#10 Abu Nawas: Realiti Atau Fantasi

Soalan

Abu Nawas, siapakah dia? Adakah dia khayalan atau realiti? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Abu Nuwas al-Hasan bin Hani al-Hakami, dikenali sebagai Abu Nawas atau Abu Nuwas (ابو نواس), adalah salah seorang penyair Arab yang agung. Dilahirkan di bandar Ahwaz di Parsi pada tahun 145 Hijrah, berketurunan Arab dan Parsi, membesar di Basrah dan kemudiannya berpindah ke Baghdad. Mempunyai keturunan bangsawan daripada al-Baramikah. Beliau mempunyai hubungan dengan Harun al-Rasyid dan al-Amin. Beliau meninggal dunia di Kota Baghdad pada tahun 199 Hijrah. Abu Nawas merupakan penyair yang banyak mecetuskan semangat reformasi. Dikatakan beliau juga adalah ketua penyair dalam memuji arak di sisi orang arab. Akan tetapi dia bertaubat dan kembali menjadi zuhud. Ini dibuktikan dengan syair-syair yang lain yang menunjukkan bahawa beliau sudah bertaubat.

Abu Nawas selepas kematian bapanya telah dipelihara oleh syeikh bahasa sastera dan syair, iaitu Khalaf al-Ahmar. Justeru daripadanya beliau banyak mempelajari ilmu dan sastera di samping beliau menghafaz syair-syair arab dengan jumlah yang banyak.

Ketika usianya mencecah umur 30 tahun, beliau telah berada di puncak kemahiran bahasa dan sastera, seterusnya beliau mendalami ilmu-ilmu islam yang pelbagai, termasuk feqah, hadith, makrifah ahkam al-Quran, nasikh mansukh, muhkamah, mutasyabih dan lain-lain sehingga Ibn al-Mu’taz dalam kitabnya Tabaqat al-Syu’ara’ berkata: Abu Nawas seorang Alim, Faqih dan mengetahui pelbagai hukum dan fatwa, menguasai khilaf ulama’, mempunyai hafazan daya ingatan yang kuat serta  mengetahui banyak jalur hadith. Ketika di Basrah, Abu Nuwas terpikat dengan sorang perempuan, dikenali sebagai Janan, lantas beliau menggubah lagu dan syair yang banyak untuk menggambarkan cintanya itu.

Abu Nawas berpindah ke kota Baghdad dan banyak memuji Harun al-Rasyid. Justeru dia mendapat kedudukan yang mulia. Tetapi pada saat yang sama, khalifah kerap memenjarakannya sebagai hukuman kerana syairnya yang banyak menunjukkan kerosakan akhlak. Pernah beliau dipenjara agak lama sehingga bangsawan al-Barmaki memohon syafaat kepada Harun al-Rasyid, yang akhirnya mengeluarkan beliau daripada penjara. Kemudian beliau berpindah daripada kota Baghdad menuju ke Damsyik, kemudian ke Mesir, dan juga ke Qustot. Selepas kemangkatan Harun al-Rasyid dan digantikan oleh anaknya al-Amin, Abu Nawas pulang semula ke kota Bahgdad dan Khalifah al-Amin menjadikan dia sahabat. Abu nawwas kemudiannya memuji Khalifah al-Amin dengan syair syairnya.

Para ulama’ khilaf di mana abu nawas meniggal. Ada yang berpendapat di penjara. Ada juga yang berpendapat di rumah Ismail Bin Nubikhat. Dikatakan sebab kematiannya, dia diracun kerana bisa lidahnya dengan syair. Abu Nawas mempunyai banyak kisah dek kerana kecerdikannya. Semoga Allah mengampuninya dan mengampuni kita semua.

Antara syair yang dikatakan dilaungkan ketika hampir menemui ajal ialah:

إِلَهِي لَسْتُ لِلْفِرْدَوْسِ أَهْلَا

وَلَا أَقوَى عَلَى النَّارِ الْجَحِيمِ

فَهَبْ لِي تَوْبَةً وَاغْفِرْ ذُنُوبِي

فَإِنَّكَ غَافِرُ الذَّنبِ الْعَظِيمِ

Maksudnya: Wahai Tuhan ku tak layak ke Syurga-Mu, Namun Aku tidak sanggup ke neraka-Mu. Terimalah taubatku dan ampuni segala dosaku. Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin

Wallahua`lam.

Bertarikh: 31 Januari 2022 bersamaan 28 Jamadil Akhir 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *