#1287: Solat Jenazah Ghaib Berhampiran Dengan Si Mati

Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, bolehkah solat jenazah ghaib dilakukan walaupun tinggal berdekatan, tetapi tidak dibenarkan hadir kerana si mati meninggal kerana Covid-19 atau wabak seumpamanya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, solat jenazah ghaib adalah solat yang dilakukan ke atas mayat yang tidak ada pada tempat tersebut seperti mayat yang berada jauh dari negara asalnya. Dalil pensyariatan solat jenazah ghaib adalah berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِىَّ فِى الْيَوْمِ الَّذِى مَاتَ فِيهِ، خَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا

Maksudnya“Rasulullah SAW bersedih atas kematian al-Najasyi, lalu Baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bertakbir sebanyak empat kali.”

Riwayat al-Bukhari (1188) dan Muslim (951)

Imam al-Nawawi berkata dalam kitabnya, al-Majmu’: “Mazhab kami membolehkan solat jenazah ghaib bagi yang jauh dari sesuatu negeri manakala Abu Hanifah melarangnya. Dalil yang kami gunakan adalah hadis sahih mengenai al-Najasyi…” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/211)

Hukum asalnya adalah tidak dibenarkan solat ghaib jika jenazah berada dalam daerah sendiri, dan wajib disolatkan jenazah secara hadir. Imam al-Nawawi berkata:

(أَمَّا) إذَا كَانَ الْمَيِّتُ فِي الْبَلَدِ فَطَرِيقَانِ (الْمَذْهَبُ) وَبِهِ قَطَعَ الْمُصَنِّفُ وَالْجُمْهُورُ لَا يَجُوزُ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَيْهِ حَتَّى يَحْضُرَ عِنْدَهُ .. وَلِأَنَّهُ لَا مَشَقَّةَ فِيهِ بِخِلَافِ الْغَائِبِ عَنْ الْبَلَدِ “

Maksudnya: “Adapun sekiranya mayat berada di dalam negeri, maka ada dua jalan fatwa. Pegangan mazhab (al-Syafi’i) dan yang diputuskan oleh pengarang dan jumhur, bahawa tidak harus disolatkan jenazah itu melainkan secara hadir… dan kerana tiada apa-apa masyaqqah padanya, berbeza dengan dengan mayat (yang berada) di negeri lain.” (Lihat al-Majmu’, 5/253)

Namun sekiranya terdapat masyaqqah atau halangan seperti merebaknya wabak atau penyakit yang berbahaya, sehingga tidak dibenarkan untuk hadir, maka dibenarkan untuk solat jenazah ghaib walaupun berdekatan. Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebut:

فَحَيْثُ شَقَّ الْحُضُورُ، وَلَوْ فِي الْبَلَدِ لِكِبَرِهَا وَنَحْوِهِ صَحَّتْ

Maksudnya: “Sekira-kira (terdapat) masyaqqah untuk hadir, walaupun dalam negeri seperti negeri yang terlalu besar (sukar untuk pergi), atau seumpamanya, maka sah (solat jenazah ghaib yang dilakukan).” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 3/150)

Hal ini juga yang dinyatakan oleh ulama’ kontemporari. Antaranya seperti fatwa yang dikeluarkan oleh Markaz al-Azhar al-Alami fi al-Fatwa:

كما يُجوز لمن لم يُصلِّ عليه- بسبب الخوف من الاختلاط والمزاحمة وانتشار الوباء- أن يُصلِّيَ عليه عند قبره منفردًا، ويجوز أيضًا أن تُصلَّى عليه صلاة الغائب ، وكلُّ ما سبق يتَّفق ومقاصد الشَّريعة العُليا، وكذلك تدلُّ عليه الأدلَّة الشَّرعيَّة المعتبرة

Maksudnya: “Sepertimana harus untuk jenazah yang belum disolatkan atasnya,  – dengan sebab bimbang bercampur dengannya, bersesak-sesakan sehingga tersebar wabak penyakit – untuk disolatkan di kuburnya secara sendirian. Begitu juga, harus untuk dilakukan solat ghaib untuknya. Semua itu bertepatan dengan Maqasid Syari’ah yang tinggi, dan ditunjukkan oleh dalil-dalil yang muktabar.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh:13 April 2023 bersamaan 22 Ramadhan 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *