبِ خَمْسٌ لاَيَعْلَمُهَا إِلاَّ اللهُ: لاَيَعْلَمُ مَا فِى غَدٍ إِلاَّ اللهُ، وَلاَ يَعْلَمُ مَاتَغِيْضُ الْأَرْحَامُ إِلاَّ اللهُ، وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى يَأْتِي الْمَطَرُ أَحَدٌ إِلاَّ اللهُ، وَلاَ تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوْتُ، وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى تَقُوْمُ السَّاعَةُ إِلاَّ اللهُ. رواه البخاري
Maksudnya: Kunci-kunci perkara ghaib ada lima, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah, (iaitu) : Tidak ada yang mengetahui apa yang berlaku esok kecuali Allah, tidak ada yang mengetahui apa yang berkurang daripada rahim kecuali Allah, tidak ada seorang pun yang mengetahui bila hujan datang kecuali Allah, tidak ada seorang pun yang mengetahui di bumi mana dia akan mati, dan tidak ada yang mengetahui bila berlakunya hari kiamat kecuali Allah.”
Riwayat al-Bukhari (4697)
Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di menjelaskan bahawa perkara-perkara ghaib yang disebut, hanya Allah-lah yang mengetahui itu semua. Walaupun hanya lima perkara tersebut yang disebut, namun tetap Allah Maha Mengetahui segala perkara. Allah Maha Mengetahui yang zahir mahu pun yang batin, yang kelihatan mahu pun yang tersembunyi. Terlihat juga bagi Allah segala jenis rahsia. Antara hikmahnya, Allah menyembunyikan lima perkara tersebut daripada setiap hamba. Tidak diketahui hal tersebut selain oleh Allah kerana ada maslahat yang besar bagi sesiapa yang merenungnya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 691)
Syeikh al-Syarbasi berkata: Demikian kami nasihatkan agar seseorang thiqah dengan Allah dan jangan membuka pintu dukacita dan keluh-kesah. Sebaliknya banyakkan berzikrullah kepada Allah SWT. (Lihat Yas’alunaka Fi al-Din wa al-Hayah, 5/203-204)
Allah SWT berfirman:
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
(Surah al-Ra’d: 28)
Al-Tabari berkata: Yakni, ingatlah, hanya dengan zikir kepada Allah hati orang-orang beriman menjadi tenang dan jinak. Menurut Ibnu Kathir pula, ayat diatas bermaksud itulah hal yang sepatutnya diperolehi dengan mengingati Allah SWT. (Lihat Jami’ al-Bayan, 15/287; Tafsir Ibnu Kathir, 3/262)
Al-Syaukani berkata: Firman-Nya ‘أَلَا بِذِكْرِ اللَّـهِ’, Maksudnya adalah, dengan mengingati Allah sahaja, tanpa yang lain, maka hati akan menjadi tenang. Walaupun dengan memerhatikan ciptaan-ciptaan Allah SWT dan keindahan ciptaan-Nya boleh mendatangkan ketenteraman, namun ia tidak seperti ketenteraman dengan mengingati Allah. (Lihat Fath al-Qadir, 3/98)
Imam al-Qusyairi berkata: Ada kaum yang tenang hati mereka dengan sebab mereka mengingati Allah. Ini kerana, pada zikir mereka merasai kemanisannya. Dengan zikir juga mereka sampai kepada hakikat kebersihan hati. (Lihat Lataif al-Isyarat, 2/229)
Kami nukilkan satu athar di sini, di mana disebut:
اعمَلْ لِدُنياكَ كأنَّك تَعيشُ أبدًا، واعمَلْ لِآخرتِك كأنَّك تَموتُ غَدًا.
Maksudnya: “Beramallah untuk dunia kamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Dan beramallah untuk akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari.”
Begitu juga dengan ungkapan:
إني لا أهاب الموت، ولا أخشى الردى، لإني على الطريق المستقيم
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak takut kematian dan aku tidak takut tergelincir, kerana aku di atas jalan yang lurus.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 10 Mac 2022 bersamaan 7 Syaaban 1443H