#1416: Autopsi ke atas Mayat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, apa hukum melakukan autopsi ke atas mayat?

 

Jawapan

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan definisi autopsi. Menurut Kamus Dewan Bahasa, autopsi bermaksud  pembedahan dan pemeriksaan ke atas mayat untuk mencari dan menentukan punca atau sebab-sebab kematian.[1]

Pada asasnya, seorang muslim itu haram ditumpahkan darahnya tanpa hak. Menjaga kehormatan diri seorang muslim itu sesudah mati sama hukumnya seperti memelihara kehormatan dirinya semasa hayatnya.

Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا

Maksudnya: “Mematahkan tulang orang yang telah mati sama seperti mematahkannya ketika dia hidup.”

Riwayat Abu Dawud (3207)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: Diambil faedah dari hadis ini, bahawa sesungguhnya kehormatan seorang mukmin kekal selepas matinya dia. Sebagaimana kehormatannya semasa hayatnya. (Lihat Fath al-Bari, 9/142)

Namun begitu, kaedah syarak telah menggesa dan menetapkan bahawa syiar agama kita adalah mendatangkan maslahah dan menolak mafsadah (kerosakan). Justeru, kita dapati bahawa para fuqaha kita telah mengharuskan pembedahan perut seorang wanita hamil yang telah meninggal dunia, bagi menyelamatkan janin di dalam perutnya yang ada kebarangkalian besar untuk hidup. Demikian para fuqaha juga membenarkan dibuangnya janin dengan tujuan untuk menyelamatkan ibunya, apabila terdapat ghalabah zhan (berat sangkaan) si ibu akan mati disebabkan kewujudan janin tersebut.

Di samping itu, apabila kita merujuk kepada pandangan para ulama silam, kita akan dapati bahawa sebahagian mereka ada yang berpandangan akan keharusan memakan daging anak adam yang telah mati bagi seseorang yang berada dalam keadaan darurat. Al-Imam Tajuddin Al-Subki telah menjazamkan bahawa pendapat yang sahih dalam mazhab Syafi’e adalah seseorang yang dalam keadaan darurat boleh memakan daging anak adam yang telah meninggal dunia.

Berdasarkan hujah-hujah di atas, kita akan dapati bahawa pembedahan ke atas mayat bagi mengenalpasti kesan-kesan kematian, atau dengan tujuan-tujuan tertentu yang ada padanya maslahah seperti  mempelajari ilmu perubatan, ini adalah maslahah yang diambil kira oleh syarak dan diberi keharusan untuk melakukannya.

Fatwa Kontemporari

Kami kemukakan di sini beberapa fatwa dari institusi-institusi agama di peringkat antarabangsa dan juga kebangsaan.

Pertama: Fatwa Lajnah Hai’ah Kibar Al-Ulama Arab Saudi

Pada perhimpunan ke-9 Jawatankuasa Kibar Ulama Arab Saudi yang dijalankan di Thaif pada bulan Sya’ban tahun 1396 H ada dibincangkan berhubung penjelasan hukum yang diajukan dari pihak kedutaan Malaysia yang meminta pihak kerajaan Arab Saudi menjelaskan pendirian berhubung pembedahan kesihatan yang dijalankan ke atas mayat seorang muslim. Kemudian Jawatankuasa Fatwa Kibar Al-Ulama menjelaskan tiga bahagian berikut:

  • Pembedahan atau autopsi dengan tujuan untuk mengenalpasti dakwaan jenayah.
  • Pembedahan yang bertujuan untuk mengenalpasti penyakit-penyakit yang berjangkit. Supaya usaha pencegahan dapat dilakukan bagi mengekang penularan penyakit tersebut.
  • Pembedahan yang bertujuan sebagai proses pengajaran dan pembelajaran.

Majlis yang bersidang secara kesimpulannya bersepakat bahawa ketiga-tiga bentuk pembedahan ini boleh dilakukan.

 

Kedua: Badan Fatwa Jordan

Fatwa menyatakan:

Diberi pengecualian untuk menjalankan bedah siasat mayat dalam kes yang ditetapkan oleh undang-undang, walaupun punca kematian diketahui, kerana ini biasanya merupakan langkah berjaga-jaga. Hal ini kerana mungkin terdapat punca tersembunyi kematian yang tidak didedahkan, dan realiti telah membuktikan penemuan punca kematian yang lain, yang membawa kepada penemuan beberapa jenayah pembunuhan.

Dan tiada keraguan lagi bahawa objektif dan matlamat qadha’ adalah untuk menegakkan keadilan antara manusia dan menegakkan kebenaran. Ini berdasarkan firman Allah SWT: ‘وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ’ [Surah al-Nisa’: 58] dan firman-Nya: ‘إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ’ [Surah al-Nahl: 90] Dan matlamat ini terkadang dalam sebahagian kes memerlukan campur tangan perubatan untuk mendedahkan keadaan jenayah dan mengekang daripada merebak. Maka perubatan akan memberi peranan yang baik dalam mendedahkan punca kematian dan mengetahui pelakunya.

Pembedahan adalah dengan mengambil kira keperluan yang wujud, berdasarkan kaedah: ‘الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ المَحْظُورَاتِ’. Namun, ia hendaklah dengan syarat bahawa pembedahan tersebut tidak melebihi kadar yang diperlukan. Ini berdasarkan kaedah, ‘الضَّرُورَةُ تُقَدَّرُ بِقَدَرِهَا’, dan bahawa anggota-anggota itu dikembalikan semampunya sepertimana asalnya dan kemudian ia dikebumikan dengan sempurna. Ia juga hendaklah dengan menjaga kemuliaan dan kesucian mayat, dan tidak menghina dan mencacatkannya. Ini kerana kemuliaan insan itu adalah terpelihara sama ada hidup dan mati. (Lihat Fatwa no. 3614)

 

Ketiga: Fatwa Kebangsaan Malaysia.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004 dalam membincangkan hukum bedah siasat mayat yang kematiannya bukan dikategorikan sebagai kes jenayah telah memutuskan: Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan dalam keadaan darurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenalpasti punca kematian, serta penyelidikan dan pendidikan khususnya dalam bidang perubatan.

 

Kesimpulan

Di dalam kaedah fekah ada menyebut:

إذا تَعَارَضَتْ مَصْلَحَةٌ خَاصَّةٌ وَمَصْلَحَةٌ عَامَّةٌ، فَتُقَدَّمُ الْمَصْلَحَةُ العَامَّةُ

Maksudnya: “Apabila bertembung di antara maslahat khassah (bersifat peribadi) dengan maslahat ‘ammah (umum), maka yang didahulukan adalah maslahat umum.”

Dalam kes autopsi ke atas mayat, apa-apa yang menimpa si mati seperti mencemar kehormatan dirinya adalah dianggap masalahah yang bersifat khas. Manakala kesan dari perbuatan autopsi yang dapat mengenalpasti punca-punca penyakit, dan seterusnya dapat menghalang penyakit tersebut dari tersebar dalam kalangan masyarakat, maka ini adalah maslahah yang bersifat umum. Kerana itu ia didahulukan dan diharuskan untuk dilaksanakan.

Akhir kalam, kami menyarankan kepada pihak perubatan yang diamanahkan untuk melakukan post mortem terhadap jenazah agar memperhalusi beberapa dhawabith (kriteria) dan saranan yang berikut:

  • Memelihara kehormatan si mati.
  • Menjaga adab dan etika dengan sebaik mungkin.
  • Keputusan berdasarkan kepada keperluan yang mendesak sahaja.
  • Apabila ada jenazah orang kafir yang boleh digunakan dalam tujuan perubatan atau pengenalpastian punca penyakit, dahulukanlah jenazah mereka terlebih dahulu berbanding jenazah orang Islam.
  • Sekiranya ada wasilah (alternatif) lain yang boleh digunakan dalam mengajarkan cara autopsi, dahulukanlah ia tanpa perlu mencemarkan kehormatan si mati.
  • Sekiranya autopsi ke atas si mati tidak dipersetujui oleh keluarga si mati, hormatilah keputusan mereka. Namun sekiranya pihak pakar perubatan merasakan ada keperluan yang menggesa kepada pembedahan ke atas mayat, tenangkanlah keluarga si mati dengan menyatakan implikasi baik dari pembedahan yang akan dilakukan. Ini kerana, Allah SWT menyuruh kita berlaku adil dan ihsan. Termasuk dari berlaku adil itu ialah, mengenalpasti sebab kematian yang berlaku ke atas si mati supaya kematiannya terbela dalam kes-kes tertentu.

Semoga dengan pencerahan ini dapat memberi manfaat kepada kita semua. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak perubatan kerana telah melakukan satu tugas yang mulia. Jazakumullahu khayran.

[1]  https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=autopsi

Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 14 Syawal 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *