#1086: Tanasukh al-Arwah

-25%
Percuma Al-Quran
Rated 0 out of 5
Original price was: RM440.00.Current price is: RM330.00.
-30%
Size Pocket
Rated 0 out of 5
Original price was: RM10.00.Current price is: RM7.00.
-30%
Rated 0 out of 5
Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Dengan Nama Allah

Rated 0 out of 5
Original price was: RM15.00.Current price is: RM10.50.
-30%

Buku Fizikal

Imam Mahdi

Rated 0 out of 5
Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Yajuj dan Majuj

Rated 0 out of 5
Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Rated 0 out of 5
Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%
Rated 0 out of 5
Original price was: RM70.00.Current price is: RM49.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan. Bagaimanakah dengan seseorang yang berpegang dengan konsep atau fahaman Tanasukh al-Arwah? Adakah ia menepati ajaran Islam ataupun sebaliknya?  Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

Allah SWT berfirman:

‏ وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: ‘Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.’”

(Surah al-Isra’: 85)

Sayyid Qutb menyebutkan, apabila mereka bertanya Rasulullah SAW mengenai roh, maka Allah memerintahnya supaya memberi jawapan kepada mereka bahawa roh itu adalah urusan Allah. Hanya ilmu Allah sahaja yang mengetahuinya dan tiada sesiapa pun yang mengetahui selain Allah SWT. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 10/261).

Begitu juga al-Sa‘di ada menyatakan, ayat ini menunjukkan tentang kelemahan manusia iaitu dalam sesetengah perkara mereka tidak mampu untuk mencapai dan mengetahuinya. Disebabkan itu, Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW agar menjawab persoalan mengenai roh ini dengan menyerahkan urusannya kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 143).

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

اللّه يَتَوَفَّى ٱلْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَٱلَّتِى لَمْ تَمُتْ فِى مَنَامِهَا ۖ فَيُمْسِكُ ٱلَّتِى قَضَىٰ عَلَيْهَا ٱلْمَوْتَ وَيُرْسِلُ ٱلْأُخْرَىٰٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى

Maksudnya: “Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa daripada badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan.”

(Surah al-Zumar: 42)

Para ulama mempunyai beberapa tafsiran dan pandangan berkenaan ayat ini. Secara zahirnya, ayat ini menjelaskan bahawa roh orang yang mati akan ditahan dan tidak akan dikembalikan semula. Ini membawa makna bahawa roh orang yang mati tidak akan lagi kembali ke dunia. Imam al-Tabari menjelaskan bahawa roh akan dicabut ketika seseorang tidur dan kemudiannya roh-roh itu akan saling bertemu antara satu sama lain dan saling bertanya antara satu sama lain. Kemudian roh orang yang hidup akan dikembalikan semula dan roh orang yang mati ingin kembali namun ditahan oleh Allah SWT. Roh orang yang hidup akan ditarik semula pada hari kematian yang telah ditetapkan untuk mereka. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Takwil Ay al-Quran, 21/299).

Imam al-Qurtubi menukilkan pandangan Ibn Abbas yang menyebut bahawa roh orang hidup dan mati akan saling bertemu dan saling berkenalan antara satu sama lain dengan izin Allah SWT. Apabila ingin kembali Allah akan menahan roh orang yang mati dan akan mengembalikan roh orang yang hidup ke dalam jasad mereka semula. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 15/260).

Tanasukh al-Arwah

Seterusnya, sebelum kita membahaskan dengan lanjut berkenaan dengan perkara ini, adalah lebih baik untuk kita mengetahui terlebih dahulu, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘Tanasukh al-Arwah’ ini. Dalam al-Mausu‘ah al-Muyassarah fi al-Adyan mendefinisikan Tanasukh al-Arwah sebagai sekiranya seseorang itu mati, maka jasadnya akan binasa, lalu roh akan meninggalkan jasad itu untuk dijelmakan semula dan menetap dalam jasad yang lain berdasarkan kepada amalan yang dia kerjakan dalam kehidupannya yang pertama. Seterusnya roh akan memulakan kitaran baru dalam hal tersebut. (Lihat al-Mausu‘ah al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazhab wa al-Ahzab al-Mu‘asirah, 2/728).

Malah dalam satu kertas kerja bertajuk: Asas Rujukan dalam Bidang Aqidah Islam yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut memberi penjelasan berkaitan fahaman Tanasukh al-Arwah, iaitu persalinan roh atau ‘tanasukh arwah’ ialah bermaksud perpindahan roh seorang yang telah mati kepada orang lain. Dalam ajaran Islam tidak ada akidah begini, akidah seperti ini ada terdapat di kalangan penganut agama Hindu dan juga sebahagian penganut ajaran Syiah. Di kalangan pengamal perbomohan ada yang mempercayai mengenai perpindahan ruh seseorang kepada orang lain. Ini suatu perkara yang di luar dari akidah Islam.

Pendapat Ulama Berkenaan Fahaman Tanasukh al-Arwah

Secara umumnya, tidak dapat dinafikan bahawa pendapat Tanasukh al-Arwah (perpindahan roh) ini merupakan perkataan kufur.  Al-Qadhi ‘Iyadh menyebutkan, diputuskan bahawa telah jatuh kufur bagi sesiapa yang berpendapat dengan Tanasukh al-Arwah dan perpindahannya selama-lamanya pada diri manusia, serta mereka diseksa atau diberi nikmat dalam diri manusia itu berdasarkan kepada kecerdikan dan kejahatannya. (Lihat al-Syifa, 2/1067-1077).

Selain itu, al-Dardir dalam kalangan ulama mazhab Maliki juga ada menyatakan bahawa seseorang itu dihukum sebagai kafir sekiranya dia berpendapat dengan Tanasukh al-Arwah iaitu seseorang yang berkata bahawasanya mereka yang mati itu rohnya akan berpindah kepada yang seumpamanya, atau kepada yang lebih tinggi daripadanya — dari segi darjat — jika dia seorang yang taat, atau kepada yang lebih rendah daripadanya atau seumpamanya jika dia seorang pelaku maksiat. Maka orang yang berpendapat sedemikian telah jatuh kafir kerana perkara itu menunjukkan kepada pengingkaran terhadap hari kebangkitan. (Lihat al-Syarh al-Saghir, 6/147-148; Hasyiah al-Dusuki ‘ala al-Syarh al-Kabir, 4/269).

Begitu juga Syeikh Dr. Ramadhan al-Buti menerangkan bahawa berdasarkan nas, nikmat dan seksaan azab kubur itu adalah sabit (sesuatu yang pasti) berdasarkan panduan daripada al-Quran. Sekiranya azab kubur itu adalah pasti, maka bagaimana boleh berlakunya perpindahan roh kepada jasad yang lain, seolah-olah roh yang berpindah akan terlepas daripada azab. Beliau menyebutkan, roh itu disibukkan dengan tuan jasadnya dan ia terkurung bagi jasadnya atau atas jasadnya. Hal ini seperti yang difirmankan oleh Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ

Maksudnya:Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya.

(Surah al-Muddatthir: 38)

Sesungguhnya gambaran bagi perpindahan roh itu adalah sesuatu yang melibatkan perkara ghaib seperti yang kita maklum. Urusan perkara yang ghaib ini tidak berada di bawah penguasaan akal selagi mana terdapatnya hijab antara keduanya. (Lihat Kubra al-Yaqiniyyat al-Kauniyah, hlm. 314-315).

Demikianlah juga Dar al-Ifta’ al-Misriyyah ketika di bawah penyeliaan Syeikh ‘Abd al-Latif Hamzah dalam fatwa mereka pernah ditanya berkenaan hukum seseorang yang mendakwa beragama Islam tetapi mempercayai fahaman Tanasukh al-Arwah (perpindahan roh), mereka menjawab:

Roh merupakan satu jisim bangsa cahaya lagi tinggi yang bergerak di dalam jasad yang zahir dengan izin Allah dan perintah-Nya, dan sesungguhnya pengetahuan mengenai kejadian roh dan hakikatnya termasuk pengetahuan Allah, dan tidaklah dibezakan roh itu dengan sesuatupun daripada mahluk-Nya, dan begitu juga tidaklah diberikan pengetahuan-Nya (mengenai roh itu) kepada satu pun daripada kalangan mereka — yakni makhluk-makhluk-Nya. Allah SWT berfirman:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya:Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang roh. Katakanlah, ‘Roh itu termasuk urusan Tuhanku, sedangkan kamu diberi pengetahuan hanya sedikit.’”

(Surah al-Isra’: 85)

Apabila roh telah terpiasah daripada badan disebabkan oleh kematian, maka tempat menetap bagi roh itu berbeza-beza. Roh-roh para nabi A.S itu berada di martabat yang paling tinggi daripada kedudukan yang tinggi. Sesungguhnya telah sahih bahawa perkara terakhir yang Rasulullah SAW nyatakan, “اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى” sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim dalam kitab sahih mereka, serta selain mereka.

Manakala tempat tinggal bagi roh-roh para syuhada adalah di dalam syurga dan roh kanak-kanak bagi orang-orang Mukmin pula adalah di suatu tempat yang dekat dengan syurga tersebut. Adapun roh-roh bagi orang bukan Islam dan tidak beriman pula adalah di penjara seperti mana yang thabit daripada hadith-hadith Rasulullah SAW. Imam al-Suyuti dalam kitabnya Syarh al-Suyuti ‘ala Sahih Muslim (1/131) menyatakan bahawa diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata:

خَرَجْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ إِلَى خَيْبَرَ، فَفَتَحَ اللهُ عَلَيْنَا فَلَمْ نَغْنَمْ ذَهَبًا وَلَا وَرِقًا، غَنِمْنَا الْمَتَاعَ وَالطَّعَامَ وَالثِّيَابَ، ثُمَّ انْطَلَقْنَا إِلَى الْوَادِي، وَمَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ عَبْدٌ لَهُ، وَهَبَهُ لَهُ رَجُلٌ مِنْ جُذَامٍ يُدْعَى رِفَاعَةَ بْنَ زَيْدٍ مِنْ بَنِي الضُّبَيْبِ، فَلَمَّا نَزَلْنَا الْوَادِيَ، قَامَ عَبْدُ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ يَحُلُّ رَحْلَهُ، فَرُمِيَ بِسَهْمٍ، فَكَانَ فِيهِ حَتْفُهُ، فَقُلْنَا: هَنِيئًا لَهُ الشَّهَادَةُ يَا رَسُولَ اللهِ، قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ:كَلَّا وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، إِنَّ الشِّمْلَةَ لَتَلْتَهِبُ عَلَيْهِ نَارًا أَخَذَهَا مِنَ الْغَنَائِمِ يَوْمَ خَيْبَرَ لَمْ تُصِبْهَا الْمَقَاسِمُ

Maksudnya:Kami telah keluar bersama Nabi SAW ke Khaibar, lalu Allah membukakan kepada kami untuk menaklukinya, maka kami tidak mengambil harta rampasan daripada emas dan perak. Kami hanya mengambil barang-barang, makanan-makanan dan pakaian, kemudian kami menuju ke satu lembah. Bersama-sama Rasulullah SAW itu terdapat seorang hamba milik Baginda, hamba itu telah diberikan kepada Nabi SAW oleh seorang lelaki daripada Juzam yang dipanggil Rifa‘ah bin Zaid daripada keluarga Bani Dhubaib. Maka tatkala kami turun ke lembah itu, hamba Rasulullah SAW itu bangun menguraikan pelananya. Namun tiba-tiba dia dipanah dan menemui ajalnya di sana. Kami pun berkata, ‘Kami mengucapkan selamat baginya wahai Rasulullah kerana telah mendapatkan mati syahid.’ Tetapi Rasulullah SAW bersabda: ‘Tidak, demi Zat yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya, sesungguhnya dia akan dilahab oleh api neraka kerana selimut daripada ghanimah perang Khaibar yang diambilnya sebelum dibahagikan.

Riwayat al-Bukhari (4234) dan Muslim (115)

Imam Ahmad dalam Musnadnya meriwayatkan hadith dengan sanad daripada Muhammad bin Abdullah bin Jahsy R.Anhuma bahawa:

أَنَّ رَجُلًا جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ مَا لِي إِنْ قُتِلْتُ فِي سَبِيلِ اللهِ، قَالَ: الْجَنَّةُ، فَلَمَّا وَلَّى، قَالَ: إِلَّا الدَّيْنَ سَارَّنِي بِهِ جِبْرِيلُ آنِفًا

Maksudnya:Seorang lelaki telah datang kepada Nabi SAW sambil berkata: ‘Wahai Rasulullah, apakah bagiku jika aku dibunuh di jalan Allah?’ Baginda menjawab: ‘Syurga.’ Maka tatkala orang itu ingin pergi, Baginda bersabda lagi: ‘Kecuali jika dia masih menanggung hutang, Jibril baru sahaja memberitahukan kepadaku.’

Riwayat Ahmad (22626). Hadith ini dinilai sahih sebagaimana dalam Syarh al-Tahawiyah (403)

Sebahagian orang yang terkeluar daripada Islam dan orang yang tidak beriman dengan hari akhirat berkata bahawa sesungguhnya roh-roh itu berpindah selepas berpisahnya jasad-jasad dengan sebab kematian kepada jasad-jasad yang lain seperti burung-burung dan haiwan-haiwan yang sesuai baginya dan diberi kenikmatan padanya atau diazab. Apabila roh berpisah daripada jasad, maka ia akan meresap ke dalam badan-badan yang lain sesuai dengan akhlak dan amalannya, dan ia akan berlaku selama-lamanya dengan jalan Tanasukh (perpindahan). Tidak syak lagi bahawa hal ini bertentangan dengan perkara yang disepakati oleh para rasul dan nabi-nabi, dan ia merupakan suatu kekufuran dengan Allah dan hari Akhirat. Tidak sepatutnya bagi seorang Muslim menyibukkan diri pada perkara yang telah berada dalam kekuasaan Allah dengan pengetahuan-Nya. Kita hanya perlu beriman sebagaimana yang telah datang daripada al-Quran dan al-Sunnah. Hal ini kerana perbahasan pada perkara-perkara ghaib itu boleh menjatuhkan seorang ke dalam kesesatan dan menjauhkannya daripada keimanan.[1]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa roh ialah unsur yang akan kembali kepada Allah SWT tanpa diketahui oleh manusia kecuali apa yang dikhabarkan oleh nas-nas syarak. Iktikad Tanasukh al-Arwah adalah bercanggah dengan akidah Islam, bahkan ia menyerupai akidah batiniyah yang jelas menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Justeru, akidah seperti ini amat bahaya dan wajib bagi pelakunya yang terlibat dengan kepercayaan ini untuk bertaubat dengan taubat nasuha. Semoga Allah SWT memelihara iman dan akidah kita daripada terpesong ke jalan yang batil. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya:Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

(Surah Ali ‘Imran: 8)

Ibn Kathir menyebutkan, pengertian doa ini adalah: Wahai Tuhan kami, janganlah engkau palingkan hati kami daripada petunjuk setelah Engkau berikan kami petunjuk dan Engkau tetapkan kami di atas jalan petunjuk. Dan janganlah jadikan kami seperti orang yang hatinya sesat di mana mereka sengaja mengikuti ayat-ayat musyabih dalam al-Quran dengan tujuan mencipta fitnah dan membuat pentakwilan yang batil. Tetapkanlah kami pada jalan Engkau yang lurus dan agama-Mu yang kukuh. Kurniakanlah kepada kami dari sisi-Mu rahmat yang dapat meneguhkan hati kami, menyatukan diri-diri kami dan menambah keimanan serta keyakinan dalam jiwa kami. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/11).

Bagi pembaca yang ingin mendapatkan penjelasan lebih lanjut berkenaan konsep atau fahaman Tanasukh al-Arwah ini bolehlah merujuk kepada Siri Kajian Ilmiah (e-buku) di Laman Web Rasmi Maktabah al-Bakri.[2]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 Februari 2023 bersamaan 30 Rejab 1444H

[1] Lihat Lihat http://dar-alifta.org/home/viewfatwa?ID=15479. Diakses pada 9 Jun 2022.

[2] https://maktabahalbakri.com/.

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *