#1049 Tahiyyatul Masjid Bagi Masjidil Haram

Rated 0 out of 5
RM5.00

Buku Fizikal

Salam Terakhir

Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
-53%

Siri Perkahwinan

[eBook]Baiti Jannati

Rated 0 out of 5
RM20.00
Rated 0 out of 5
RM10.00
-18%

Buku Fizikal

Rahiq Makthum

Rated 0 out of 5
RM65.00RM130.00

Soalan

Apakah perlu untuk solat sunat dua rakaat tahiyatul masjid ketika memasuki Masjid al-Haram ataupun tawaf itu sendiri merupakan tahiyatul masjid? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat Tahiyatul Masjid ialah solat sunat dua rakaat yang dilakukan ketika memasuki masjid sebagai memuliakan masjid. [1]

Justeru, yang dimaksudkan dengan tahiyatul masjid ialah solat yang dilakukan untuk menghormati masjid. Ia dilakukan apabila seseorang memasuki masjid dan sebelum ia duduk. Daripada Abu Qatadah RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ

Maksudnya: “Apabila seseorang di kalangan kamu memasuki masjid, hendaklah dia rukuk (solat) dua rakaat sebelum duduk.”[2]

Imam al-San’ani di dalam penjelasannya terhadap hadith ini, beliau menyebut bahawa hadith ini merupakan satu larangan untuk duduk ketika masuk ke dalam masjid sebelum menunaikan solat dua rakaat.[3]

Imam Al-Nawawi menyebut bahawa para ulama sepakat bahawa solat sunat tahiyatul masjid adalah sunnah dan jika tiada keuzuran maka makruh hukumnya untuk duduk sebelum dilakukan solat dua rakaat.[4]

Hukum Solat Tahiyat al-Masjid

Sesungguhnya tahiyatul masjid sunat mustahab dengan ijmak muslimin kecuali apa yang dihikayatkan daripada Daud dan ashabnya daripada kewajipannya. Ijmak ulama bahawa makruh orang yang masuk masjid duduk tanpa solat tahiyat masjid tanpa uzur seperti kata Imam al-Nawawi.

Ibn Hazm berpendapat bahawa perintah dalam hadith tersebut menunjukkan kepada hukum wajib.

Imam al-Nawawi berkata: Di dalamnya terkandung pengertian disunatkan melaksanakannya, yang ia bersifat sunat menurut kesepakatan kaum muslimin. Dalamnya juga terkandung pengertian disunatkan memberi penghormatan (Tahiyat) kepada masjid setiap kali memasukinya.[5]

Dr. Said Wahf al-Qahtani dalam bukunya Ensiklopedia Solat berkata: “Paling tepat sunat muakkad, demikian itu pendapat jumhur.”[6]

Tahiyatul Masjid bagi Masjid al-Haram

Tahiyatul Masjid bagi Masjidil Haram adalah dengan tawaf. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abdulllah bin Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ صَلَاةٌ، فَأَقِلُّوا بِهِ الْكَلَامَ

Maksudnya: “Tawaf di Masjidil Haram ialah solat, maka kurangkanlah berkata-kata ketika melakukannya.”[7]

Imam al-Nawawi menyatakan, sekiranya sesorang itu masuk ke dalam Masjidil Haram, maka seharusnya dia tidak menyibukkan diri dengan solat tahiyatul masjid atau selainnya, tetapi dimulakan dengan mencium Hajar al-Aswad dan memulakannya dengan tawaf permulaan, dan perbuatan tawaf itu adalah dikira tahiyatul masjid bagi Masjidil Haram.[8]

Terdapat dua situasi apabila seseorang itu memasuki Masjidil Haram, iaitu:

Pertamanya, seseorang itu masuk dengan niat ingin melakukan tawaf, sama ada untuk haji, umrah ataupun tawaf sunat.

Dalam hal ini, perkara pertama yang harus dia lakukan adalah tawaf, dan tidak disyariatkan baginya untuk memulakan dengan solat dua rakaat tahiyatul masjid sebelum melakukan tawaf, kerana Rasulullah SAW tidak melakukan sedemikian. Begitu juga dengan para sahabat R.Anhum. Ini merupakan pandangan majoriti fuqaha.

Al-Hattab al-Maliki menyebutkan, sesiapa yang memasuki Masjidil Haram di Makkah, maka tahiyatul masjid baginya adalah dengan bertawaf di Baitullah. Ini berlaku kepada orang baru yang datang dalam keadaan berihram. Diwajibkan ke atasnya apabila dia memasuki Masjidil Haram untuk memulakan dengan tawaf al-qudum (tawaf ketibaan), jika dia telah berihram untuk Haji atau Qiran; atau dengan tawaf umrah jika dia telah berihram untuk umrah; atau dengan tawaf al-ifadah jika dia telah masuk selepas pulang dari Arafah. Dia tidak diwajibkan solat apabila dia masuk. Demikian juga bagi orang selain orang yang baru datang, jika dia masuk ke Masjidil Haram dengan niat melakukan tawaf ketika dia masuk, maka tahiyatul masjid baginya adalah dengan tawaf, dan dia tidak diwajibkan untuk solat (dua rakaat) tahiyatul masjid dalam keadaan itu.[9]

Namun begitu, sekiranya terdapat beberapa halangan seperti kesesakan yang teruk pada permulaan tawaf, maka dia boleh solat dua rakaat tahiyatul masjid, dan menunggu sehingga kesesakkan reda untuk dia memulakan tawaf.

Keduanya, seseorang itu masuk dengan niat untuk solat, duduk, menghadiri majlis ilmu, mendengar peringatan, membaca al-Quran, atau ibadah lain. Maka, dia perlu solat dua rakaat tahiyatul masjid terlebih dahulu.

Ibn Rusyd menyebutkan, tawaf mengelilingi Baitullah adalah solat, maka apabila dia masuk ke Masjidil Haram berniat untuk melakukan tawaf, hendaklah dia memulakan dengan tawaf, dan jika dia memasukinya dengan tidak berniat untuk melakukan tawaf pada waktu solat sunat, hendaklah dia mulakan dengan solat dua rakaat.[10]

Begitu juga, disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa majoriti fuqaha berpandangan, tahiyatul masjid bagi orang yang baru sahaja tiba ke Makkah, yang masuk ke dalam Masjidil Haram ialah tawaf, sama ada dia seorang peniaga, haji atau selainnya, kerana Aisyah R.Anha menyebutkan bahawa apabila Nabi SAW datang ke Makkah, Baginda berwuduk, kemudian Baginda melakukan tawaf di Baitullah. Dua rakaat tahiyatul  masjid diganti dengan dua rakaat solat selepas tawaf. Adapun bagi penduduk Makkah, mereka tidak diwajibkan untuk tawaf, begitu juga kepada mereka yang masuk ke dalam Masjidil Haram bukan dengan tujuan untuk tawaf, tetapi dia datang untuk solat, membaca al-Quran atau menuntut ilmu, maka dalam hal ini dia perlu melakukan tahiyatul masjid dua rakaat, seperti mana masjid-masjid yang lain.[11]

Adapun berkenaan dengan hadith yang disebut oleh sebahagian orang, iaitu:

تحيَّةُ البيتِ الطَّواف

Maksudnya: “Tahiyatul masjid untuk Masjidil Haram ialah tawaf.”

Hadith ini tidak mempunyai asas dalam kitab-kitab Sunnah dan tidak diriwayatkan daripada Nabi SAW dengan sebarang sanad sama sekali. Al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkan bahawa beliau tidak menjumpainya.[12]

Tambahan lagi Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-Abbad  pula menyebut dalam syarahannya bahawa beliau tidak tahu langsung berkenaan kesahihannya.[13] Begitu juga Mulla Ali al-Qari ada menyebutkan bahawa bahawa hadis ini tidak ada asal padanya.[14]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa solat sunat tahiyyatul masjid bagi Masjid al-Haram gugur kepada seseorang itu apabila dia memasuki masjid itu dengan tujuan untuk tawaf, sama ada tawaf umrah, tawaf haji, tawaf sunat atau seumpamanya. Manakala bagi mereka yang memasuki Masjid al-Haram bukan dengan tujuan untuk tawaf, maka dia perlu melakukan solat sunat dua rakaat tahiyatul masjid sebagaimana masjid-masjid lain.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 4 Julai 2022 bersamaan 4 Dzulhijjah 1443H

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/215

[2] Riwayat al-Bukhari (444), Muslim (714), Abu Dawud (467), Ibn Majah (1013) dan al-Tirmizi (316)

[3] Lihat Subul Al-Salam Syarh Bulugh Al-Maram Min Adillah Al-Ahkam, 2/62

[4] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/52

[5] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/233

[6] Lihat Ensiklopedia Solat terjemahan, 1/513

[7] Riwayat al-Darimi (1847), Ibn Hibban (3836), al-Tabrani (10955). Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan dalam al-Dirayah (2/18) bahawa hadis ini diperselisihi dari sudut mauquf dan marfu‘nya.

[8] Lihat al-Idhah, hlm. 203

[9] Lihat Mawahib al-Jalil Syarh Mukhtasar Khalil, 2/375

[10] Lihat al-Bayan wa al-Tahsil, 1/318

[11] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/306

[12] Lihat al-Dirayah, hlm. 192

[13] Lihat Syarh Sunan Abi Dawud li al-‘Abbad, 35/568

[14] Lihat al-Asrar al-Marfu‘ah, 170

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *