#440: Doktor Bedah Menjamakkan Solat

-29%
Ebook

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Dhuha

Rated 0 out of 5
RM5.00
-44%
Ebook

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Tahajjud

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Tarawih

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM5.00

Inspirasi Hidup

Demi Masa: Peliharalah

Rated 0 out of 5
RM5.00
-50%
Rated 0 out of 5
RM60.00
-60%
Rated 0 out of 5
RM20.00

Kajian Al-Fitan Wa Al-Malahim

Tanda-tanda Kecil Kiamat (Siri 1)

Rated 0 out of 5
RM6.00

Kajian Al-Fitan Wa Al-Malahim

Tanda-tanda Kecil Kiamat (Siri 2)

Rated 0 out of 5
RM6.00
Rated 0 out of 5
RM5.00

Inspirasi Hidup

Ulama Memelihara Masa

Rated 0 out of 5
RM5.00

Kajian Al-Fitan Wa Al-Malahim

[Ebook] Terbitnya Matahari dari Arah Barat

Rated 0 out of 5
RM6.00RM8.00

Kajian Al-Fitan Wa Al-Malahim

Tiupan Sangkakala Pada Hari Kiamat

Rated 0 out of 5
RM6.00

Kajian Al-Fitan Wa Al-Malahim

Penghancuran Ka’abah

Rated 0 out of 5
RM6.00
-37%
Rated 0 out of 5
RM10.00RM90.00

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah doktor perubatan yang mengendalikan pembedahan pesakit atau merawat pesakitnya boleh menjamakkan solat? Hal ini kerana terkadang tempoh melakukan pembedahan mengambil masa yang sangat lama. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Solat Jamak

Menjamakkan solat bermaksud menggabungkan dua solat (Zohor dengan Asar, atau Maghrib dengan Isya’), dan dilakukan pada salah satu waktu solat tersebut. Seseorang boleh melakukan sama ada jama’ taqdim atau jama’ ta’khir.[1]

Jama’ taqdim bermaksud menggabungkan dua solat dan dilakukan pada waktu solat pertama, iaitu solat Zohor dan solat Asar dilakukan pada waktu solat Zohor; Solat Maghrib dan solat Isya’ dilakukan pada waktu solat Maghrib. Jama’ taqdim hendaklah dilakukan secara berurutan sepertimana urutan solat dan tidak boleh terbalik.

Manakala jama’ ta’khir bermaksud menggabungkan dua solat dan dilakukan pada waktu solat kedua, iaitu solat Zohor dan solat Asar dilakukan pada waktu Asar; Solat Maghrib dan solat Isya’ dilakukan pada waktu solat Isya’. Jama’ ta’khir boleh dilakukan secara berurutan dan boleh juga tidak berurutan. Namun, yang afdhal adalah dilakukan secara berurutan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.[2]

Menurut Imam al-Nawawi, sebahagian ulama’ berpendapat bahawa seorang yang muqim boleh menjamak solatnya apabila diperlukan, asalkan tidak dijadikan kebiasaan.[3]

Hal ini berdasarkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, di mana beliau menyebut:

جَمَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ بِالْمَدِينَةِ فِي غَيْرِ خَوْفٍ وَلَا مَطَرٍ قِيْلَ لِابْنِ عَبَّاسٍ لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ قَالَ كَيْ لَا يُحْرِجَ أُمَّتَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menjamakkan antara solat Zohor dengan solat Asar, dan antara solat Maghrib dengan solat ‘Isya’ di Madinah tanpa faktor takut dan hujan.” Ketika ditanyakan hal itu kepada Ibn ‘Abbas, beliau menjawab: “Agar tidak memberatkan umatnya.”[4]

Justeru, kita memahami bahawa pensyariatan jama’ dalam solat adalah bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada umat ini dalam masalah-masalah yang menyukarkan mereka.

Hukum Doktor Bedah Menjamak Solat Kerana Pembedahan

Pada hukum asal, solat fardu hendaklah ditunaikan pada waktunya. Ini berdalilkan kepada firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.[5]

Allah SWT berfirman:

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah sembahyang, pada dua bahagian siang, dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.[6]

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyebut bahagian pertama siang itu bermaksud solat fardu subuh, dan bahagian kedua siang itu merangkumi solat fardu zuhur dan asar. Manakala solat malam pula merangkumi solat fardu maghrib dan isyak.[7]

 

Pendapat Ulama Silam Tentang Solat Jamak Kerana Sakit Dan Uzur

Dalam mazhab al-Syafie, pendapat yang masyhur lagi muktamad bahawa jamak hanya pada safar yang jauh, ketika hujan dan ketika Hari Arafah. Adapun bagi orang yang sakit maka tidak boleh menjamakkan solat. Ini kerana faktor sakit adalah suatu yang tidak pasti sedangkan penetapan waktu solat adalah suatu yang sabit berdasarkan nas.  Namun begitu Imam al-Nawawi dan beberapa ulama Syafieyyah lain seperti al-Qadhi Hussein, Ibn Suraij, al-Ruyani, al-Mawardi, al-Darimi, dan al-Mutawalli menyokong pendapat yang membenarkannya.[8]

Ibn Ruslan al-Syafie dalam Sofwah al-Zubad berkata:

في مَرَضٍ قَوْلٌ جَلِيٌّ وقَوِي      اختارَهُ حَمْدٌ ويحيى النَّوَوِي

Tentang (jamak ketika) sakit, ada pendapat yang terang dan kuat

                    Pilihan Hamdun (al-Khattabi) dan Yahya al-Nawawi

Para ulama ini menyokong mazhab Imam Ahmad bin Hanbal yang membenarkan jamak sekiranya terdapat keuzuran atau masyaqqah (kesukaran). Berkata Imam Ibn Qudamah dalam al-Mughni (2/205-206):

Tidak diharuskan jamak selain daripada apa yang kami telah sebutkan (seperti musafir, tanah berlumpur, angin kuat, hujan, dan sakit). Berkata Ibn Syubrumah: Dibenarkan sekiranya ada hajat atau suatu urusan, selagi mana tidak dijadikan sebagai adat, berdasarkan hadis Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW menjamakkan solat Zuhur dengan Asar, Maghrib dengan Isya’ tanpa sebab takut atau hujan. Ditanya Ibn Abbas mengapa Nabi berbuat demikian. Beliau menjawab kerana baginda tidak ingin memberatkan umatnya.

Di sisi kami (Mazhab Ahmad dan Jumhur ulama), hukum diambilkira daripada umum khabar-khabar syarak yang menentukan waktu solat. Hadis Ibn Abbas ini kami tanggungkan ia ketika sakit, dan diharuskan untuk mengambil rukhsah ini orang yang mengalami kesukaran seperti ibu yang menyusukan anak, orang tua yang lemah dan mereka yang seumpama mereka berdua yakni mereka yang sukar untuk tidak meninggalkan jamak. Hadis berkenaan juga memiliki kemungkinan bahawa (jika dijamakkan tanpa uzur) adalah dengan solat waktu pertama dilewatkan (tanpa melangkaui waktunya) dan solat kedua diawalkan perlaksanaannya pada awal waktu. Amr bin Dinar meriwayatkan hadis ini daripada Jabir bin Zaidm daripada Ibn Abbas. Amr bertanya kepada Jabir: Wahai Abu al-Sya’tha’! Aku berpendapat bahawa Nabi melewatkan zuhur dan mempercepatkan asar, melewatkan Maghrib dan menyegerakan Isyak. Berkata Jabir: Aku juga berpendapat sedemikian.”

Justeru, di sisi ulama salaf, sebahagian mereka berpendapat bahawa boleh seseorang sakit itu menjamakkan solat. Ini termasuk jua mereka yang memiliki situasi yang sama seperti orang sakit pada kesukaran untuk tidak meninggalkan jamak solat.

 

Pendapat Ulama Kontemporari dan Badan Berautoriti

Sebahagian ilmuwan Islam kontemporari memasukkan doktor bedah yang merawat atau menjalan pembedahan yang mengambil masa yang lama ke atas pesakit juga mendapat rukhsah untuk menjamakkan solat.

Pertama: Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatawa al-Mu`asirah, apabila ditanya hukum menjamakkan solat apabila doktor bedah menjangkakan lama tempoh pembedahan: “Dia boleh menjamakkan solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak, secara taqdim atau ta’khir, mengikut apa yang mudah baginya. Ini dilakukan secara jamak tanpa qasar berdasarkan mazhab Imam Ahmad yang mengharuskan jamak kerana uzur berdasarkan hadis Ibn Abbas dalam al-Sahih.”[9]

Kedua: Syeikh Atiyyah Saqr, Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar, dalam fatwanya menghuraikan pendapat Hanabilah ini menyebut:

“Harus bagi pesakit untuk menjamakkan solat jika sukar baginya solat pada waktunya. Begitu juga bagi wanita yang menyusukan anak sedangkan dia keluar darah istihadah kerana mengelakkan sukarnya hendak bersuci pada setiap waktu solat. Serupa jua dengan orang yang menghidapi kencing tak lawas. Harus menjamakkan solat bagi orang yang tidak mampu mengetahui awal waktu solat seperti orang buta atau mereka yang tinggal di bawah bumi seperti para pekerja lombong, dan juga mereka yang takut sesuatu yang buruk berlaku pada nyawanya, hartanya, dan maruahnya, atau pun takut suatu mudarat berlaku pada kehidupannya jika dia tidak jamak. Pada demikian itu merupakan satu kemudahan bagi para pekerja yang mustahil bagi mereka untuk meninggalkan tugas mereka bagi menunaikan solat pada waktunya.”[10]

 

Ketiga: Lajnah Daimah Li al-Buhuth wa al-Ifta Arab Saudi dalam fatwa bernombor 20913, 58/112 menyebut:

“Doktor yang telah dikhususkan untuk melaksanakan operasi pembedahan perlu meraikan waktu solat agar dilaksanakan pada waktunya. Namun harus baginya pada keadaan darurat untuk menjamakkan solat secara taqdim atau ta’khir seperti Zuhur dengan Asar, Maghrib dengan Isyak, ketika mana datang keadaan darurat.

Adapun bagi solat yang tidak boleh dijamakkan dengan solat selepasnya, seperti Asar (yakni dengan Maghrib) atau Subuh (yakni dengan Zuhur), maka jika mampu hendaklah solat itu dilaksanakan pada waktunya sekalipun perlu digantikan doktor atau petugas dewan bedah bergilir-gilir dan itu lebih baik. Jika tidak mampu maka tidak ada masalah untuk dilewatkan solat dan digantikan solat itu setelah selesai operasi pembedahan. Ini kerana hal darurat yang diberikan rukhsah pada tempatnya.”

Keempat: Syeikh Fahd bin Abdullah al-Hazami: “Diharuskan bagi orang sakit untuk menjamakkan solat dalam keadaan hendak dilaksanakan pembedahan ke atasnya sehingga tidak memungkinkan pesakit itu menunaikan solat kedua pada waktunya Justeru siapa yang akan dibedah bermula pada waktu zuhur dan akan selesai selepas maghrib atau sebelum maghrib cuma masih sakit yang tidak membolehkannya menunaikan solat, maka harus bagi untuk jama’ (taqdim) solat zuhur dan asar. Begitu juga harus bagi doktor untuk menjamakkan solat jika berlaku keadaan tadi.”[11]

Kelima: Syeikh Walid bin Rasyid al-Sa`idan dalam kitabnya al-Qawaid al-Syar`iyyah fi al-Masa’il al-Tibbiyyah (hal. 30): “Harus bagi doktor bedah untuk menjamakkan solat jika dia tidak mampu mendirikan solat pada waktunya dengan sebab sibuk dengan urusan pembedahan.”

Penutup

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-54 yang bersidang pada 23 Januari 2003 telah membincangkan Pekerja-Pekerja Islam Di Kilang-Kilang Yang Tidak Dapat Menunaikan Sembahyang Fardhu. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  • Sembahyang adalah wajib bagi setiap orang Islam yang cukup syaratnya. Sembahyang fardhu hanya boleh dijamakkan jika terdapat keuzuran yang dibenarkan oleh syarak.
  • Menasihatkan kepada pihak berkuasa agar sentiasa berbincang dengan pihak kilang untuk mencari jalan supaya orang Islam boleh menunaikan sembahyang dalam waktunya.[12]

Juga, Muzakarah MKI Kali Ke-49 yang bersidang pada 19 September 2000 telah membincangkan Sembahyang Jamak Kerana Menjalani Rawatan Penyakit-Penyakit Kronik Di Hospital-Hospital Kerajaan/Swasta telah memutuskan bahawa hukum sembahyang jamak kerana rawatan penyakit kronik yang memakan masa yang lama seperti menjalani rawatan hemodialisis bagi penyakit buah pinggang dan seumpamanya adalah harus.[13]

Dalam isu di atas, kami berpendapat bahawa harus hukumnya bagi seorang doktor bedah untuk menjamakkan solatnya atas faktor kesukaran akibat rawatan dan pembedahan pesakit. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh yang muktabar:

الْمَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيرَ

Maksudnya: “Kesukaran itu mendatangkan kemudahan pada hukum.[14]

Namun begitu, rukhsah terbabit perlulah diikat dengan dawabit, atau prinsip-prinsip seperti berikut:

  • Ancaman kepada nyawa pesakit. Sekiranya doktor itu meninggalkan pesakitnya itu, maka tindakannya itu akan mengancam nyawa atau melambatkan kesembuhan pesakitnya itu.
  • Tiada pengganti. Sekiranya terdapat doktor atau ahli perubatan yang boleh menggantikan, maka hendaklah digantikan pada masa solat itu dan tidak boleh dijamakkan. Ini berdasarkan maklumat yang disampaikan kepada kami bahawa sekalipun pembedahan mengambil masa berjam-jam, tetapi ada situasi yang membolehkan doktor bedah mengambil rehat sementara digantikan oleh petugas lain.

Justeru, harus bagi seorang doktor untuk bertaqlid kepada para ulama yang membenarkan jamak solat kerana kesukaran.

Wallahua’lam.

Bertarikh: 9 Februari 2022 bersamaan 7 Rejab 1443H

[1] Lihat Fiqh al-Sunnah, 1/313

[2] Lihat Kitab al-Solah, hlm. 177 dan Fatawa Muhimmah, hlm. 93

[3] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/219

[4] Riwayat Muslim (705), Abu Daud (1211), al-Tirmizi (187), al-Nasa’i (602) dan Ahmad (3323). Syeikh Ahmad Syakir berkata bahawa isnadnya sahih.

[5] Surah al-Nisa’: 103

[6] Surah Hud: 114

[7] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran,  9/108-109

[8] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah – Qism Ibadat, hlm. 322

[9] Lihat Fatawa al-Mu`asirah, 2/584

[10] Lihat Fatawa Dar al-Ifta` al-Misriyyah, 9/55

[11] Lihat Taqrib Fiqh al-Tabib, hlm. 14

[12] Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hlm. 42

[13] Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hlm. 72

[14] Lihat al-Asybah wa al-Nazhair, hlm. 76

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Home
Account
Cart
Search