#1451: Ibadah Qurban atas Nama Suami

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, adakah benar, jika suami melakukan ibadah qurban atas namanya sahaja, maka isteri dan anak-anak juga mendapat pahala atas ibadah tersebut? Dengan kata lain, isteri juga telah mendapat pahala qurban juga?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ibadah qurban adalah satu ibadah yang amat dituntut dalam Islam. Firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah qurban (sebagai bersyukur).”

(Surah al-Kautsar: 2)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mu’minin A’isyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang qurban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berqurban).”

Riwayat al-Tirmizi (1493)

Al-Mubarakfuri berkata: Hadis ini menunjukkan ibadah yang paling afdhal untuk dilaksanakan pada hari raya aidiladha adalah dengan menumpahkan darah qurban. Ini kerana, ia akan datang pada hari akhirat sepertimana ia di dunia tanpa terdapat kekurangan padanya agar setiap daripada anggota itu terdapat padanya ganjaran (pahala) dan ia juga akan menjadi tunggangan orang yang berqurban itu ketika melintasi titian sirat. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/61)

Menjawab persoalan di atas, jika suami melaksanakan qurban atas namanya sahaja maka ia telah gugur tentang sunat qurban bagi keluarga tersebut, kerana hukumnya termasuk dalam sunat kifayah bagi sebuah rumah. 

Justeru, para ulama berpendapat bahawa pahala juga akan terdapat pada anak isteri jika diniatkan oleh suami tersebut. Imam Khatib al-Syarbini berkata, “Hukumnya ialah sunat kifayah jika berbilang ahlul bait (isi rumah). Sekiranya telah dilaksanakan oleh seorang daripada mereka (isi rumah) sudah memadai untuk kesemua mereka. Adapun jika (isi rumah) tidak berbilang (seorang sahaja), maka hukumnya ialah sunat ‘ain (sunat ke atas individu tersebut).” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/123)

Siapakah Yang Dimaksudkan Isi Rumah?

Para ulama’ berbeza pandangan mengenai apakah yang dimaksudkan isi rumah berdasarkan hadis baginda Nabi SAW:

بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: “Dengan Nama Allah, Ya Allah, terimalah (qurban ini) bagi pihak Muhammad dan ahli bait (keluarga) Muhammad dan Umat Muhammad.”

Riwayat Muslim (1967)

Menurut para ulama’ Syafi’iyyah, terdapat dua pandangan bagi menafsirkan maksud isi rumah:

Pandangan Pertama: Isi rumah ialah mereka yang berada di bawah tanggungan wajib seseorang. Ini ialah pandangan Imam al-Ramli.

Disebut di dalam Hasyiyah al-Syubramalsi: Imam al-Ramli berkata: “Yang dimaksudkan dengan ahli bait ialah mereka yang diwajibkan nafkah ke atasnya. Dan diqiaskan dalam masalah ini bahawasanya syarat sahnya qurban itu ialah apabila orang yang melakukan qurban itu adalah mereka yang diwajibkan nafkah ke atasnya, hinggakan jika sebahagian ahli keluarga (yang selainnya) melakukan qurban, maka tidak gugur tuntutan ke atas ahli keluarga yang lain” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/131)

Sebagai contoh, seorang lelaki wajib menanggung nafkah beberapa individu di bawah tanggungannya seperti isteri, anak yang belum sampai had mampu berdikari dan bekerja sendiri, ibu atau bapa yang berada di bawah tanggungan nafkahnya. Maka, sekiranya lelaki tersebut melakukan qurban, gugur tuntutan sunat kifayah ke atas tanggungannya yang lain, iaitu tidak jatuh hukum makruh ke atas mereka.

Berdasarkan pandangan ini, sekiranya isteri atau anaknya yang melakukan qurban, tuntutan qurban masih kekal berada di atasnya (lelaki tersebut) kerana mereka bukanlah orang yang diwajibkan ke atasnya nafkah.

Begitu juga jika seorang bapa melakukan qurban, tuntutan melakukan qurban masih kekal ke atas anaknya yang telah bekerja, serta mempunyai tanggungan sendiri sekalipun anaknya itu menetap sebumbung dengannya kerana anak tersebut bukan lagi di bawah tanggungjawab wajib bapanya.

Pandangan kedua: Isi rumah ialah mereka yang tinggal sebumbung, hidup sekali dan mempunyai hubungan persaudaraan. Ini ialah pandangan Imam Ibnu Hajar al-Haitami.

Disebut dalam Hasyiyah al-Syubramalsi sebagai sambungan kepada pandangan pertama: “Imam Ibnu Hajar bertentangan pandangannya dengan (Imam al-Ramli), dan pandangan ini lebih hampir kerana ia bersesuaian dengan maksud sunat kifayah iaitu gugurnya tuntutan (qurban) dengan perbuatan orang lain secara zahirnya sekalipun (ahli bait itu) tidak diwajibkan nafkah ke atasnya (pelaku qurban)” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/131)

Syeikh Sulaiman al-Jamal berkata: “Sekiranya berbilang isi rumah iaitu mereka yang nafkahnya diwajibkan ke atas seorang individu, sekalipun berbilang rumah (tinggal di rumah yang berlainan). Sekiranya telah dilakukan (qurban) oleh seorang daripada mereka walaupun bukan daripada kalangan yang diwajibkan nafkah keatasnya, gugur tuntutan (sunat kifayah) bagi isi rumah yang lain. Walau bagaimanapun pahala qurban itu hanya diperoleh oleh pelaku qurban sahaja……Dan yang dimaksudkan dengan sunat kifayah ialah ianya tetap disunatkan ke atas setiap individu (yang berkemampuan), tetapi tuntutan melakukan qurban gugur dengan perbuatan sebahagian yang lain. Namun pahala hanya diperoleh oleh pelaku qurban sahaja” (Lihat Hasyiyah al-Jamal, 5/251)

Berdasarkan pandangan kedua ini, sekiranya seseorang dari kaum kerabatnya yang tinggal serumah melakukan qurban (sama ada isteri atau anaknya) maka gugur tuntutan qurban bagi ahli keluarganya yang lain (termasuk suami/ayahnya).

Walaupun begitu, jika seluruh isi rumah berkemampuan untuk melaksanakan ibadah qurban, maka alangkah baiknya semua berqurban dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan juga menzahirkan rasa syukur di samping dapat memberi bantuan kepada golongan miskin untuk mengecapi daging qurban.

Sesungguhnya, qurban mempunyai faedah yang banyak dan besar ganjarannya sebagai mana seperti yang kami sebutkan hadith di atas. Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita semua untuk melaksanakan ibadat kepada-Nya.

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *