Soalan
Assalamualaikum ustaz. Seorang suami telah jatuhkan talak pada isterinya. Namun, pasangan suami isteri yang telah berpisah ini dilihat masih tinggal bersama. Adakah perkara ini dibolehkan? Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Pengertian Iddah dan Tempohnya
Kami mulakan dengan takrif ‘iddah. Menurut bahasa, `iddah bermaksud kiraan, hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haidh dan juga bilangan bulan.
Dari segi istilah, `iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/77-85)
Iddah ialah suatu tempoh masa yang dilalui oleh seseorang perempuan selepas perceraian atau kematian suami di mana dia tidak boleh menikah semula. Tujuannya untuk memastikan kekosongan rahimnya dari mengandung dan tempohnya bergantung kepada berapa kali dia mengalami haid. Biasanya, tempoh iddah bagi wanita sesudah cerainya dengan bekas suaminya yang dahulu adalah tiga kali suci kitaran haid dan wanita yang telah kamatian suaminya, tempoh iddah adalah selama 4 bulan dan 10 hari (dikira mengikut tahun Hijrah) .
Dalam tempoh iddah ini, bekas isteri diharamkan berkahwin dengan orang lain. Tujuan dikenakan iddah ialah bagi memastikan rahim wanita tersebut suci daripada sebarang janin bagi mengelakkan ketidakpastian nasab sebenar anak jika perkahwinan baru dengan lelaki lain berlaku. Dalam tempoh iddah, suami boleh rujuk kembali dengan syarat isteri adalah dalam iddah raj’ie.
‘Iddah bagi wanita yang bercerai hidup dan masih mempunyai haid adalah tiga kali suci berdasarkan firman Allah SWT:
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ
Maksudnya: “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).”
(Surah al-Baqarah: 228)
Sementara, tempoh wanita ‘iddah bagi wanita yang menopause (putus haid) yang bercerai hidup dan ketiadaan haid ialah 3 bulan berdasarkan firman Allah SWT:
وَاللَّائِي يَئِسْنَ مِنَ الْمَحِيضِ مِن نِّسَائِكُمْ إِنِ ارْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَاثَةُ أَشْهُرٍ وَاللَّائِي لَمْ يَحِضْنَ
Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi (menopause) di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu (tentang masa ‘iddahnya) maka ‘iddah mereka adalah tiga bulan; dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak ada haid’
(Surah al-Thalaq: 4)
Pengertian Talak
Dari sudut bahasa, talaq bermaksud lepas dan terlepas. Sementara dari sudut syarak, ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz dan seumpamanya. Secara lebih jelas, pengertian talak sepertimana disebut dalam al-Qamus al-Fiqhi (hlm. 230) boleh difahami seperti berikut:
- Mengangkat ikatan perkahwinan.
- Menghilangkan penguasaan terhadap isteri dengan lafaz yang jelas atau kinayah yang zahir atau dengan lafaz yang tertentu disertakan bersama niat. Hal ini sepertimana disebut oleh al-Dusuqi.
- Mengangkat ikatan perkahwinan pada masa tersebut atau akan datang dengan lafaz yang khusus atau yang mengambil kedudukannya. Inilah yang dinyatakan dalam kitab Dur al-Mukhtar (3/226). Lihat juga al-Mughni (16/192) dan Mughni al-Muhtaj (3/279).
Talak atau perceraian adalah salah satu kaedah pemisahan hubungan pernikahan antara suami dan isteri yang disyariatkan oleh Islam. Apabila seorang wanita itu diceraikan, maka dia hendaklah beriddah selama tiga kali suci daripada haid, atau bagi mereka yang tidak mempunyai haid, selama tiga bulan Qamariyyah. Semasa tempoh iddah, terdapat hak dan tanggungjawab yang perlu diperhatikan oleh bekas pasangan. Antara perkara-perkara tersebut ialah kewajiban suami untuk memberikan nafkah tempat tinggal dalam tempoh iddah.
Nafkah Tempat Tinggal
Wajib ke atas bekas suami untuk memberikan nafkah tempat tinggal kepada bekas isteri semasa tempoh iddah, sama ada bekas isteri berkenaan ditalakkan secara raj’i[1] atau ba’in[2], sama ada dia hamil atau tidak.
Ini berdasarkan firman Allah SWT:
أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ ۚ وَإِن كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّىٰ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ ۚ فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ ۖ وَأْتَمِرُوا بَيْنَكُم بِمَعْرُوفٍ ۖ وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ
Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.
(Surah al-Talaq : 6)
Al-Tabari berkata: “ (Yakni), berikanlah kediaman kepada isteri-isteri kamu yang telah ditalakkan daripada tempat yang kamu diami lagi kamu sediakan berdasarkan kemampuan kamu; Ini adalah arahan-Nya kepada golongan lelaki untuk memberikan tempat tinggal yang dia sediakan berdasarkan kemampuannya, sehingga selesai iddah isteri-isteri itu.” (Lihat Jami` al-Bayan, 23/456)
Begitu juga firman Allah SWT dalam ayat pertama:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ رَبَّكُمْ ۖ لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِن بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَن يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ ۚ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّـهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ ۚ لَا تَدْرِي لَعَلَّ اللَّـهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَٰلِكَ أَمْرًا
Maksudnya: Wahai Nabi! Apabila kamu – (engkau dan umatmu) – hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul), serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain).
(Surah al-Talaq : 1)
Al-Tabari berkata akan tafsirnya: “(Yakni), takutlah kalian kepada Allah, wahai manusia, Tuhan kamu, maka waspadalah kalian daripada melakukan maksiat kepada-Nya dengan melanggar batasan-Nya. Jangan kalian mengeluarkan isteri-isteri yang telah kamu talakkan kerana mereka ada iddah di rumah-rumah mereka yang telah kamu beri mereka tinggal di dalamnya sebelum talak itu lagi, sehingga selesailah iddah mereka.” (Lihat Jami` al-Bayan, 23/413)
Dalam mazhab Syafie, tidak boleh bagi bekas suami untuk tinggal bersama isteri yang telah diceraikan di dalam rumah iddah berkenaan, sama ada talak raj`ie atau talak ba’in. Haram bagi suami untuk masuk ke rumah iddah kerana membawa kepada khalwat dan mengganggunya. Ini bertepatan dengan ayat sebelum yang menyebut:
وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ
Maksudnya: …dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka…
Adapun sekiranya terdapat mahram, kepada bekas isteri atau suami, sama ada lelaki dan wanita, atau wanita ajnabi, maka harus bekas suami itu tinggal bersama dan masuk ke rumah iddah. Ini kerana sebab pengharaman sudah tiada, melainkan hukumnya menjadi makruh, kerana ada kemungkinan untuk melihat kepada bekas isteri itu – yang sudah haram kerana talak. Begitu juga harus jika kediaman itu berbilik-bilik, atau bertingkat-tingkat di mana masing-masing tinggal di dalamnya. (Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/268)
Ini kerana isteri yang sudah ditalakkan adalah wanita ajnabi (asing) kepada bekas suami itu. Inilah pendapat muktamad seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat Raudhah al-Talibin, 8/418)
Bahkan ulama Syafie begitu keras melawan pendapat yang sebaliknya, seperti mana perkataan Imam Taqiuddin Abu Bakr al-Hisni: “Dan ramai daripada kalangan orang yang jahil tidak menganggap perkara berkesedudukan ini sebagai haram sehingga berkata: (Mengapa salah sedangkan) dia itu adalah wanita yang aku sendiri yang ceraikan? Sedangkan dia mengetahui keadaan sebenar. Sekiranya orang itu beri`tiqad halalnya hal terbabit setelah dia mengetahui pengharamannya, maka orang itu sudah kafir. Jika dia bertaubat (maka tiada hukuman), namun jika dia tidak bertaubat, maka pukullah tengkuknya!” (Lihat Kifayah al-Akhyar, 2/130)
Namun begitu, ada mazhab yang tidak mengharamkan bekas suami berkesedudukan dengan bekas isteri yang masih dalam iddah bagi talak raj’ie.
Pendapat Mazhab-Mazhab Lain
Kami mengambil kenyataan daripada kitab al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (25/117):
“Mazhab Maliki dan Syafie berpandangan bahawa tidak harus bagi suami yang mentalakkan untuk berkesedudukan dengan bekas isteri yang sedang beriddah. Mereka tidak membezakan hukum antara talak raj’ie dam ba’in dalam isu ini, melainkan ada mahram yang tinggal bersama mereka. Ulama Syafie juga mensyaratkan hendaklah mahram itu masing-masing mumayyiz dan celik, sama ada lelaki atau perempuan. Tidak sah juga jika mahram itu adalah mahram lelaki bagi bekas suami.
Ulama Maliki berkata: Tidak boleh bagi lelaki untuk masuk ke rumah isteri yang telah diceraikan secara raj`ie sekalipun ada orang yang menjaganya, dan tidak boleh juga berkedudukan dengannya dalam rumah yang besar yang memuatkan bekas isterinya dan ramai orang.
Hujah mereka yang mengharamkan adalah kerana boleh berlaku khalwat. Ini disebabkan talak itu adalah antonim bagi nikah, yang mana nikah adalah sebab kepada pengharusan perkara yang haram dan itu akan mewujudkan keadaan berlawanan.
Ulama Hanafi pula berpendapat, jika iddah itu diwajibkan di rumah si suami, maka tidak mengapa untuk mereka berkesedudukan dalam rumah yang satu sekiranya lelaki yang mentalakkan itu adalah seorang yang adil, sama ada talak raj`ie atau ba’in atau tiga. Tetapi seafdhalnya dibinakan penghadang antara mereka. Jika bekas suami itu fasiq, maka hendaklah dihalang dengan adanya wanita yang tsiqah (terpercaya) yang menemani mereka berdua. Jika berlaku kesukaran untuk tinggal bersama, maka wanita berkenaan beriddah di rumah lain. Begitu juga jika rumah itu terlalu sempit (maka beriddah di rumah lain). Tetapi, lebih utama lelaki itu keluar daripada rumah…
Di sisi mazhab Hanbali pula, seperti mana yang zahir daripada perkataan mereka, bahawa sesungguhnya bagi suami yang mentalak hak untuk berkesedudukan bersama bekas isteri yang ditalak raj`ie, sebagaimana boleh bagi wanita itu untuk berhias baginya, dan tidak dikira rujuk jika bekas suami itu bermesraan dengannya dengan ciuman dan seumpamanya, tetapi jika berlaku persetubuhan maka sabitlah rujuk. Adapun wanita yang bertalaq ba’in, maka tiada nafkah tempat tinggal baginya dan wanita itu boleh beriddah di mana jua yang dia kehendaki.”
Berkata Imam Mansur al-Buhuti al-Hanbali Rahimahullah dalam menghuraikan matan al-Iqna` oleh Imam Musa al-Maqdisi Rahimahullah:
“(Dan diharuskan bagi suaminya – yakni bekas suami dalam talak raj`i- untuk menyetubuhi isterinya) dan diharuskan baginya (berkhalwat) dengannya (dan) diharuskan untuk (membawa musafir bersama dan berhias untuknya sekalipun berlebih-lebihan) kerana sesungguhnya isteri itu pada hukum isteri-isteri seperti sebelumnya) yakni sebelum talak. (Dan rujuk terhasil apabila bersetubuh tanpa perlu penyaksian saksi, sama ada niat ada atau tiada) untuk rujuk.” (Lihat Kasysyaf al-Qina’, 3/343)
Berdasarkan kenyataan di atas, kita fahami bahawa sememangnya ada khilaf yang muktabar dalam kalangan ulama sejak dahulu tentang isu ini. Perbezaan pandangan nampaknya terfokus kepada isu wanita yang ditalak raj`ie itu adakah masih dianggap isteri atau bukan.
Kesimpulan
Setelah meneliti fakta soalan serta melihat perbahasan para ulama berkenaan hukum bekas suami tinggal bersama bekas isterinya pada waktu iddah, kami berpendapat seperti berikut:
- Berdasarkan pendapat muktamad mazhab Syafie, lelaki hendaklah keluar daripada kediaman pelaminnya untuk membiarkan bekas isterinya beriddah dan tidak boleh tinggal bersamanya kerana itu adalah bentuk mudarat ke atas dirinya. Pengecualian diberikan sekiranya terdapat mahram yang boleh menghalang daripada berlaku khalwat atau masing-masing tinggal di bilik atau tingkat berasingan, maka hukumnya makruh.
- Berdasarkan maklumat daripada pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), pihak penguasa JAWI memiliki kuasa untuk menangkap pasangan yang baru bercerai sekiranya didapati mereka berkhalwat kerana khalwat antara dua orang ajnabi adalah kesalahan syariah di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
- Memandangkan hal ini adalah khilaf yang muktabar sejak zaman salaf, maka kami tidak mengingkari sekiranya terdapat pasangan yang berpegang kepada pendapat ini. Khususnya menurut pendapat yang membenarkan, agar hubungan perkahwinan dalam diselamatkan dengan rujuk dalam tempoh iddah.
- Namun begitu, pengamalan pendapat itu akan menimbulkan fitnah dalam masyarakat di Wilayah-Wilayah Persekutuan yang bermazhab Syafie. Hendaklah dijaga adab berbeza pandangan dengan tidak menimbulkan keresahan pada peringkat orang awam. Kaedah fiqh menyebut:
حُكْمُ الحَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ
Maksudnya: “Keputusan hakim itu meleraikan khilaf.”
Justeru, hendaklah pasangan yang bercerai lagi menetap di Malaysia, khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan, untuk mengelakkan khalwat semasa dalam proses iddah.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 9 Februari 2022 bersamaan 7 Rejab 1443H
[1] Talak raj`ie bererti talak yang memungkinkan bekas suami untuk merujuk bekas isterinya tanpa memerlukan akad yang baharu seperti isteri yang ditalak satu atau dua. (Lihat al-Mu`tamad, 4/150)
[2] Talak ba’in bererti talak yang tidak memungkinkan bekas suami untuk merujuk bekas isterinya tanpa akad nikah yang baharu, sama ada kerana sudah tamat tempoh iddahnya, atau kerana sudah ditalak tiga. (Lihat al-Mu`tamad, 4/150)
Assalamualaikum,
Saya merupakan seorang isteri dan seorang ibunkepada seorang anak berumur 1 tahun 6 bulan. Saya memerlukan pandangan serta memohon jawapan dan tindakan yang perlu saya perlu lakukan sekiranya suami saya telah memaklumkan bahawa “tahun ini merupakan tahun terakhir kami bersama” pada bulan April ( sebelum mengandung ) dan telah memaklumkan sekali lagi untuk berpisah pada September (5 bulan mengandung) . Untuk makluman tambahan lagi, pada bulan September saya telah menangung kehidupan dengan membayar sewaan rumah serta kereta dan lain-lain . Manakala Suami mengeluarkan perbelanjaan anak dan sedikit keperluan dapur. Malah suami juga kini tinggal bersama ibu bapa nya. Suami akan balik kadangkala bagi tuntutan batinnya.