Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah Solat Sunat Subuh dilakukan sebelum masuk waktu subuh atau selepas masuk waktu subuh?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan jawapan ini dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah  R.Anha, katanya:

لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى شَيْءٍ مِنَ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مِنْهُ تَعَاهُدًا عَلَى رَكْعَتَيِ الفَجْرِ

Maksudnya: “Nabi SAW tidak pernah memberi perhatian terhadap amalan-amalan sunat sebesar perhatian Baginda terhadap (solat sunat) dua rakaat Fajar.”

Riwayat al-Bukhari (1169)

Menurut Ibn al-Qayyim, katanya: Penjagaan Baginda SAW terhadap sunat Rawatib Subuh melebihi seluruh solat sunat. Baginda SAW tidak pernah meninggalkan sunat rawatib Subuh dan solat Witir sama ada ketika melakukan perjalanan musafir atau ketika bermukim. Ketika perjalanan musafir, Baginda SAW sentiasa menjaga dan melaksanakan sunat Rawatib Subuh dan Witir melebihi seluruh solat-solat sunat dan rawatib yang lain. Tidak ada dinukilkan daripada Baginda, ketika dalam perjalanan musafirnya melakukan solat rawatib selain rawatib Subuh. (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/305)

Dalam riwayat lain, daripada Aisyah R.Anha, bahawa beliau berkata:

صَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ العِشَاءَ، ثُمَّ صَلَّى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ، وَرَكْعَتَيْنِ جَالِسًا، وَرَكْعَتَيْنِ بَيْنَ النِّدَاءَيْنِ وَلَمْ يَكُنْ يَدَعْهُمَا أَبَدًا.

Maksudnya: “Nabi SAW solat Isyak kemudian Baginda solat lapan rakaat, dua rakaat dengan duduk, serta dua rakaat di antara dua seruan (azan dan iqamat). Baginda tidak pernah meninggalkan dua rakaat sunat Fajar tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (1159)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Maksud ungkapan Nabi SAW ‘وَرَكْعَتَيْنِ بَيْنَ النِّدَاءَيْنِ’ (dan dua rakaat di antara dua seruan), yakni di antara azan dan iqamat. Manakala dalam riwayat al-Laith, disebutkan dengan lafaz ‘ثُمَّ يُمْهِل حَتَّى يُؤَذَّن بِالْأُولَى مِنْ الصُّبْح فَيَرْكَع رَكْعَتَيْنِ’ (Kemudian Baginda menunggu seketika hingga dikumandangkan azan pertama pada waktu Subuh, lalu Baginda solat dua rakaat). Manakala dalam riwayat Imam Muslim, dariapda Yahya bin Abi Kathir, daripada Abu Salamah, disebutkan: ‘يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ بَيْن النِّدَاء وَالْإِقَامَة مِنْ صَلَاة الصُّبْح’ (Baginda SAW solat dua rakaat ringan antara azan dan iqamah solat Subuh).

Kemudian al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan pula berkenaan sabda Nabi SAW ‘وَلَمْ يَكُنْ يَدَعْهُمَا أَبَدًا’ (Baginda SAW tidak pernah meninggalkan kedua rakaat itu sama sekali). Menurut beliau, lafaz ini dijadikan dalil bagi mereka yang mengatakan bahawa solat dua rakaat fajar hukumnya wajib. Pendapat seperti ini dinukilkan daripada al-Hasan al-Basri, sebagaimana dinukilkan oleh Ibn Abi Syaibah daripada al-Hasan dengan lafaz: ‘كَانَ الْحَسَن يَرَى الرَّكْعَتَيْنِ قَبْل الْفَجْر وَاجِبَتَيْنِ’ (Hasan al-Basri berpendapat bahawa dua rakaat sebelum fajar hukumnya adalah wajib). Yang dimaksudkan dengan fajar adalah solat Subuh. Kemudian dinukilkan oleh al-Marghiyami pendapat yang serupa daripada Abu Hanifah, dikatakan: “Apabila kedua rakaat fajar itu dilakukan dengan duduk tanpa ada uzur, nescaya dianggap tidak sah.”

Sebahagian ulama’ mazhab Syafi’I – dalam qaul qadim – menjadikan hadis ini sebagai dalil untuk menyatakan bahawa solat sunat Subuh adalah solat sunat yang paling utama. Imam al-Syafi’I berkata pada qaul jadid: “Solat sunat yang paling utama adalah solat Witir.” Namun sebahagian ashabnya mengatakan: “Solat sunat yang paling utama adalah solat malam (Tahajjud).” Hal ini berdasarkan keterangan yang telah disebutkan pada awal pembahasan tentang Tahajjud. (Lihat Fath al-Bari, 4/151)

Dalam riwayat lain, Aisyah R.Anha berkata:

فَإِذَا سَكَتَ الْمُؤَذِّنُ مِنْ صَلاَةِ الْفَجْرِ وَتَبَيَّنَ لَهُ الْفَجْرُ وَجَاءَهُ الْمُؤَذِّنُ قَامَ فَرَكَعَ رَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ ثُمَّ اضْطَجَعَ عَلَى شِقِّهِ الأَيْمَنِ حَتَّى يَأْتِيَهُ الْمُؤَذِّنُ لِلإِقَامَةِ

Maksudnya: “Apabila muazzin selesai azan solat Subuh dan fajar telah nyata, muazzin pun menemui Baginda, lalu Baginda bangun bersolat sunat dua rakaat yang ringkas, kemudian Baginda mengiring atas lambung kanannya sehingga muazzin menemuinya lagi untuk iqamah.”

Riwayat Muslim (736)

Aisyah R.anha turut meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Maksudnya: “Dua rakaat sunat fajar itu lebih baik daripada dunia dan segala apa di dalamnya.”

Riwayat Muslim (725)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan “lebih baik daripada dunia dan segala apa di dalamnya” bererti lebih baik daripada harta benda dunia. Solat sunat ini dikategorikan oleh ulama sebagai salah satu solat sunat rawatib yang mengiringi solat fardu, iaitu solat fardu subuh. Waktu ditunaikannya ialah setelah masuk waktu Subuh dan sebelum ditunaikan fardhu Subuh. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/5)

Justeru, dapat difahami bahawa berkenaan waktu solat sunat Subuh, Baginda SAW melakukannya setelah azan Subuh dan jelas masuknya waktu fajar.

Selain itu, dalam riwayat lain, Nabi SAW bersabda:

لَا صَلَاةَ بَعْدَ طُلُوعِ اَلْفَجْرِ إِلَّا رَكْعَتَيْ اَلْفَجْرِ

Maksudnya: “Tidak ada solat selepas terbitnya Fajar melainkan dua rakaat (Sunat) Fajar.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (2/465), dan disebut oleh Ibn ‘Abd al-Bar dalam al-Tamhid (20/101) dan Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Bulugh al-Maram (28). Syeikh Ahmad Syakir menyebut bahawa isnadnya Sahih.

Imam al-San’ani menyebut hadis di atas adalah dalil pengharaman solat sunat selepas terbitnya fajar sebelum menunaikan solat fardhu Subuh melainkan solat sunat fajar sahaja. (Lihat Subul al-Salam, 1/175)

Selain itu Imam al-Nawawi menjelaskan di dalam kitabnya bahawa pandangan ashab al-Syafi’e waktu masuk waktu solat sunat iaitu sebelum menunaikan solat fardhu dengan masuknya waktu solat fardhu itu. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/11)

Begitu juga sepertimana yang dinukilkan oleh Imam Khatib al-Syirbini dan Syeikh Muhammad Umar al-Bantani, bahawa masuknya waktu solat sunat rawatib sebelum solat fardhu dengan masuknya waktu solat fardhu dan selepas melakukan solat fardhu. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/457; Nihayah al-Zain, 1/101)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyebut dua rakaat sebelum solat fajar (Subuh) dan waktu keduanya adalah waktu solat Subuh. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 2/1057)

Berkenaan bacaan surah juga, Imam al-Nawawi ada menjelaskan tentang isu ini. Beliau menyebut bahawa antara surah atau ayat yang disunatkan untuk kita membaca ketika solat sunat al-Fajar adalah surah al-Kafirun pada rakaat pertama dan al-Ikhlas pada rakaat kedua. Di dalam riwayat yang lain pula, disunatkan kita membaca ayat “قُولُوا آمَنَّا بِاللَّـهِ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْنَا” [al-Baqarah: 136] pada rakaat pertama dan pada rakaat kedua “قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ” [ali-Imran: 64]. Ini merupakan dalil bagi mazhab kami (al-Syafie) dan juga mazhab jumhur bahawa digalakkan membaca surah pada kedua rakaat selepas daripada surah al-Fatihah.

Digalakkan juga untuk menjadikan dua surah atau ayat ini (sebagai bacaan selepas daripada al-Fatihah) kerana ia adalah sunnah. Adapun Imam Malik dan juga ashabnya mengatakan tidak dibaca di dalam solat sunat al-Fajar melainkan al-Fatihah sahaja. Begitu juga sebahagian salaf mengatakan tidak dibacakan sesuatu sebagaimana yang telah lalu. Akan tetapi keduanya adalah khilaf (percanggahan) bagi sunnah sahih yang tidak mempunyai tentangan padanya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/6)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada keterangan di atas, kami nyatakan bahawa Solat Sunat Subuh adalah dilakukan selepas masuknya waktu Subuh. Iaitu antara azan Subuh dan Iqamat, sebelum didirikan solat fardhu Subuh.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 16 Mac 2022 bersamaan 13 Syaaban 1443H

Leave a Reply