#1366: Makmum Mengaminkan Doa Qunut

Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ada satu persoalan, apakah makmum perlu mengaminkan bacaan qunut imam ataupun membaca sekali doa qunut tersebut bersama imam? Mohon pencerahan.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Perkataan Qunut (الْقُنُوْتُ) adalah daripada Bahasa Arab yang membawa beberapa makna seperti berdiri lama, diam, selalu taat, tunduk, doa dan khusuk. Manakala maksud doa Qunut secara istilah adalah doa yang dibaca seorang Muslim dalam solat pada tempat yang dikhususkan semasa berdiri.

Membaca qunut adalah semasa iktidal dalam rakaat yang kedua ketika solat Subuh dan dalam rakaat yang kedua dalam solat Witir pada separuh yang kedua di dalam bulan Ramadhan. Begitu juga dalam rakaat yang akhir pada mana-mana solat bagi qunut Nazilah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/145)

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Muhammad bin Sirin bahawa beliau bertanya kepada Anas R.A:

هَلْ قَنَتَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ؟ قَالَ: نَعَمْ، بَعْدَ الرُّكُوعِ يَسِيرًا

Maksudnya: “Adakah Rasulullah SAW melakukan qunut dalam solat Subuh? Beliau menjawab: ‘Ya, Baginda melakukan qunut dalam solat, tidak berapa lama selepas rukuk.’”

Riwayat Muslim (677)

Begitu juga dengan sebuah hadith daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma:

أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ مِنَ الرَّكْعَةِ الآخِرَةِ مِنَ الفَجْرِ يَقُولُ: «اللَّهُمَّ العَنْ فُلاَنًا وَفُلاَنًا وَفُلاَنًا» بَعْدَ مَا يَقُولُ «سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ» فَأَنْزَلَ اللَّهُ: {لَيْسَ لَكَ مِنَ الأَمْرِ شَيْءٌ} إِلَى قَوْلِهِ: {فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ}

Maksudnya: “Beliau mendengar Rasulullah SAW apabila mengangkat kepalanya daripada rukuk pada rakaat terakhir solat Subuh, Baginda mengucapkan: ‘Ya Allah, laknatlah fulan, fulan dan fulan.’ Baginda mengucapkannya selepas mengucapkan: “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ” (Allah Menerima pujian orang yang memuji-Nya, dan hanya bagi Engkau segala pujian). Lalu Allah menurunkan ayat (yang bermaksud): “لَيْسَ لَكَ مِنَ الأَمْرِ شَيْءٌ” (“Kamu tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu…”) – sehingga Firman-Nya – “فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ” (“kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim!”) [Surah Ali ‘Imran: 128].”

Riwayat al-Bukhari (4069, 4070)

Makmum Perlu Mengaminkan Doa Qunut Atau Membacanya Bersama Dengan Imam?

Dalam hal ini, kebanyakan ulama’ menyatakan bahawa apabila imam membaca doa qunut dengan kuat (jahar), maka makmum perlu mengaminkan bacaan doa qunut tersebut.

Al-Khatib al-Syirbini berkata: Orang yang solat di belakang imam hendaklah menguatkan suara pada lima tempat: Empat tempat dengan mengucapkan ‘Amin’ iaitu hendaklah mengucapkan ‘Amin’ bersama imam (iaitu selepas bacaan al-Fatihah); dalam doanya apabila imam membaca Qunut subuh; dalam Qunut Witir pada separuh kedua Ramadhan; dan dalam Qunut Nazilah dalam solat lima waktu; dan jika imam melakukan kesalahan dalam bacaannya dan orang yang solat di belakangnya membetulkannya. (Lihat Mughni al-Mughtaj, 1/362)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin berkata: Jika kita mengatakan bahawa qunut boleh dilakukan dalam solat lima waktu, jika solat itu adalah solat yang dijaharkan bacaan Qurannya, maka sudah diketahui bahawa Qunut hendaklah dibaca dengan kuat, dan jika solat itu adalah solat yang disirrkan bacaannya, maka Qunut juga hendaklah dibaca dengan kuat (jahar), sebagaimana yang dibuktikan dalam Sunnah bahawa Rasulullah SAW membaca qunut dan orang ramai mengaminkan di belakangnya, dan mereka tidak mungkin boleh mengaminkan bacaan doa qunut itu melainkan doa qunut itu didengarkan dengan lantang. (Lihat Syarh al-Mumti’, 4/47).

Justeru, dapatlah diketahui bahawa jika imam membaca Qunut dengan suara yang kuat, maka disyariatkan bagi orang yang solat di belakangnya untuk mengucapkan Amin dengan kuat, tetapi dia tidak boleh melampau dalam mengucapkan amin tersebut dengan kuat yang boleh menafikan kekhusyukan dan ketenangan dalam solat. Namun begitu, hukum mengaminkan doa qunut itu dengan suara yang jahar adalah disunatkan sebagaimana mengaminkan doa itu sendiri tidak wajib.

Namun begitu, terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan ulama’ mazhab al-Syafi’ie berkenaan di mana perlu diaminkan bacaan doa qunut tersebut.

  • Pendapat pertama: Makmum mengaminkan semua bacaan doa qunut imam
  • Pendapat Kedua: Makmum hanya perlu mengaminkan 5 lafaz pertama doa dalam doa qunut dan ikut serta ataupun mendiamkan diri dalam lafaz memuji Allah SWT yang bermula فإنك تقضي ولا يقضى عليك sehingga tamat.

Imam al-Nawawi berkata, “Jika makmum mendengar bacaan qunut imam, ada dua langkah yang masyhur perlu diambil menurut ulama sebelah Khurasan dalam kalangan mazhab al-Shafi‘e. Yang paling sahih antara keduanya ialah, makmum mengaminkan doa imam dan tidak perlu untuk dia membaca doa qunut. Inilah pendapat yang diambil pengarang kitab al-Muhazzab (al-Syirazi) dan kebanyakan ulama’. Pendapat kedua pula ialah makmum diberi pilihan antara mengaminkan doa dengan turut membaca doa qunut. Jika kita mengatakan makmum perlu mengaminkan doa (menurut pandangan pertama), terdapat dua pendapat. Pertama, makmum mengaminkan kesemua doa qunut tersebut manakala pendapat yang lebih sahih ialah, seperti diputuskan oleh kebanyakan ulama’, makmum hanya mengaminkan 5 kalimah pertama iaitu berupa doa. Manakala lafaz memuji Allah SWT yang bermula فإنك تقضي ولا يقضى عليك sehingga tamat, maka makmum turut membacanya atau mendiamkan diri. Tindakan turut membacanya adalah lebih utama, lantaran ia merupakan pujian, dan zikir ini tidak perlu diaminkan.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/501-502)

Selain itu, al-Ramli juga menyatakan: “Apabila kita menyatakan makmum turut membaca pujian kepada Allah SWT, maka kita perlu menilai adakah imam perlu menguatkan bacaannya ketika pujian itu. Boleh kita katakan, imam turut memperlahankan suara seperti di tempat lain yang dikongsi bersama antara imam dengan makmum seperti bacaan ketika rukuk dan sujud. Dan boleh juga kita katakan, dan inilah yang tepat, imam tetap menguatkan suara, seperti mana ketika kita berdoa memohon rahmat dan berlindung daripada neraka, dan seumpamanya. Sesungguhnya imam perlu menguatkan bacaan dan makmum turut membacanya, bukan mengaminkannya, sama seperti diterangkan di dalam kitab al-Majmu‘.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/319)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas, kami katakan bahawa makmum disunatkan (mustahab) mengaminkan bacaan doa qunut yang dibaca dengan jahar oleh Imam. Namun begitu, berdasarkan pendapat ulama’ dalam mazhab al-Syafi’ie, makmum boleh memilih untuk mengaminkan kesemua bacaan doa qunut yang dibaca oleh imam, atau juga boleh memilih untuk mengaminkan 5 doa pertama yang dibacakan imam dengan suara yang jahar. Selebihnya pada lafaz pujian pada Allah SWT, makmum turut membaca bersama imam ataupun mendiamkan diri.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan .seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *