#1203: Berbuka Puasa Sebelum Mendengar Azan

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada soalan. Bolehkah saya berbuka puasa sebelum mendengar azan Maghrib? Cukup sekadar saya melihat dan berpandukan dengan kalender waktu-waktu solat atau jam solat. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Persoalan ini berkait rapat dengan waktu berbuka puasa. Pada asasnya, waktu berbuka atau iftar itu adalah apabila tibanya waktu malam — iaitu matahari terbenam. Hal ini jelas seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا، وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا، وَغَرَبَتِ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ

Maksudnya: “Apabila malam telah tiba dari arah ini, dan siang telah berlalu dari arah ini serta matahari telah terbenam, maka orang yang berpuasa boleh berbuka.

Riwayat al-Bukhari (1954) dan Muslim (1100)

Begitu juga Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa selesai dan sempurnanya puasa itu dengan terbenamnya matahari seperti mana yang disepakati oleh seluruh kaum Muslimin. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/304).

Selain daripada itu, Ibn Daqiq al-‘Id menyatakan, hadith ini menolak pendapat syiah yang melewatkan waktu berbuka puasa sehingga bintang-bintang kelihatan. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar, 4/199).

Justeru, berbalik kepada soalan yang diajukan, seseorang itu dibolehkan untuk berbuka puasa sebaik sahaja terbenamnya matahari (masuknya waktu Maghrib), tidak kira muazzin sudah pun melaungkan azan ataupun tidak. Hal ini kerana apa yang diambil kira ialah terbenamnya matahari berdasarkan sabda Nabi SAW sebagaimana hadith yang telah disebutkan di atas.

Lebih-lebih lagi sebahagian muazzin melewatkan waktu melaungkan azan selepas terbenamnya matahari beberapa detik atas beberapa sebab tertentu, maka laungan azan mereka itu tidak boleh diambil kira (sebagai penentu masuknya waktu berbuka). Malah ia dilihat bertentangan dengan tuntutan Nabi SAW yang menggesa kita untuk segera berbuka puasa selepas terbenamnya matahari. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الفِطْرَ

Maksudnya: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa.”

Riwayat al-Bukhari (1957) dan Muslim (1098)

Begitu juga dibolehkan bagi orang yang berpuasa untuk berbuka menurut sangkaannya yang kuat (ghalabah al-Zan) bahawa matahari sudah terbenam, dan tidak disyaratkan mencapai darjat yakin. Sebaliknya cukup hanya ghalabah al-Zan. Jika menurut sangkaannya yang kuat, matahari sudah terbenam lalu dia berbuka puasa, maka tidak dikenakan apa-apa baginya. Begitu juga tidak dibolehkan bagi orang yang berpuasa untuk berbuka sedangkan dia dalam kedaan syak mengenai terbenamnya matahari.

Berkenaan hal ini, Syeikh Ibn al-‘Uthaimin ada menyebutkan, disunatkan untuk menyegerakan berbuka puasa apabila terbenamnya matahari. Maka, perkara yang diambil kira ialah terbenamnya matahari. Lebih-lebih lagi pada waktu kini, di mana orang ramai bergantung pada takwim (kalender), kemudian mereka mengikut takwim tersebut berdasarkan jam-jam mereka. Jam-jam mereka itu pula boleh jadi sedikit berbeza sama ada lebih awal atau lebih lewat sedikit. Jadi, jika matahari sudah terbenam, dan kamu melihatnya sedangkan muazzin masih lagi belum melaungkan azan, maka kamu boleh berbuka puasa. Begitu juga jika muazzin sudah melaungkan azan, tetapi kamu melihat matahari masih lagi belum terbenam, maka janganlah kamu berbuka puasa kerana Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا، وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا، وَغَرَبَتِ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ

Maksudnya: “Apabila malam telah tiba dari arah ini, dan siang telah berlalu dari arah ini serta matahari telah terbenam, maka orang yang berpuasa boleh berbuka.

Riwayat al-Bukhari (1954) dan Muslim (1100)

Tidak menjadi masalah jika masih terdapat sedikit sinaran cahaya. Hal ini kerana sebahagian orang berpendapat, kita hendaklah menunggu sehingga terbenamnya lingkaran matahari dan mula menjadi gelap sedikit. Namun, sebenarnya hal ini tidak diambil kira, sebaliknya lihatlah ke arah lingkaran matahari tersebut, bila mana bahagian atas sudah terbenam, maka sesungguhnya matahari sudah pun terbenam, dan disunatkan (bersegera) untuk berbuka puasa.

Sekiranya seseorang bertanya, adakah dibolehkan untuk berbuka puasa berdasarkan ghalabah al-Zan. Dalam erti kata lain, apabila menurut sangkaan kuatku bahawa matahari sudah terbenam, adakah aku boleh berbuka puasa?

Syeikh menjawab dengan menyatakan, ya dan dalil perkara itu sebagaimana sabit dalam hadith sahih al-Bukhari daripada Asma’ binti Abu Bakar R.Anhuma, katanya:

أَفْطَرْنَا عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ غَيْمٍ، ثُمَّ طَلَعَتِ الشَّمْسُ

Maksudnya: “Kami berbuka puasa pada zaman Rasulullah SAW, ketika cuaca sedang mendung, kemudian matahari muncul (yakni belum terbenam).

Riwayat al-Bukhari (1959)

Sebagaimana yang diketahui, mereka tidak berbuka puasa berdasarkan ‘ilm (yakin) kerana kalaulah mereka berbuka berdasarkan keyakinan, pasti matahari tidak terbit. Akan tetapi mereka berbuka puasa berdasarkan sangkaan yang kuat (ghalabah al-Zan) bahawa matahari sudah terbenam. Kemudian, awam hitam itu pergi, muncullah matahari. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 6/267).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa dibolehkan seseorang itu untuk berbuka puasa sekalipun muazzin belum lagi melaungkan azan dengan syarat masuknya waktu berbuka itu berdasarkan sangkaannya yang kuat dan bukannya syak semata-mata kerana dalam hal berbuka puasa perkara yang diambil kira ialah terbenamnya matahari (masuk waktu maghrib) dan bukannya laungan azan.

Apatah lagi kadang-kadang muazzin terlewat untuk melaungkan azan atas sebab-sebab tertentu, sedangkan matahari sudah pun terbenam. Maka, dia boleh segera berbuka puasa apabila menurut sangkaannya yang kuat bahawa matahari sudah terbenam (yakni waktu Maghrib sudah masuk). Lebih-lebih lagi, pada masa kini, waktu-waktu solat dan waktu-waktu berbuka puasa mudah untuk disemak dan diketahui, sama ada melalui kalender, jam solat atau aplikasi-aplikasi tertentu.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 3 April 2023 bersamaan 12 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *