Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum memakan kutu laut atau ia dipanggil juga sebagai ibu remis atau Yat Yat? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.[1]

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, tatkala haiwan buruan itu merangkumi haiwan buruan darat dan lautan, Allah SWT telah mengecualikan bagi kamu — dalam keadaan kamu sedang berihram — haiwan buruan laut iaitu haiwan laut yang hidup dan makanan yang didapati dari laut iaitu haiwan laut yang sudah mati. Justeru, perkara itu menunjukkan bahawa bangkai haiwan laut adalah halal. Selain itu, faedah kehalalannya itu adalah bertujuan supaya kamu memanfaatkannya dan begitu juga temanmu yang bersama kamu dalam perjalanan turut memanfaatkannya.[2]

Definisi kutu laut (mole crab)

Haiwan berbentuk seperti kutu namun lebih kecil dan bercengkerang seperti udang dipercayai daripada spesies Sand Flea atau Crab Mole. Ia juga dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Yat Yat atau ibu remis. Ia biasanya ditangkap dengan menggunakan raga atau tudung saji. Sebahagian tempat yang lain pula, memanggilnya sebagai kutu laut atau undur-undur laut.[3]

Gambar atas: Yat Yat atau kutu laut yang sudah ditangkap dalam raga.[4]

Yat Yat, kutu laut atau crab mole ini ialah krustasea dekapod yang hidup di kawasan tropika atau subtropika. Mereka menggali dalam pasir basah berhampiran zon pemecah gelombang pantai, mencipta riak kecil berbentuk V dengan antena yang dinaikkan. Mole crab (Emerita) tergolong dalam filum arthropod dalam kelas Malacostraca. Arthropoda ialah haiwan invertebrata dengan exoskeleton, dan Malacostraca merangkumi lebih 40,000 krustasea. Ia termasuk dalam order Decapoda, bersama dengan ketam, lobster, udang karang, dan udang. Emerita ialah genus kecil dalam keluarga Hippidae, merangkumi mole crab atau sand crab (ketam pasir).

Selain itu, ia juga ialah krustasea kecil dengan badan berbentuk tong, berukuran 0.3 hingga 2 inci panjang, tidak lebih besar daripada ibu jari manusia. Betina biasanya jauh lebih besar daripada jantan dan mengandungi telur oren terang pada perut mereka. Ia mempunyai exoskeleton yang kuat dengan lima set kaki di bahagian bawahnya, yang digunakan untuk bergerak melalui air, menggali pasir dan bergerak ke belakang. Walau bagaimanapun, ia tidak boleh berjalan di atas pasir kering. Selain daripada itu, ia juga mempunyai antena berbulu, yang membantunya makan, dan insang untuk bertahan di dalam air (seperti krustasea yang lain). Terdapat di bahagian perutnya pula ialah “penggali”, yang melindungi telur, memulakan penggalian, dan melabuhkannya di pasir. Manakala dari segi dietnya pula, ia memakan plankton dan organisma laut kecil yang lain. Tambahan lagi, ketam berbentuk tong ini sangat sesuai dengan persekitaran mereka, menapis organisma dari air dan juga memakan sesungut yang boleh membawa maut.

Gambar atas: Saiz Yat Yat di atas tangan.[5]

Pemangsa utama mereka ialah ikan, burung, dan manusia. Ketam ini merupakan sumber makanan penting untuk barred surfperch (sejenis ikan) di timur Lautan Pasifik, dan begitu juga burung laut menjadi ancaman di seluruh kawasan mereka. Bahkan, nelayan turut menjadikan mereka sebagai umpan, menggalinya dan menyimpannya untuk digunakan kemudian. Seperti organisma bercengkerang yang lain, ia juga terdedah kepada ancaman pengasidan lautan, perubahan kimia dalam air yang terikat dengan paras karbon dioksida.[6] Bukan itu sahaja, sebahagian tempat turut menangkap ketam ini, yang juga dipanggil sebagai kutu laut atau Yat Yat untuk dimakan.[7]

Hukum memakan kutu laut (mole crab)

Pada asasnya, haiwan air dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”[8]

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”[9]

Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini.[10] Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan, tanpa perlu berhajat kepada sembelihan. Justeru, bangkainya adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air.[11] Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.[12]

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.[13]

Selain itu, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari juga ada menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi dhawabit (garis panduan) dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan laut, iaitu:

مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ

Maksudnya: “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”

Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja atau apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, maka hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta ia dinisbahkan sebagai hidupan air. Kemudian, jika suatu haiwan itu tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal untuk memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk dalam jenis haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram — untuk memakannya.[14]

Gambar atas: Contoh masakan Yat Yat atau kutu laut.[15]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa kutu laut atau Yat Yat termasuk dalam haiwan laut yang halal dimakan berdasarkan kepada keumuman nas yang menghalalkan semua hidupan laut dan bangkainya selagi mana tiada dalil lain yang menunjukkan kepada pengharamannya dan tidak memudaratkan. Apatah lagi, ia juga memiliki insang untuk bernafas di dalam air dan tidak boleh berjalan di atas pasir kering. Begitu juga ‘uruf dan adat setempat di negara kita juga menunjukkan bahawa ia dimakan dan tidak dianggap sebagai haiwan jijik.

Tambahan lagi, jika benar ia termasuk dalam kategori atau jenis ketam, maka alhamdulillah, mutakhir ini, isu makan ketam bukanlah menjadi pelik, ganjil atau asing, tetapi ia sudah menjadi perkara yang umum oleh kebanyakan manusia. Menariknya, walaupun kita berada di bumi Malaysia tetapi zaman kini, kita juga dapat merasa ketam yang berhampiran dengan lautan Artik dan Antartika. Sebagai contoh, ketam Alaska dan lain-lain. Justeru, isu seperti ini sudah diterima pakai oleh kebanyakkan masyarakat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 Februari 2023 bersamaan 30 Rejab 1444H

[1] Surah al-Ma’idah: 96

[2] Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/244.

[3] Lihat https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/652735/seronok-kutip-yat-yat-metrotv; lihat juga https://www.youtube.com/watch?v=8dVfhpEfFaw; https://www.youtube.com/watch?v=USOnKI-doU8; https://www.youtube.com/watch?v=7XrpKiF0Fxc. Diakses pada 20 Januari 2023.

[4] Sumber gambar: https://siraplimau.com/cara-buat-yat-yat-goreng-kunyit-viral-sedap-rasa-macam-baby-crab/. Diakses pada 21 Januari 2023.

[5] Sumber gambar: https://assets.hmetro.com.my/images/articles/131220amalina1_1607875845.jpg

[6] Lihat https://a-z-animals.com/animals/mole-crab-sand-flea/. Diakses pada 21 Januari 2023.

[7] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=8dVfhpEfFaw. Diakses pada 21 Januari 2023.

[8] Surah al-Ma’idah: 96.

[9] Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

[10] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548.

[11] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548.

[12] Surah al-Ma’idah: 96

[13] Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

[14] Lihat Asna al-Matalib, 1/566.

[15] Sumber gambar: https://dailymakan.com/wanita-ini-kongsi-lipas-air/48421/. Diakses pada 21 Januari 2023.

Leave a Reply