#1306: Zakat dan Wakalah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, soalan saya ialah saya buat potongan gaji untuk zakat setiap bulan. Contoh setahun potongan saya 10K. Selepas pengiraan saya hanya layak 8K sahaja. Saya mohon wakalah 2/8 dari MAIDAM, dan dapat 3K dari MAIDAM. Apa hukum kalau saya guna untuk kegunaan saya duit 3K itu? Mohon ustaz bagi percerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, saya mengucapkan syabas kepada anda kerana dapat mendirikan salah satu rukun Islam yang lima iaitu menunaikan zakat. Firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat.”

(Surah al-Baqarah: 43)

Al-Mawardi berkata: Ayat ini merupakan antara dalil kewajipan ke atas setiap individu muslim agar mengeluarkan zakat (setelah sampai nisab dan juga cukup haul) ke atas hartanya supaya dapat membersihkan hati daripada sifat-sifat keji. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, ayat di atas antaranya mengandungi perintah Allah SWT supaya mengeluarkan zakat daripada harta-harta yang telah Allah SWT kurniakan kepada para hamba-Nya, lalu memberikannya kepada orang-orang fakir dan selainnya yang terdiri daripada penerima-penerima zakat yang telah disebutkan oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 573).

Dalam menjawab persoalan di atas, terlebih dahulu saya menerangkan erti wakalah dalam memberi zakat. Wakalah merupakan dasar pengembalian wang zakat oleh Majlis Agama Islam kepada entiti yang membayar zakat kepada Pusat Zakat untuk diagihkan kepada asnaf yang layak. Entiti yang dibenarkan memohon pengembalian wang zakat adalah:-

  1. Individu.
  2. Syarikat atau organisasi.

iii. Majikan.

  1. Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Syarat-syarat untuk memohon wakalah bagi individu ialah:

  • Boleh memohon pengembalian zakat sehingga 50% daripada jumlah bayaran zakat.
  • Zakat perlu diagihkan sebagai mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada asnaf yang layak.
  • Zakat boleh diagihkan kepada semua asnaf kecuali amil.

Berkenaan dengan negeri Terengganu, MAIDAM telah menetapkan sebanyak 2/8 sebagai wakalah. Justeru, saya katakan maksud sebenar wakalah adalah anda sebagai wakil untuk menyampaikan kepada asnaf-asnaf yang anda rasa layak seperti orang-orang miskin di kampung anda atau dari kalangan kaum kerabat anda atau rakan-rakan yang berhak menerima zakat. Justeru, anda tidak berhak untuk mengambil semula wang zakat bagi kegunaan diri anda. 

Saya memahami bahawa di sana ada lebihan 2K yang saudara telah terlebih bayar zakat. Nasihat saya, jadikanlah itu sebahagian daripada kekurangan kita dalam berzakat dan menunaikan hak Allah SWT di samping boleh menambahkan pahala serta menampung kekurangan dari diri kita. 

Saya berdoa kepada Allah SWT supaya Allah SWT lapangkan hidup saudara kerana kita yakin salah satu daripada hikmah zakat boleh jadi seseorang itu diberkati kehidupan dan hartanya serta disuburkannya. Amin.

Bertarikh:17 April 2023 bersamaan 26 Ramadhan 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *