Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seseorang yang mendakwa sebagai nabi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, kami maksudkan di sini, sesiapa yang bukan nabi sebenar, selepas Nabi SAW atau semasa Nabi SAW, mendakwa bahawa beliau juga menjadi Nabi maka dia adalah nabi palsu dan inilah yang kita ingin bahaskan dari sudut hukumnya.

Firman Allah SWT: 

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أَوْ قَالَ أُوحِيَ إِلَيَّ وَلَمْ يُوحَ إِلَيْهِ شَيْءٌ وَمَن قَالَ سَأُنزِلُ مِثْلَ مَا أَنزَلَ اللَّهُ 

Maksudnya: Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah, atau orang yang berkata: “Telah diberi wahyu kepadaku”, padahal tidak diberikan sesuatu wahyu pun kepadanya; dan orang yang berkata: “Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah”. 

(Surah al-An’am: 93)

Al-Tabari berkata: Allah SWT menyatakan ‘وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا’, maksudnya adalah, Siapakah yang paling salah ucapan dan paling bodoh perbuatannya?” Firman Allah SWT, ‘مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا’, maksudnya adalah orang yang berbuat dusta atas nama Allah, dia mengaku Allah SWT telah mengutusnya sebagai seorang nabi dan rasul, sementara pengakuannya itu batil dan ucapannya itu dusta. (Lihat Jami’ al-Bayan, 10/241)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Ini adalah ancaman terhadap sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan – yang antaranya – melakukan penipuan atas nama Allah dengan mengaku telah mendapat wahyu, seperti Musailimah al-Kazzab, pembesar Yamamah, al-Aswad al-’Ansi dari San’a, Yaman, dan Tulaihah al-Asadi dari Bani Asad. Musailimah telah berkata, “Muhammad adalah rasul Quraisy, aku adalah rasul Bani Hanifah.”

Dr Wahbah al-Zuhaili berkata lagi: “Kedustaan yang paling besar adalah engkau menjadikan sekutu bagi Allah, sedangkan Dia-lah yang menciptakanmu, atau mengada-adakan kebohongan atas nama Allah dan mengaku telah mendapat kenabian atau wahyu, atau juga menafikan kenabian dari seorang nabi, seperti Nabi Muhammad SAW, dan mendakwa bahawa engkau mampu menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah.

Beliau kemudian menukilkan bahawa al-Qurtubi berkata: “Antara bentuknya adalah orang yang berpaling dari Syariat, Sunnah dan Sunnah para salaf, kemudian dia berkata: “Dalam fikiranku, terlintas sesuatu, atau hatiku memberi maklumat kepadaku.” Setelah itu, mereka menetapkan suatu hukum sesuai dengan apa yang ada dalam hati mereka dan terlintas dalam fikiran mereka. Mereka mengaku bahawa itu berasal dari hati dan fikiran mereka yang bersih dari kotoran dan penuh dengan keikhlasan sehingga datanglah ilmu-ilmu Ilahi dan hakikat-hakikat rabbani. Mereka mengatakan bahawa hukum syariat hanya berlaku bagi orang-orang bodoh dan kalangan umum sahaja. Adapun para wali dan orang-orang soleh, mereka tidak memerlukan nas-nas syariat lagi. 

Ada sebuah ungkapan, “Mintalah fatwa kepada hatimu meskipun para mufti telah memberi fatwa.” Mereka berdalilkan dengan peristiwa Nabi Khidhir yang mengambil ilmu melalui ilham tanpa bersandar pada ilmu yang dimiliki oleh Nabi Musa AS. Pendapat ini termasuk zindiq dan kufur, dia wajib dibunuh dan tidak perlu diminta keterangan lagi. Apa yang mereka lakukan berakibat pada batalnya ketetapan Allah dan menyebabkan lahirnya keyakinan akan adanya nabi setelah Nabi Muhammad SAW.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 7/39;  al-Tafsir al-Munir, 7/300)

Kalaulah mereka mempunyai secebis akal atau sezarah daripada cahaya nescaya mereka mengetahui bahawa dakwaan kenabian atau membenarkannya selepas Rasulullah SAW adalah cacat akal, bodoh dan memfitnah serta mentohmah Allah SWT yang bersifat ahkam al-hakimin dalam memilih hambanya mengikut apa yang Dia kehendaki. Firman Allah SWT:

 وَرَبُّكَ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَيَخْتَارُ ۗ مَا كَانَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ ۚ سُبْحَانَ اللَّهِ وَتَعَالَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ ‎

Maksudnya: “Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dia lah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya.”

Surah al-Qasas (68)

Dari hikmahnya yang bersifat hakim lagi ‘alim dan rahmatnya dengan umat Nabi SAW, khatamul nabiyyin bahawa ia telah menyebut tentang kewujudan dajjal-dajjal yang mendakwa menjadi nabi sebelum Rasulullah SAW wafat. Ini bertujuan untuk menghindar fitnah mereka, menyelamatkan dari kesesatan mereka dan dapat memohon pertolongan dengan Allah SWT dari tipu daya syaitan.

Kami nukilkan di sini beberapa pandangan ulama’, antaranya:

  • Dalam kitab Usul al-’Aqidah menyebut: Mendakwa kenabian termasuk dalam perkara yang boleh membawa kufur. Kalau mana-mana manusia mendakwa bahawa dia adalah nabi, maka ia keluar daripada lingkaran Islam, kerana ia mendustai apa yang dikhabarkan oleh Allah dan Nabi SAW secara mutawatir yang ia adalah Khatam al-Nabiyyin, dan tiada lagi nabi selepasnya. Ini adalah pendustaan yang membawa tuan yang berkata seperti ini kafir dan bukan orang Islam. Semua yang mendakwa kenabian, maka ia dihukum murtad dengan ijma’ orang Islam. (Lihat Usul al-’Aqidah oleh ‘Abd al-Rahim al-Sulami, 8/10)
  • Dalam Majmu’ al-Fatawa menyebut: Telah ijma’ orang Islam bahawa siapa yang mendakwa kenabian selepas Rasulullah SAW, maka ia adalah kafir, pendusta yang hendaklah diminta bertaubat. Jika ia bertaubat, maka selamatlah ia. Sebaliknya, jika enggan, hendaklah dibunuh kerana hukumnya kafir. Dan Allah SWT telah mengutuskan Rasulullah SAW kepada sekalian manusia dengan ijma’ orang Islam. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, himpunan Syeikh al-Syuwai’ir, 2/223-224)

Terdapat beberapa nas yang menunjukkan Rasulullah SAW sebagai nabi terakhir dan adanya kemunculan nabi palsu. Kami kemukakan beberapa nas tersebut di sini: Firman Allah SWT:

 مَّا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِّن رِّجَالِكُمْ وَلَٰكِن رَّسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ

Maksudnya: “Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi.”

(Surah al-Ahzab: 40)

Ayat ini menunjukkan bahawa tidak ada nabi lagi sesudahnya. Sekiranya tidak ada lagi nabi selepasnya, maka tidak adanya rasul selepasnya adalah lebih-lebih lagi kerana maqam al-Risalah adalah lebih khusus berbanding maqam al-Nubuwwah. Hal ini kerana setiap rasul itu merupakan nabi, sedangkan nabi belum tentu lagi adalah rasul. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/645).

Bilamana Allah menyebut ‘خَاتَمَ النَّبِيِّينَ’, jelas menunjukkan tiada lagi nabi selepas Rasulullah SAW, kerana ia adalah khatam. Allah tidak menyebut, ‘خَاتَمَ المُرْسَلِيْنَ’. Itulah daqiq-nya bahasa Arab.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 أَنَا خَاتَمُ النَّبَيِّينَ، لَا نَبِيَّ بَعْدِي

Maksudnya: “Aku adalah penutup segala Nabi-nabi. Tidak ada Nabi lagi selepasku.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (3274). Ibn al-Jauzi menyatakan hadith ini adalah Sahih dalam Maudhu’at Ibn al-Jauzi (7/2). Ibn Baz dalam Fatawa Nur ‘Ala al-Darb menyatakan hadith ini mutawatir.

Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُبْعَثَ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ قَرِيبٌ مِنْ ثَلاَثِينَ، كُلُّهُمْ يَزْعُمُ أَنَّهُ رَسُولُ اللهِ.

Maksudnya: “Tidak akan berlaku hari Kiamat sehinggalah dibangkitkan ‘dajjal-dajjal’ (para pendusta) yang jumlahnya menghampiri tiga puluh. Kesemuanya mengaku bahawa mereka adalah utusan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (3609) dan Muslim (157)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: ‘دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ’ (“Dajjal-dajjal pendusta.”) Dajjal berasal daripada perkataan dajl (الدَّجْل) yang bermaksud menutupi dan mengaburkan. Perkataan ini juga diertikan sebagai dusta. Atas dasar ini, maka perkataan ‘pendusta’ adalah menjadi penguat kepada perkataan sebelumnya.

‘قَرِيبٌ مِنْ ثَلاَثِينَ’ (“Sekitar 30 orang.) Dalam riwayat Imam Muslim, daripada Jabir bin Samurah, terdapat penegasan tentang jumlahnya: ‘إِنَّ بَيْن يَدَيْ السَّاعَة ثَلَاثِينَ كَذَّابًا رِجَالًا كُلّهمْ يَزْعُم أَنَّهُ نَبِيّ’ (“Sebelum hari Kiamat, ada 30 orang pendusta. Semuanya mengaku dirinya sebagai nabi.”) Abu Ya’la meriwayatkan melalui sanad yang hasan, daripada Abdullah bin al-Zubair tentang sebahagian nama pendusta tersebut: ‘لَا تَقُوم السَّاعَة حَتَّى يَخْرُج ثَلَاثُونَ كَذَّابًا مِنْهُمْ مُسَيْلِمَة وَالْعَنْسِيّ وَالْمُخْتَار’ (“Hari Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah keluar 30 pendusta, antara mereka ialah Musailimah, al-’Ansi dan Mukhtar.”)

Aku (Ibn Hajar) berkata, “Kebenaran berita tersebut terbukti pada masa akhir kehidupan Nabi SAW. Musailimah muncul di Yamamah dan al-Aswad al-Ansi muncul di Yaman. Seterusnya pada zaman pemerintahan Abu Bakar, keluar Tulaihah bin Khuwailid dari bani Asad bin Khuzaimah, dan Sijah al-Tamimiyyah dari bani Tamim. Al-Aswad dibunuh sebelum Nabi SAW meninggal dunia, manakala Musailimah dibunuh pada zaman pemerintahan Abu Bakar. Sementara Tulaihah bertaubat dan meninggal dunia dalam keadaan memeluk Islam – menurut pendapat yang benar – pada zaman pemerintahan Umar. Ada juga yang menyatakan bahawa Sijah juga bertaubat dan memeluk Islam.”

Al-Hafiz Ibn Hajar kemudian berkata: “Batasan dalam hadith-hadith yang menyebut perihal ini tidaklah bermaksud ia ditujukan bagi setiap orang yang mengaku sebagai Nabi secara mutlak. Ini kerana mereka yang seperti itu ramai dan tidak terhingga. Tetapi, yang dimaksudkan dalam hadith adalah orang yang (mengaku sebagai Nabi) di mana mereka memiliki kekuatan, ramai pengikut dan terkenal dalam kalangan manusia. Allah telah membinasakan orang-orang yang melakukan demikian. Begitu juga mereka yang muncul sesudahnya. Hingga yang terakhir di antara mereka adalah Dajjal terbesar.” (Lihat Fath al-Bari, 10/410)

Diriwayatkan daripada Thauban RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَلْحَقَ قَبَائِلُ مِنْ أُمَّتِي بِالْمُشْرِكِينَ، وَحَتَّى يَعْبُدُوا اْلأَوْثَانَ، وَإِنَّهُ سَيَكُونُ فِي أُمَّتِيْ ثَلاَثُوْنَ كَذَّابُونَ كُلُّهُمْ يَزْعُمُ أَنَّهُ نَبِيٌّ، وَأَنَا خَاتَمُ النَّبِيِّيْنَ، لاَ نَبِيَّ بَعْدِيْ.

Maksudnya: “Tidak akan berlaku hari Kiamat sehinggalah beberapa kelompok daripada umatku mengikuti kaum musyrikin dan sehingga mereka menyembah berhala. Dan sesungguhnya akan ada pada umatku tiga puluh orang pendusta. Kesemuanya mengaku bahawa dia adalah seorang Nabi, sedangkan aku adalah penutup para Nabi. Tidak ada Nabi lagi sesudahku.”

Riwayat Abu Daud (4252), al-Tirmizi (2219) dan Ibn Majah (3952)

Syeikh Yusuf al-Wabil berkata: “Antara tanda-tanda Kiamat yang telah kelihatan adalah munculnya para pendusta yang mengaku sebagai Nabi. Jumlah mereka menghampiri tiga puluh orang. Sebahagian daripada mereka telah pun muncul pada zaman Nabi SAW. Begitu juga pada zaman Sahabat R.Anhum, dan orang seperti mereka sentiasa akan muncul.”

Kata Syeikh Yusuf al-Wabil lagi: “Hadith-hadith tentang kemunculan ‘dajjal-dajjal’ (para pendusta) seperti ini banyak jumlahnya. Dalam sebahagian riwayat, dijelaskan dengan lafaz yang pasti bahawa mereka berjumlah tiga puluh orang, sepertimana disebut dalam hadith Thauban RA. Manakala dalam riwayat lain, disebut bahawa jumlah mereka menghampiri tiga puluh orang, sepertimana disebut dalam al-Sahihain. Kemungkinan riwayat Thauban disebut dengan cara penggenapan, iaitu sebanyak 30 orang.” (Lihat Asyrat al-Sa’ah, hlm. 113-114)

Bagi mereka yang ingin mengenali nabi-nabi palsu yang masyhur sila rujuk kepada makalah kami atau buku kami yang bertajuk Nabi-Nabi Palsu atau layari laman web https://maktabahalbakri.com/ Saya katakan, tidak pelik jika di Nusantara ini termasuk di Malaysia, ada orang yang mendakwa dirinya sebagai nabi atau rasul. Sebenarnya ini adalah penipuan yang amat nyata dan pembohongan yang amat besar. Ia adalah bertentangan dengan nas al-Quran, Hadith dan ijma’ ulama’. Justeru, mereka adalah golongan yang sesat lagi menyesatkan. Semoga Allah SWT melindungi kita dari kesesatan mereka. Amin.

Leave a Reply