#1077: Status Keislaman Raja Najasyi

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah Raja Najasyi seorang Islam?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Najasyi adalah gelaran nama bagi raja Habsyah pada zaman Rasulullah dan sebelumnya. Pada asalnya raja tersebut beragama Kristian. Para sahabat pernah datang dan meminta perlindungan daripada penindasan kaum Quraisy. Raja al-Najasyi telah memberi perlindungan tersebut.

Kami jelaskan sedikit biodata tentang Raja Najasyi. Syeikh Sofiyurrahman al-Mubarakfuri melalui bukunya yang masyhur, al-Rahiq al-Makhtum, antara lain menyebut:

Nama sebenar Najasyi adalah Ashamah (أَصْحَمَة) ibn Abjar. Nabi Muhammad SAW pernah menulis perutusan kepadanya, bersama dengan Amru ibn Umayyah al-Dhamry pada akhir tahun ke-6 Hijrah atau pada bulan Muharram tahun ke-7 Hijrah. Najasyi Ashamah meninggal dunia pada bulan Rejab tahun ke-7 Hijrah, setelah Perang Tabuk. Nabi Muhammad SAW bersedih pada hari kematiannya dan melaksanakan solat jenazah ghaib untuknya. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 519)

Syeikh Sofiyurrahman al-Mubarakfuri turut menyebut tentang kisah keislaman al-Najasyi seperti berikut: Ketika Amru ibn Umayyah al-Dhamry menyampaikan perutusan Nabi Muhammad SAW kepada Najasyi, Najasyi terus mengambil perutusan itu dan membacanya. Dia turun dari istananya, kemudian memeluk Islam melalui Ja’far bin Abi Talib. Al-Najasyi menulis perutusan balas kepada Nabi Muhammad SAW pada saat itu juga. Perutusan tersebut ditulis seperti berikut:

” بِسْمِ اللّهِ الرّحْمَنِ الرّحِيمِ إلَى مُحَمّدٍ رَسُولِ اللّهِ مِنْ النّجَاشِيّ أَصْحَمَةَ سَلَامٌ عَلَيْك يَا نَبِيّ اللّهِ مِنْ اللّهِ وَرَحْمَةُ اللّهِ وَبَرَكَاتُهُ اللّهُ الّذِي لَا إلَهَ إلّا هُوَ أَمّا بَعْدُ فَقَدْ بَلَغَنِي كِتَابُك يَا رَسُولَ اللّهِ فِيمَا ذَكَرْتَ مِنْ أَمْرِ عِيسَى فَوَرَبّ السّمَاءِ وَالْأَرْضِ إنّ عِيسَى لَا يَزِيدُ عَلَى مَا ذَكَرْتَ ثُفْرُوقًا إنّهُ كَمَا ذَكَرْت وَقَدْ عَرَفْنَا مَا بُعِثْت بِهِ إلَيْنَا وَقَدْ قَرّبْنَا ابْنَ عَمّك وَأَصْحَابَهُ فَأَشْهَدُ أَنّك رَسُولُ اللّهِ صَادِقًا مُصَدّقًا وَقَدْ بَايَعْتُك وَبَايَعْتُ ابْنَ عَمّك وَأَسْلَمْتُ عَلَى يَدَيْهِ لِلّهِ رَبّ الْعَالَمِينَ “

MaksudnyaDengan nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Kepada Muhammad Rasul Allah SWT, daripada Najasyi Ashamah. Kesejahteraan daripada Allah SWT layak bagimu wahai Nabi Allah SWT serta rahmat dan berkah-Nya menyertaimu. Demi Allah SWT yang tiada Tuhan selain Dia. Amma ba’du. Telah sampai kepadaku perutusanmu wahai rasul Allah SWT, tentang apa yang kau sebutkan mengenai persoalan Isa. Maka demi Rabb Penguasa langit dan bumi, sesungguhnya Isa memang tidak lebih daripada apa yang engkau sebutkan dan dia memang seperti yang engkau katakan. Kami juga telah tahu isi perutusan yang engkau kirimkan kepada kami. Kami telah mempertahankan anak bapa saudaramu dan sahabat-sahabatmu. Maka aku bersaksi bahawa engkau adalah rasul Allah SWT dengan kesaksian yang benar lagi membenarkan. Aku telah bersumpah setia kepadamu dan bersumpah setia kepada anak bapa saudaramu. Aku telah memeluk Islam di hadapannya, menyerahkan diri kepada Allah SWT, Tuhan Penguasa semesta alam. (Lihat Zad al-Ma’ad, 3/600; al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 520)

Nabi Muhammad SAW kemudian meminta al-Najasyi agar dia mengirim kembali Ja’far dan pengikutnya yang berhijrah ke Habsyah dengan menumpang dua kapal, bersama Amru ibn Umayyah al-Dhamry. Mereka bertemu Nabi Muhammad SAW yang pada masa itu sedang berada di Khaibar. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 2/359)

 

Berdasarkan kepada nas hadith, maka pendapat yang paling sahih, Raja al-Najasyi telah memeluk Islam. Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW, yang diriwayatkan daripada Jabir R.A, bahawa Nabi SAW bersabda ketika mana al-Najasyi meninggal dunia:

مَاتَ اليَوْمَ رَجُلٌ صَالِحٌ، فَقُومُوا فَصَلُّوا عَلَى أَخِيكُمْ أَصْحَمَةَ

Maksudnya: “Seorang lelaki soleh telah meninggal hari ini. Berdirilah dan solatlah untuk saudara kamu Ashamah (solat jenazah ghaib).”

Riwayat al-Bukhari (3877) dan Muslim (952)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: Al-Najasyi adalah gelaran bagi raja-raja Habasyah. Menurut Ibn al-Tin, huruf ya’ yang berada di akhir perkataan ‘al-Najasyi’ berbaris sukun. Maksudnya, huruf tersebut adalah pembentuk dasar kata bukan sebagai tambahan untuk menunjukkan penisbahan. Para ulama selainnya memberi tanda tasydid pada huruf ya’ tersebut. Sementara Ibnu Dihyah meriwayatkan baris kasrah pada huruf nun (yakni al-Nijasyi).

Beliau (Imam al-Bukhari) menyebutkan kematian al-Najasyi di tempat ini sekadar perluasan pembahasan, kerana kaum muslimin berhijrah kepadanya. Al-Najasyi meninggal pada tahun ke-9 selepas hijrah menurut kebanyakan ulama. Pendapat lain mengatakan tahun ke-8 sebelum pembebasan kota Makkah. Pandangan ini disebutkan al-Baihaqi dalam kitab Dala’il al-Nubuwwah.

Timbul pertanyaan mengenai sikap Imam al-Bukhari yang tidak membuat bab yang menjelaskan keislamannya (sedangkan di sini adalah tempat untuk itu), tetapi sebaliknya membuat bab yang menjelaskan kematiannya. Sementara dia meninggal lama sesudah itu. Jawapannya, bahawa Imam al-Bukhari tidak menemui hadith mengenai kisah sifat keislamannya. Namun, beliau hanya menemui hadith yang menunjukkan keislaman al-Najasyi berkaitan dengan kematiannya. Maka beliau membuat tajuk باب مَوْت النَّجَاشِيِّ (Bab Kematian al-Najasyi) untuk dijadikan dasar bahawa perbuatan Nabi SAW yang mensolatkannya menunjukkan al-Najasyi telah memeluk Islam. (Lihat Fath al-Bari, 11/201)

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 17 September 2022 bersamaan 21 Safar 1444H

 

1 thoughts on “#1077: Status Keislaman Raja Najasyi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *