SOALAN

Bolehkah Muslim terlibat dalam projek pembinaan rumah ibadat agama lain?

JAWAPAN

Para ulama’ berbeza dengan dua pandangan dalam hal ini. Sebahagian ulama mazhab Hanafi mengharuskan umat Islam terlibat dalam membina dan bekerja di gereja. Antara yang mengutarakan pandangan ini adalah Ibn ‘Abidin dalam Hasyiyah Ibn ‘Abidin (6/391) dan Ibn Nujaim dalam al-Bahr al-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq (8/23). Majoriti ulama’ mazhab Maliki dan mazhab Syafi’i mengharamkannya. Ini boleh diteliti daripada pandangan Imam Malik sendiri dalam al-Mudawwanah al-Kubra (3/435), Imam Muhammad al-Hattab dalam Mawahib al-Jalil  (5/424), Imam al-Syafi’i dalam al-Umm (4/213) dan Syeikh Qalyubi dalam Hasyiyah Qalyubi wa ‘Umairah (3/71). Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj (6/246) pula menyatakan bahawa jika seorang Muslim berwakaf pada perkara yang maksiat seperti membina gereja, maka wakaf itu terbatal dan tidak sah. Imam Ibn al-Qayyim mengharamkan menyewa bilik atau bangunan untuk dijadikan gereja atau rumah sembahan api kaum Majusi. (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, hlm. 582).

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah berfatwa akan keharusan bagi umat Islam untuk terlibat dalam pembinaan gereja. Beliau telah ditanya akan hukum bagi umat Islam yang terlibat dalam proses bidaan / menerima tender pembinaan rumah ibadat agama lain dan hukum mengambil manfaat dari keuntungan projek tersebut. Beliau mentarjihkan pandangan sebahagian ulama mazhab Hanafi yang mengharuskan keterlibatan Muslim dalam pembinaan gereja dan rumah ibadat lain, walaupun beliau turut memperingatkan bahawa terdapat ramai ulama yang mengharamkan hal yang demikian berbanding yang mengharuskannya.[1]

Saya cenderung kepada pandangan yang mengharamkan keterlibatan orang Islam dalam pembinaan gereja atau rumah ibadat agama lain, sebagaimana yang dipegang oleh majoriti ulama. Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Walau bagaimanapun, Islam sebagai agama yang luwes, fleksibel dan meraikan keperluan-keperluan manusia ada memberikan beberapa pengecualian dalam situasi-situasi tertentu. Contohnya jika seseorang itu telah memenangi sebuah tender untuk projek pembinaan atau baik pulih rumah ibadat agama lain, wajib ke atasnya menolak tender tersebut. Namun jika terpaksa membayar denda atau pampasan yang membebankan dia boleh bertaqlid kepada mazhab Hanafi dan fatwa Syeikh Yusuf al-Qaradhawi yang mengharuskannya, atas dasar maslahah.

Jika sekiranya seseorang itu bekerja di bawah syarikat yang terlibat dalam pembinaan rumah ibadat agama lain, hendaklah dia berunding dengan majikan untuk memberikan pengecualian kepadanya daripada terlibat dengan kerja-kerja seumpamanya. Namun jika tidak mampu, dan dibimbangi akan dibuang kerja jika ingkar kepada arahan majikan, tambahan pula dalam musim yang terdesak pada ketika ini di mana banyak majikan terpaksa mengurangkan pekerja, dia juga boleh bertaqlid kepada mazhab yang mengharuskannya, atas dasar darurat. Wallahu a’lam.

____________________

[1] https://www.al-qaradawi.net/node/4225

0 thoughts on “#9 Terlibat dalam Pembinaan Rumah Ibadat Agama Lain

  1. Haryani mahad ariff says:

    Assalamualaikum Dato Dr Zulkifli,
    Maaf, apakah Hukum terlibat dalam pembinaan kubur/ tempat bakar mayat bg Agama hindu?. Kami kakitangan kerajaan tersepit.
    Mohon penjelasan

  2. MOHD RAZIB says:

    Assalamualaikum Dato Dr Zulkifli.

    Sekarang ini segelintir kakitangan kerajaan menggunakan kenderaan kerajaan sambil menjadi youtuber. Mohon penjelasan serta apa hukumnya.. Sekian terima kasih Dato..

Leave a Reply