#1105: Mandi Wajib Selepas IVF?

Soalan:

Adakah pasangan yang melalui proses IVF (persenyawaan di luar rahim) perlu mandi hadas?

 

Jawapan:

Dalam menjawab persoalan di atas, amatlah patut kita mengetahui maksud dan makna IVF itu sendiri serta proses yang dilakukan oleh pihak yang berautoriti. Memahami persoalan adalah separuh daripada jawapan. Begitu juga membina satu-satu hukum mestilah berdasarkan kefahaman yang jelas dengan tasawwur yang nyata. Kaedah fiqh menyebut:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Ini merupakan kaedah yang masyhur dan amat mulia di kalangan ulama yang merentasi mazhab. Al-Jurjani dalam kitabnya yang masyhur berkata: “Tasawwur merupakan menghasilkan gambaran sesuatu pada akal dengan tepat. Bukanlah maksud dengan tasawwur dalam kaedah ini semata-mata gambaran pada zihin pada akal dari sesuatu. (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 59) 

Abu al-Baqa’ al-Kafawi berkata: “Tasawwur kadang-kadang dengan maksud ilmu atau pengetahuan. Dan ia bukanlah berdasarkan kepada tasawwur yang dusta. Justeru, tasawwur yang dimaksudkan dalam kaedah ini ialah tasawwur yang penuh dengan ilmu yang mendalam tentang sesuatu perkara. Ini kerana tasawwur tersebut adalah dhabit pada zihin dan fikir yang selamat daripada kesilapan. (Lihat al-Kulliyyat, hlm. 290)

Definisi IVF : Persenyawaan In Vitro (IVF) atau bayi tabung uji merupakan satu teknologi bantuan reproduktif bagi membantu pasangan yang mengalami masalah kesuburan. Proses ini melibatkan persenyawaan ovum atau oosit oleh sperma di luar badan manusia selepas teknik bantuan reproduktif yang lain telah menemui kegagalan.

Proses IVF: Proses rawatan bermula dengan merangsang ovari untuk menghasilkan folikel yang banyak. Proses hiperstimulasi ovari ini, adalah bergantung kepada umur, protokol dan dos FSH (follicular stimulating hormone) yang diberikan. Analog FSH yang disuntik akan diperhatikan dan dipantau secara berkala termasuk pemantauan perkembangan folikel sehingga hari ke 10 suntikan.

Suntikan hCG (human chorionic gonadotropin) akan diberi kepada pesakit bagi membantu mematangkan ovum dan diikuti dengan prosedur pengambilan ovum selepas 34 hingga 36 jam hCG telah diberikan. Pengambilan ovum akan dilakukan melalui vagina dengan berpandukan imbasan ultrasound. Cecair folikel akan dipindahkan kepada embriologis bagi mengenalpasti kehadiran oosit.

Sperma akan diproses di dalam makmal sebagai persediaan persenyawaan dengan menyingkirkan cecair seminal dan sel yang tidak aktif.  Sperma dan oosit akan dieramkan bersama selama 1 hingga 4 jam bagi membolehkan persenyawaan berlaku. Oosit yang telah bersenyawa akan diperhatikan melalui kehadiran dua pronuklei. Kemudian, embrio akan dipindahkan ke dalam media yang khusus sekurang-kurangnya 48 jam sehingga berkembang menjadi enam hingga lapan sel embrio.  Teknik menyuntik seekor sperma ke dalam oosit (ICSI) akan dilakukan bagi membolehkan persenyawaan berlaku bagi pesakit yang mengalami masalah kekurangan bilangan sperma.

Perkembangan embrio selepas persenyawaan akan diperhatikan sehingga embrio dimasukkan ke dalam rahim ibu dengan menggunakan kateter halus melalui vagina. Embriologis akan mendokumenkan bilangan sel, perkembangan dan peratusan fragmentasi embrio. Usia dan bilangan embrio yang akan dipindahkan semula ke dalam rahim ibu, bergantung kepada bilangan embrio yang berkualiti, umur pesakit wanita dan pelbagai faktor kesihatan yang lain. (Lihat http://www.myhealth.gov.my/bayi-tabung-uji-ivf/)

Berdasarkan kepada penerangan di atas, saya berpendapat tidak perlu mandi wajib kerana antara sebab yang membawa kepada mandi wajib ialah memasukkan zakar ke dalam faraj yang disebut sebagai ‘ilaj al-hasyafah atau al-zakar. Perkara ini tidak berlaku. 

Hal ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إذَا الْتَقَى الْخِتَانَانِ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ وَإِنْ لَمْ يُنْزِلْ

Maksudnya: “Apabila dua kemaluan (zakar dan faraj) bertemu, maka wajib mandi walaupun tidak inzal (keluar air mani)”

Riwayat Muslim (105)

Begitu juga, keluar air mani. Juga tidak berlaku bagi perempuan. Adapun memasukkan kateter yang halus melalui vagina, ia tidak merangsang dan tidak membawa syahwat. Bahkan, kadang-kadang menyebabakan rasa sakit.

Keduanya, bagi lelaki yang diambil air maninya melalui proses mengeluarkan mani secara biasa atau digunakan kaedah masturbasi (masturbate) atau onani dengan tapak tangan dan seumpamanya dan bukan seperti bersetubuh, maka hendaklah dia mandi wajib, kerana salah satu sebab mandi wajib dengan sebab keluarnya mani.

Ini berdasarkan hadis daripada Abi Sa’id al-Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

إنَّمَا الْمَاءُ مِنْ الْمَاءِ

Maksudnya: “Sesunguhnya (mandi) air itu kerana disebabkan keluar air mani.”

Riwayat Muslim (343)

Saya berdoa kepada Allah semoga pasangan yang melakukan proses IVF dikurniakan zuriat yang soleh yang menjadi penyejuk mata hati serta penyambung warisan kedua ibu bapanya. Marilah sama-sama kita berdoa sebagaimana Nabi Allah Ibrahim berdoa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَٰجِنَا وَذُرِّيَّٰتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَٱجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *