#1354: Ahlul Bait Di Sisi Syiah dan Kritikannya

Soalan;

Apakah konsep ahlul bait menurut Syiah Imamiyyah? Bagaimana kritikan Ahli Sunnah wal Jama’ah terhadapnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi ‘Ahlul Bait’ dari segi bahasa[1] terdiri daripada dua perkataan; ahl dan bait yang bermaksud ahli keluarga, sanak saudara dan kaum kerabat. Perkataan aalu berasal daripada ahl. Huruf ha’ pada ahl digantikan dengan hamzah, maka menjadi aalu (أأل). Apabila ada dua huruf hamzah, hamzah kedua diubah menjadi alif (آ) seperti آدم dan آخر.

Ahlul bait menurut Syiah Imamiyyah adalah Ali dan orang-orang tertentu daripada keturunannya.[2] Boleh disimpulkan bahawa Ahlul Bait di sisi Syiah adalah Ali, Fatimah, Hasan dan Husain. Manakala selain daripada mereka, bukanlah ahlul bait.[3] Al-Majlisi pula menyebutkan bahawa ahlul bait adalah mereka yang tergolong dalam ahl al-kisa’ iaitu Ali, Fatimah, Hasan dan Husain, termasuk Nabi Muhammad SAW.[4]

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA,

خَرَجَ النبيُّ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ غَداةً وَعليه مِرْطٌ مُرَحَّلٌ، مِن شَعْرٍ أَسْوَدَ، فَجاءَ الحَسَنُ بنُ عَلِيٍّ فأدْخَلَهُ، ثُمَّ جاءَ الحُسَيْنُ فَدَخَلَ معهُ، ثُمَّ جاءَتْ فاطِمَةُ فأدْخَلَها، ثُمَّ جاءَ عَلِيٌّ فأدْخَلَهُ، ثُمَّ قالَ: {إنَّما يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ البَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا} [الأحزاب: ٣٣].

Maksudnya: Baginda SAW keluar pada suatu pagi membawa sebuah kain (kisa’) bersamanya; kain diperbuat daripada bulu berwarna hitam. Lalu, apabila Hasan Bin Ali datang kepadanya, baginda menyelubunginya dengan kain tersebut. Kemudian, Husain RA pula datang, baginda menyelubunginya bersama. Kemudian, datang Fatimah RA, Rasulullah menyelubungi pula. Terakhir sekali, Ali RA pula datang dan baginda menyelubunginya bersama. Lantas Nabi memetik ayat al-Quran, “Sesungguhnya Allah ingin membersihkan kamu semua; sebagai ahli bait daripada sebarang kekotoran dan menjadikan kamu semua suci-sesucinya”[5]

Al-Majlisi juga menjelaskan bahawa Surah Ali Imran ayat 61 berkaitan dengan ahlul bait.[6] Beliau menyatakan, Rasulullah SAW memanggil Ali, Fatimah, Hasan dan Husain, kemudiannya meminta utusan Nasrani daripada Najran untuk bermubahalah.[7]

Pendirian Ahli Sunnah wal Jama’ah tentang Ahlul Bait

Terdapat pelbagai ayat al-Qur’an dan hadith berkenaan ahlul bait. Pun begitu, terdapat beberapa daripadanya yang sering diambil oleh Syiah Imamiyyah sebagai hujah bagi membenarkan pendirian mereka.

Ayat Al-Qur’an

Firman Allah SWT:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَىٰ ۖ وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).”[8]

Dalil ini merupakan antara hujah terkuat Syiah Imamiyyah yang menyatakan bahawa ahlul bait itu adalah Ali, Fatimah, Hasan dan Husain. Pun begitu, ia tidak diambil secara penuh kerana ayat ini memiliki kaitan dengan ayat sebelumnya.

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ النِّسَاءِ ۚ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

Maksudnya: “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).”[9]

Maka, secara jelasnya ia merujuk kepada para isteri Rasulullah SAW dan keturunannya samada lelaki atau perempuan. Ini dikuatkan dengan pandangan para mufassirin seperti al-Qurtubi, al-Tabari dan selainnya.[10]

Syiah Imamiyyah juga berhujah dengan Surah Ali ‘Imran ayat 61 bagi membuktikan pendapat mereka. Dikatakan, ayat ini berkaitan dengan ahl al-kisa’ iaitu Ali, Fatimah, Hasan, dan Husain. Menurut riwayat mereka, Rasulullah SAW memanggil Ali, Fatimah, Hasan dan Husain, kemudiannya meminta utusan Nasrani daripada Najran untuk bermubahalah.[11] Walaupun begitu begitu, sebahagian besar ahli tafsir tidak mengaitkannya dengan ahl al-kisa’.[12]. Bahkan, ahli tafsir yang senada dengan Syiah Imamiyyah tidak menjelaskan secara terperinci bahawa ahl al-kisa’ atau ahlul bait hanyalah merujuk kepada Ali, Fatimah, Hasan, dan Husain semata-mata.[13]

Hadith

Terdapat dua buah hadith yang menjadi hujah bagi Syiah Imamiyyah iaitu:

  1. Daripada ‘Aisyah RA,

خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌غَدَاةً ‌وَعَلَيْهِ ‌مِرْطٌ مُرَحَّلٌ مِنْ شَعَرٍ أَسْوَدَ، فَجَاءَ الْحَسَنُ بْنُ عَلِيٍّ فَأَدْخَلَهُ، ثُمَّ جَاءَ الْحُسَيْنُ فَدَخَلَ مَعَهُ، ثُمَّ جَاءَتْ فَاطِمَةُ فَأَدْخَلَهَا، ثُمَّ جَاءَ عَلِيٌّ فَأَدْخَلَهُ، ثُمَّ قَالَ: {إِنَّمَا يُرِيدُ اللهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا }

Maksudnya: “Satu pagi, Rasulullah SAW keluar, padanya terdapat sehelai kain yang diperbuat daripada bulu yang berwarna hitam, lalu Hasan bin Ali datang. Rasulullah SAW memasukkannya ke dalam kain tersebut kemudian datang pula Hussein lalu masuk ke dalamnya, kemudian Fatimah ra datang , Rasulullah SAW memasukkannya ke dalamnya, kemudian datang pula Saidina Ali, lalu Rasulullah SAW memasukkannya seraya membaca ayat : “Hanya sanya Allah swt hendak menghapuskan dosa kamu wahai Ahlul Bait dan menyucikan kamu sebersih-bersihnya”

Sebenarnya, hujah ini tidak kukuh kerana jika dirujuk beberapa hadith lain, ternyata ahlul bait itu adalah semua isteri dan keturunan Rasulullah SAW. Sebagai contoh:

Hadith yang diriwayatkan oleh Ka’b bin ‘Ujrah RA berkata:

إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ عَلَيْنَا، فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَدْ عَلِمْنَا كَيْفَ نُسَلِّمُ عَلَيْكَ، فَكَيْفَ نُصَلِّي عَلَيْكَ؟ قَالَ: فَقُولُوا: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW keluar bersama kami, kemudian kami berkata: “Wahai Rasulullah, bagaimana kami bersalawat kepadamu?”. Maka Rasulullah SAW bersabda: Bacalah “Ya Allah, semoga selawat tercurah kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana tercurah keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan semoga keberkatan tercurah kepada Muhammad, dan keluarga Muhammad sebagaimana tercurah pada keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.[14]

Menurut Ibn Hajar al-’Asqalani, maksud keluarga Muhammad  adalah isteri-isteri berserta keturunannya. Al-Baihaqi juga menyimpulkan bahawa isteri-isteri Rasulullah SAW termasuk dalam kalangan ahlul bait sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Ahzab ayat 33.[15]

  1. Daripada Ummu Salamah,

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌جَلَّلَ ‌عَلَى ‌الحَسَنِ وَالحُسَيْنِ وَعَلِيٍّ وَفَاطِمَةَ كِسَاءً، ثُمَّ قَالَ: «اللَّهُمَّ هَؤُلَاءِ أَهْلُ بَيْتِي وَخَاصَّتِي، أَذْهِبْ عَنْهُمُ الرِّجْسَ وَطَهِّرْهُمْ تَطْهِيرًا»، فَقَالَتْ أُمُّ سَلَمَةَ: وَأَنَا مَعَهُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: «إِنَّكِ إِلَى خَيْرٍ»

Maksudnya: Bahwasanya Nabi SAW telah menyelimuti Hasan, Husain, ‘Ali, dan Fatimah dengan kain Kisa, kemudian beliau bersabda: “Ya Allah, mereka ini adalah ahlul baitku dan kerabat terdekatku, jauhkanlah dari mereka dosa-dosa, dan sucikanlah mereka sesuci-sucinya”. Maka berkata Ummu Salamah: “Jadikanlah saya bersama mereka wahai Rasulullah..” Rasul bersabda: “Sesungguhnya engkau berada dalam kebaikan.”[16]

Menurut penjelasan al-Mubarakfuri, hadith ini ditujukan kepada semua isteri-isteri Nabi, ‘Ali, Fatimah, Hasan, dan Husain. Beliau juga menekankan maksud ahlul bait itu adalah keluarga Bani Hashim, termasuk keluarga ‘Abbas, keluarga ‘Ali, keluarga Ja’far, keluarga ‘Aqil dan keluarga Harith. Selain itu, ahlul bait juga merujuk kepada semua isteri-isteri Baginda dan mereka semuanya diharamkan menerima sedekah dan zakat dari orang lain.[17]

Kami melihat, pandangan Syiah Imamiyyah kelihatan tidak tetap kerana mereka turut beranggapan sembilan Imam selain ‘Ali, Hasan, dan Husain sebagai ahlul bait.[18] Kebenaran juga dikatakan tidak diterima jika disampaikan selain daripada ahlul bait sebagaimana penegasan al-Kulaini.[19] Maka, mustahil Syiah Imamiyyah dalam hal ini boleh menerima riwayat daripada ‘Aisyah dan Ummu Salamah yang bukan ahlul bait pada pandangan mereka.

Kesimpulan

Terdapat persamaan konsep ahlul bait antara Ahli Sunnah wal Jamaah dan Syiah iaitu kedua-duanya menerima keluarga Rasulullah SAW sebagai ahlul bait. Adapun perbezaannya adalah penentuan siapakah ahlul bait itu. Di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah, ahlul bait itu adalah keluarga ‘Ali, keluarga Ja’far, keljuarga ‘Aqil, keluarga ‘Abbas, keluarga Harith, para isteri Rasulullah SAW serta anak-anaknya. Manakalah Syiah Imamiyyah hanya menerima 4 orang sahaja dan di sisi yang lain, terdapat juga percanggahan yang menggolongkan juga sembilan imam sebagai ahlul bait. Wallahu a’lam.

[1] Lisanul ‘Arab, m.164.

[2] Al-Kafi, 8/54.

[3] Al-Syiah wa Ahl al-Bait, m. 20.

[4] Bihar al-Anwar, 23/109.

[5] Riwayat Muslim (2424).

[6] Bihar al-Anwar, 48/123.

[7] Bihar al-Anwar, 48/128.

[8] Surah al-Ahzab: 33

[9] Surah al-Ahzab: 32

[10] Al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 14/178-180; Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Qur’an, 22/10

[11] Tabyin al-Qur’an, m. 96

[12] Fath al-Bayan fi Maqasid al-Qur’an, 2/255

[13] Ahkam al-Qur’an, 2/295.

[14] Riwayat al-Bukhari, no. 66

[15] Fath al-Bari, 11/171

[16] Riwayat al-Tirmizi, no. 3205

[17] Tuhfah al-Ahwazi, 9/49; 10/178 & 195.

[18] ‘Allimu Auladakum Hubba Ahl al-Bayt, m. 17; Bihar al-Anwar, 22/236.

[19] Al-Kafi, 1/250.

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *