#1303: Melakukan Dosa Pada Lailatul Qadar

Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada persoalan, apakah melakukan dosa pada malam lailatul qadar itu seumpama ia dilakukan lebih daripada 1000 bulan? Mohon pencerahan

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Para ulama’ berpendapat, sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam al-Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Hal ini, adalah berdasarkan kepada beberapa nas, antaranya ialah firman Allah SWT:

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Maksudnya: “Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.

(Surah al-Qadr: 3)

Ibrahim al-Nakha‘i ketika menafsirkan ayat ini berkata: “Beramal pada malam tersebut (Lailatul Qadar) lebih baik daripada beramal pada seribu tahun.” (Lihat Lathaif al-Ma‘arif, hlm. 341)

Antara kelebihan malam tersebut ialah:

  • Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa Lailatul Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan. Ramai ulama’ dan ahli tafsir berpendapat amalan yang dilakukan pada malam ini (Lailatul Qadar) lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya Lailatul Qadar. Hal ini, disokong oleh Abu al-‘Aliyah.
  • Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut. Imam al-Qurtubi berkata: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.”
  • Turunnya malaikat dan Jibril membawa rahmat dengan perintah Tuhan.
  • Mendapat keselamatan dan kebaikan tanpa sebarang kejahatan hingga terbitnya fajar. Al-Dhahhak berkata: “Allah tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan.” Manakala Mujahid pula berpendapat: “Ia merupakan malam yang selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.” ( Lihat Tafsir al-Qurtubi, 20/133)

Melakukan Dosa Pada Malam Lailatul Qadar

Tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa dosa yang dilakukan pada malam lailatul qadar itu berlipat kali ganda sehingga digandakan lebih daripada 1000 bulan, yang ada hanyalah pahala itu yang akan digandakan dan bukan dosa. Namun begitu, walaupun dosa tersebut tidak digandakan, tetapi melakukan dosa pada bulan yang mulia dan juga tempat yang mulia merupakan dosa yang besar.

Ibn Muflih al-Maqdisi berkata: “Syeikh Taqiyuddin menyatakan: ‘Perbuatan maksiat yang dilakukan pada hari-hari istimewa atau tempat istimewa, maka nilai kemaksiatannya dan hukumannya setaraf dengan kadar dan nilai keistimewaan waktu dan tempat tersebut.’ Perkataan beliau ini adalah sama seperti mana yang disebut oleh Ibn al-Jauzi dan ulama lainnya. (Lihat al-Adab al-Syar’iyyah, 3/430)

Syeikh Ahmad Mamduh yang merupakan Pengarah Jabatan Penyelidikan Syariah dan Setiausaha Fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah berkata: “Orang Islam yang melakukan dosa di bulan Ramadan adalah orang yang mengabaikan kesucian bulan ini, Ditambah lagi bahawa melakukan dosa pada bulan ini lebih besar kerana ia dilakukan pada sepuluh malam terakhir Ramadhan, dan hukuman dosanya itu lebih dahsyat kerana terdapat padanya Lailatul Qadar. Sepatutnya setiap muslim berada pada sepuluh hari terakhir Ramadhan memperbanyakkan ibadah, dengan berdoa dan memilih doa yang terbaik dan paling menyeluruh, menghidupkan malam dengan solat qiyam, membaca al-Quran, mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah bersama.[1]

Syeikh Abdul Aziz bin Baz ketika ditanya berkenaan soalan seperti ini, beliau menjawab: “Yang masyru’ bagi seorang Muslim, pada bulan Ramadhan dan pada waktu-waktu lain ialah untuk dia berjihad melawan nafsu dirinya yang membawa kepada keburukan sehingga jiwanya tenang dan memerintahkannya kepada kebaikan. Wajib juga baginya untuk berjihad melawan iblis sehingga dia selamat daripada kejahatan Iblis dan tipu dayanya. Setiap muslim di dunia ini mempunyai jihad yang besar dan berterusan dalam melawan nafsu, hawa dan syaitan, dan dia hendaklah sentiasa memperbanyakkan taubat dan istighfar pada setiap masa dan waktu. Namun begitu waktu itu berbeza antara satu sama lain, maka bulan Ramadhan adalah bulan yang paling baik dalam setahun, kerana ia adalah bulan keampunan, rahmat, dan pembebasan dari api Neraka, maka jika bulan itu baik dan tempatnya baik, nescaya dilipatgandakan amalannya, dan besarnya dosa keburukan itu, maka kejahatan dalam bulan Ramadhan lebih besar dosanya daripada kejahatan pada bulan selainnya sebagaimana juga dengan ketaatan pada bulan Ramadhan lebih diganjari Allah daripada ketaatan pada bulan selainnya. Hal ini kerana Ramadhan itu mempunyai kedudukan yang tinggi yang dilakukan ketaatan di dalamnya dan juga pahala yang besar dan berlipat ganda, maka dosa kemaksiatan di dalamnya lebih berat dan lebih besar daripada dosanya pada bulan selainnya, maka seorang muslim harus memanfaatkan bulan yang penuh barakah ini dengan ketaatan dan kebaikan serta amalan soleh dan meninggalkan kejahatan, semoga Allah SWT memberkatinya dengan menerima amalan kita dan menjadikan kita beristiqamah di atas kebenaran.

Namun begitu, keburukan dan kejahatan itu itu sentiasa sama, tidak gandakan pada bulan Ramadhan mahupun pada selainnya, tetapi kebaikan itu digandakan dengan sepuluh kali ganda; Firman Allah SWT:

مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا وَمَنْ جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَى إِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Maksudnya: “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).”

(Surah al-An’am: 160)

Ayat berkenaan perkara ini banyak. Begitu juga hal ini dengan tempat yang baik seperti Dua Tanah Haram (Makkah dan Madinah) yang mana digandakan amalan dengan kuantiti dan kualiti, manakala kejahatan itu tidak digandakan dengan kuantiti, tetapi ia digandakan mengikut kualiti sahaja yang mana ia dilakukan pada waktu yang baik dan tempat yang baik, sepertimana yang diterangkan sebelum ini. (Lihat Majalis Ramadhan, hlm. 37-38 : Majmu Fatawa Wa Maqalat Mutanawwi’ah, 15/446.)[2]

Secara ringkasnya, Syeikh Abdul Aziz bin Baz menyatakan bahawa Bulan Ramadhan adalah bulan yang paling mulia dalam setahun kerana ia merupakan bulan yang penuh dengan ampunan, rahmat dan pembebasan dari api neraka. Jika suatu bulan atau tempat itu memiliki keutamaan, maka dilipatgandakan kebaikan-kebaikan (di dalamnya) dan menjadi besar dosa-dosa kejahatan yang dilakukan di dalamnya. Hal ini bermakna dosa yang dilakukan itu menjadi besar disebabkan perbuatan seseorang itu yang tidak menghormati kemuliaan bulan tersebut, tetapi kejahatan itu tidaklah digandakan sepertimana digandakan kebaikan.

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin ketika ditanya berkenaan hal ini, beliau menjawab: “Kebaikan dan keburukan dilipatgandakan di tempat dan waktu yang mulia. Namun kebaikan dilipatgandakan dari sisi kuantiti dan kualiti, sedangkan keburukan dilipatgandakan daripada sudut kualiti sahaja dan  bukannya pada kuantiti. Hal ini kerana berfirman di surat Al-An’am ayat 106, dan ayat ini turun sebelum hijrah (Makkiyah): ” Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).”

Begitu juga firman-Nya dalam ayat lain:

وَمَنْ يُرِدْ فِيهِ بِإِلْحَادٍ بِظُلْمٍ نُذِقْهُ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang dilarang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah al-Hajj: 25)

(Dalam ayat tersebut) tidak dikatakan “Kami melipatgandakan (kejahatan itu)” akan tetapi yang dikatakan “, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.” Maka yang dilipatgandakan keburukan di Makkah dan Madinah adalah kualitinya. Ini bermakna ia lebih pedih dan lebih menyakitkan berdasarkan firman Allah ““Dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.” (Lihat Syarh al-Mumti’, 7/262)

Justeru, melalui pendapat yang telah dinyatakan oleh para ulama, dosa yang dilakukan pada malam Qadar adalah lebih berat berbanding dengan dosa yang dibuat pada bulan-bulan lain. Namun, daripada segi status dan taraf dosa tersebut sama ada ia akan dilipatgandakan atau tidak seperti kebaikan yang dilipatgandakan sehingga lebih daripada 1000 bulan, itu adalah dalam urusan Allah SWT.

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas, kami katakan bahawa dosa yang dilakukan pada malam Lailatul Qadar tidak akan dilipatgandakan sebaliknya hanya nilai dosa tersebut sahaja yang lebih besar berbanding dosa yang dilakukan pada waktu lain. Tuntasnya, Lailatul Qadar merupakan satu malam yang berkat dan lebih dimuliakan kedudukannya di sisi Allah sehingga ia lebih baik daripada 1000 bulan. Disebabkan itu, dosa yang dilakukan pada malam itu juga adalah lebih berat, namun tidaklah sehingga dilipatgandakan kuantitinya sehingga 1000 kali.

Justeru, wajib ke atas setiap orang apabila membuat tiap-tiap dosa itu bertaubat dengan taubat nasuha bagi setiap dosanya disertai dengan taubat dengan dosa kerana tidak menghormati tempat dan waktu yang mulia. Berkenan dengan taubat ini, dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ عَبْدًا أَصَابَ ذَنْبًا، وَرُبَّمَا قَالَ : أَذْنَبَ ذَنْبًا، فَقَالَ : رَبِّ أَذْنَبْتُ، وَرُبَّمَا قَالَ: أَصَبْتُ، فَاغْفِرْ لِي، فَقَالَ رَبُّهُ: أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي، ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ، ثُمَّ أَصَابَ ذَنْبًا أَوْ أَذْنَبَ ذَنْبًا، فَقَالَ : رَبِّ، أَذْنَبْتُ أَوْ أَصَبْتُ آخَرَ، فَاغْفِرْهُ، فَقَالَ: أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي، ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ، ثُمَّ أَذْنَبَ ذَنْبًا، وَرُبَّمَا قَالَ: أَصَابَ ذَنْبًا، قَالَ: قَالَ رَبِّ، أَصَبْتُ أَوْ قَالَ أَذْنَبْتُ آخَرَ: فَاغْفِرْهُ لِي، فَقَالَ: أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ثَلَاثًا، فَلْيَعْمَلْ مَا شَاءَ

Maksudnya:Sesungguhnya seorang hamba melakukan dosa lalu dia berkata: “Ya Tuhan, aku telah berdosa. Ampunilah diri ku.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghukum dosanya? Aku telah mengampuni hamba-Ku. Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhan ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku. Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhan-ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku. sebanyak tiga kali. Maka biarlah dia lakukan apa yang dia kehendaki.”

Riwayat al-Tirmizi (3540)

Badr al-Din al-‘Aini berkata: “Setiapkali engkau melakukan dosa, maka bertaubatlah. Allah mengampuni dosamu. Imam al-Nawawi menyebut tentang hadith ini dengan katanya, ‘Sesungguhnya walaupun dosa walaupun terulang seratus malah seribu atau lebih, dan dia bertaubat setiap kali daripadanya, maka taubatnya diterima. Atau dia bertaubat dari semua (dosa) dengan sekali taubat setelah semua (dosa), maka taubatnya sah.” (Lihat Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, hlm. 137)

Marilah sama-sama kita merebut pahala pada hari dan malam yang berbaki di bulan Ramadhan ini dan juga semoga kita dikurniakan malam Lailatul Qadar yang lebih baik daripada 1000 malam dengan amalan kebaikan dan dihapuskan dengan segala dosa dan kejahatan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

[1] Lihat https://www.elbalad.news/5248984

[2] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/23487/هل-تضاعف-السيىات-في-رمضان

Bertarikh:17 April 2023 bersamaan 26 Ramadhan 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

1 thoughts on “#1303: Melakukan Dosa Pada Lailatul Qadar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *