#1375: Jual Beli Saham dalam Islam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, apakah hukum jual beli saham menurut Islam?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami kemukakan terlebih dahulu makna saham:

Saham ialah sekuriti yang mewakili sebahagian modal pemilik dalam perniagaan. Pemegang saham merupakan pemilik perniagaan dan berkongsi kejayaan atau kegagalan perniagaan. Prestasi perniagaan sering boleh diukur dengan jumlah dividen yang diterima oleh pemegang saham dan harga saham, disebut harga di pasaran saham. (Amanah juga sering dirujuk sebagai saham).

Bentuk-bentuk saham berbeza yang didagangkan di Bursa Malaysia:

  • Saham Biasa

Juga dinamakan saham ekuiti, iaitu modal risiko syarikat. Saham biasa memberikan pemegang hak pemilikan dalam syarikat itu, seperti hak untuk berkongsi keuntungan, hak untuk mengundi dalam mesyuarat agung, memilih dan memecat pengarah. Kewajipan pemilikan juga diberikan dan ini boleh menyebabkan kehilangan wang pelabur jika syarikat itu tidak berjaya. Saham biasa lazimnya membentuk sebahagian besar modal syarikat dan tidak mempunyai hak istimewa ke atas saham lain. Sekiranya berlaku pembubaran, saham biasa adalah selepas semua liabiliti lain dalam syarikat.

  • Saham keutamaan

Saham ini memberi hak bagi dividen (biasanya tetap) yang berada pada kedudukan pembayaran sebelum pemegang saham. Saham keutamaan lebih digemari juga apabila berkaitan dengan pembahagian aset setelah pembubaran syarikat. Saham keutamaan umumnya tidak memberi hak mengundi,tetapi hak mengundi boleh dibuat bergantung pada kegagalan untuk membayar dividen ke atas saham keutamaan bagi tempoh masa yang tertentu.

Saham patuh Syariah

Stok (juga dikenali sebagai saham dan ekuiti) adalah jenis keselamatan yang menandakan pemilikan dalam sebuah syarikat dan mewakili tuntutan di bahagian aset dan pendapatan perbadanan.

Bursa Malaysia menawarkan keluasan saham berkualiti yang mematuhi Syariah. Pembangunan Kaedah Pemeriksaan Sekuriti oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menentukan pematuhan Syariah sekuriti yang tersenarai dan diniagakan di Bursa Malaysia.

Kajian pematuhan Syariah dilaksanakan untuk sekuriti syarikat yang disenaraikan di Bursa dan semasa syarikat tawaran awam awal. Setiap syarikat tersenarai awam disemak berdasarkan penyata kewangan tahunan teraudit terkini. Pelabur boleh merujuk kepada laman web rasmi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk senarai terkini saham patuh Syariah, dua kali setahun pada setiap bulan Mei dan November.

Dalam menjawab persoalan di atas, pernah diterangkan dengan panjang lebar melalui Bayan Linnas. Antara lain:

Hukum melabur saham adalah harus, namun ia mestilah disandarkan dengan beberapa dawabith yakni syarat antaranya adalah mestilah melabur dalam pelaburan patuh Syariah oleh kerana pelaburan yang tidak patuh Syariah berpotensi besar mengandungi unsur riba, gharar (ketidakpastian) dan sebagainya yang wajib bagi seseorang individu Muslim menjauhkan diri daripadanya.

Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَاۚ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Dalam ayat ini, Allah SWT telah menyatakan larangan bagi orang Islam untuk beramal dengan perbuatan riba. Dan Allah SWT juga menjanjikan balasan serta azab yang pedih bagi mereka yang melanggarinya.

Begitu juga hukumnya bagi pelaburan dalam bank konvensional iaitu haram hukumnya kerana pelaburan tersebut tidak dibangunkan mengikut konsep pelaburan Islam dan turut melabur di dalam sektor-sektor tidak patuh Syariah yang melibatkan perjudian, riba dan juga gharar.

Oleh yang demikian, wajib bagi setiap individu muslim untuk melaburkan wang mereka di dalam pelaburan yang patuh Syariah, agar tidak tergolong dalam golongan mereka yang dijanjikan azab pedih lagi menyeksakan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Seperti sedia maklum, Bursa Malaysia mempunyai pelbagai produk pelaburan patuh Syariah dan pada 5 September 2016, Bursa Malaysia telah melancarkan platform pelaburan patuh Syariah sepenuhnya yang pertama di dunia bagi menawarkan perkhidmatan kepada pelabur yang ingin berurus niaga dalam produk patuh Syariah menerusi perkhidmatan berlandaskan Syariah, di mana para pelabur tidak hanya melabur dalam produk pelaburan patuh Syariah tetapi juga dengan cara yang patuh Syariah sepenuhnya. Maka, tiada lagi alasan untuk tidak melabur secara patuh Syariah secara menyeluruh.

Kami ada mengeluarkan satu artikel khas berkenaan cara melabur patuh Syariah di Bursa Malaysia. Kami nyatakan dalam artikel tersebut antara cara yang boleh dilakukan dalam memastikan para pelabur melabur dalam kaunter-kaunter yang patuh Syariah adalah seperti berikut:

Pertama: Menggunakan akaun dagangan patuh Syariah menerusi broker saham yang menawarkan perkhidmatan pembrokeran secara patuh Syariah (Broker Islam). Pelabur-pelabur memerlukan akaun Central Depository System (CDS) dan akaun dagangan bagi membolehkan mereka memulakan langkah jual beli saham di Bursa Malaysia. Akaun ini boleh dibuka menerusi broker saham yang berdaftar. Setiap pelabur diberi pilihan sama ada untuk membuka akaun dagangan konvensional atau akaun dagangan patuh Syariahuntuk berurus niaga dalam pasaran saham. Justeru, pastikan pelabur memilih untuk membuka akaun dagangan patuh Syariah kerana segala aktiviti dagangan dan pelaburan saham akan melalui platform Bursa Malaysia-i, iaitu saluran yang diasingkan daripada saluran konvensional bagi memastikan transaksi yang dijalankan adalah patuh Syariah secara sepenuhnya.

Kedua: Berjual beli saham patuh Syariah melalui platform Bursa Malaysia-i dapat memastikan hanya transaksi pembelian kaunter saham patuh Syariah dibenarkan. Ini sekaligus memberi kemudahan buat para pelabur bagi memastikan urusan dagangan dan pelaburan mereka bebas daripada pelaburan tidak patuh Syariah. Para pelabur boleh mengenal pasti status kaunter saham melalui penyata akaun CDS, di mana kaunter patuh Syariah ditanda dengan kod penunjuk [SP] yang bermaksud “Sekuriti Patuh Syariah”.

Ketiga: Kami cadangkan agar mempelajari dengan mendalam realiti pelaburan yang berlaku di Bursa Malaysia melalui mereka yang benar-benar ahli ikhtisas dan berkeahlian. Pada saat yang sama, mempelajari dengan lebih mendalam permasalahan muamalat dalam Islam. Ia amat penting agar sentiasa selari dengan kehendak Syariah dan tidak menyeleweng atau tersasar yang dibimbangi membawa kepada tidak patuh Syariah. Benarlah nasihat Saidina Umar ibn al-Khattab R.A:

لاْ يَبِعْ فِيْ سُوْقِنَا إِلا مَنْ قَدْ تَفَقَّهَ فِي الدِّيْنِ

Maksudnya: “Jangan seseorang berjual beli di pasar kami kecuali mereka yang faqih dalam agama.”

Riwayat al-Tirmizi (487)

Akhir kalam, nasihat saya apa-apa bidang termasuk pelaburan dan perniagaan yang ingin saudara ceburi pastikan terlebih dahulu menuntut ilmu dan memahami selok-beloknya dengan lebih mendalam. 

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *