Soalan

Assalamualaikum Dato Seri, saya akan masuk rumah baru dalam masa terdekat. Apakah amalan-amalan  terbaik untuk saya lakukan, sebelum dan selepas masuk rumah baru tersebut? Ada yang menasihati untuk baca Surah Al-Baqarah. Bolehkah saya menghabiskan bacaannya berperingkat-peringkat, contohnya saya membaca 1/3 surah hari ini, esoknya 1/3 dan lusanya 1/3?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, tiada amalan khusus yang diperintahkan Syarak ketika memasuki rumah baru. Adalah lebih baik kita berdoa supaya rumah diberkati dan kita yang mendiami rumah turut diberkati . Namun begitu, jika bertujuan untuk mengharapkan keselamatan dan perlindungan dengan Allah SWT daripada kejahatan dan syaitan, maka dianjurkan kita melazimi sekurang-kurangnya empat perkara berikut: 

Pertama: Membaca al-Quran khususnya Surah al-Baqarah

Almarhum Dato’ Dr. Haron Din ketika mengulas berkenaan isu memagar rumah dan kediaman, menyebut: “Sebaik-baik cara bagi memagar rumah adalah dengan memperbanyakkan membaca al-Quran dalam rumah itu.” (Lihat Kaedah Merawat Susuk, hlm. 48)

Berkenaan membaca surah al-Baqarah, terdapat banyak fadhilatnya. Antaranya disebut dalam hadith daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِى تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

Maksudnya: “Janganlah kamu semua menjadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surat al-Baqarah”

Riwayat Muslim (780)

Menurut Syeikh al-Mubarakfuri mengatakan yang dimaksudkan dengan menjadikan rumah seperti perkuburan adalah rumah yang kosong daripada zikir dan ketaatan maka dengan itu menjadikannya seperti perkuburan atau seperti orang yang mati. Yakni, janganlah jadikan rumah itu kosong daripada zikir dan ketaatan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/146)

Menurut Ibn Mas’ud R.A pula, kata beliau:

إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ سُورَةَ الْبَقَرَةِ تُقْرَأُ فِي بَيْتٍ، خَرَجَ مِنْهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan, apabila mendengar surah al-Baqarah dibacakan di dalam rumah, maka dia akan keluar daripada rumah tersebut.”

Riwayat al-Tabarani dalam Mu’jam al-Kabir (8642) dan al-Darimi (3422)

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, katanya:

مَنْ قَرَأَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ، لَمْ يَدْخُلْ ذَلِكَ الْبَيْتَ شَيْطَانٌ تِلْكَ اللَّيْلَةَ حَتَّى يُصْبِحَ: أَرْبَعًا مِنْ أَوَّلِهَا، وَآيَةُ الْكُرْسِيِّ، وَآيَتَينِ بَعْدَهَا، وَثَلَاثٌ خَوَاتِيمُهَا

Maksudnya: “Barangsiapa membaca sepuluh ayat daripada surah al-Baqarah pada satu malam maka rumah tersebut tidak akan dimasuki syaitan pada malam tersebut sehingga pagi iaitu empat ayat awal surah al-Baqarah, ayat al-Kursi, dua ayat selepasnya dan tiga ayat terakhir di dalam surah al-Baqarah”. 

Riwayat Imam al-Darimi (3425). Imam al-Haithami mengatakan bahawa hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dan perawi-perawinya adalah sahih melainkan al-Sya’bi kerana beliau tidak mendengar (hadith) daripada Ibn Mas’ud. [Lihat: Majma’ al-Zawa’id, 10/118]. Selain itu juga, Imam Ibn Hajar al-Asqalani menghukum hadith ini sebagai mawquf serta perawinya adalah thiqah dan pada sanadnya inqita’ (terputus). [Lihat: Futuhat al-Rabbaniyyah, 3/284] Berdasarkan dua pendapat Imam yang besar ini, kami menyimpulkan bahawa hadith di atas adalah termasuk di dalam kategori dhaif (lemah) kerana sanadnya terputus iaitu al-Sya’bi tidak mendengar hadith ini daripada Abdullah bin Mas’ud.

Dalam sebuah hadis riwayat daripada Ubai ibn Ka’ab, bahawa beliau mempunyai tempat pengeringan kurma yang di dalamnya berisi kurma yang sedang dijaganya. Beliau kemudian mendapati kurma tersebut berkurangan. Tiba-tiba terdapat seekor binatang sebesar anak yang baru baligh. Dia berkata padanya: “Apakah engkau jin atau manusia?” Dia menjawab: “Aku adalah jin”.

Dalam riwayat ini jin tersebut mengatakan padanya: “Telah sampai berita kepada kami bahawa engkau suka bersedekah. Maka aku ingin mendapat sebahagian daripada makanan yang engkau hendak sedekahkan itu.” Lalu Ubai bin Ka’ab bertanya:

فَمَا الَّذِي يُجِيرُنَا مِنْكُمْ؟ قَالَ : هَذِهِ الآيَةُ آيَةُ الْكُرْسِيِّ ، ثُمَّ غَدَا أُبَيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : صَدَقَ الْخَبِيثُ

Maksudnya: “Apakah yang dapat melindungi kami daripada gangguanmu?” Jin tersebut berkata: “Ayat ini, iaitu Ayat Kursi.” Keesokan harinya, Ubai menceritakan apa yang dikatakan oleh jin tersebut kepada Nabi SAW, maka Nabi SAW bersabda: “Jin itu benar.”

Riwayat al-Nasa’ie (10796)

Berkenaan dengan kaifiat membaca 1/3 surah al-Baqarah seperti yang disebutkan, tidak ada masalah jika dijadual sedemikian dengan syarat tidak dijadikan kemestian. 

 

Kedua: Menunaikan solat sunat keluar dan masuk rumah

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

إِذَا خَرَجْتَ مِنْ مَنْزِلِكَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ يَمْنَعَانِكَ مِنْ مَخْرَجِ السُّوْءِ وَإِذَا دَخَلْتَ إِلَى مَنْزِلِكَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ يَمْنَعَانِكَ مِنْ مَدْخَلِ السُّوْءِ

Maksudnya: “Jika engkau (ingin) keluar dari rumahmu, maka laksanakanlah solat dua rakaat (yang dengan) dua rakaat ini akan menghalangimu dari keburukan yang berada di luar rumah. Jika engkau masuk ke dalam rumahmu, maka laksanakanlah solat dua rakaat (yang dengan) dua rakaat ini akan menghalangimu dari keburukan yang ingin masuk ke dalam rumah.”

Riwayat al-Bazzar (8567) dan al-Dailami (1096). Ibn Hajar al-Haythami berkata: Rijalnya thiqah.

Ketiga: Membaca bismillah, berzikir dan berdoa ketika membuka dan menutup pintu Daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يُذْكَرِ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ

Maksudnya:“Apabila seseorng masuk ke dalam rumah lalu dia mengingati Allah ketika masuk, dan ketika makan, maka syaitan akan berkata: ‘Tidak ada tempat menginap dan tidak ada makan malam.’ Tapi apabila dia tidak mengingati Allah ketika masuk, maka syaitan berkata: ‘Kalian mendapatkan tempat menginap’.”

 Riwayat Muslim (2018), Abu Daud (3765) dan lain-lain.

Juga daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

وَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا

Maksudnya: “Tutuplah pintu, dan sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup (yang disebut nama Allah).”

Riwayat al-Bukhari (3304), Muslim (2012) dan yang lainnya

 

Keempat: Memberi salam

Daripada Nafi` bahawa Abdullah bin Umar R.anhuma berkata:

إِذَا دَخَلَ الْبَيْتَ غَيْرَ الْمَسْكُونِ، فَلْيَقُلِ: السَّلَامُ عَلَيْنَا، وَعَلَى عَبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Jika engkau memasuki suatu rumah yang tidak berpenghuni maka katakanlah: Assalamu`alaina wa `ala ibaadillahis solihin – Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.”

Riwayat al-Bukhari  (1055) dalam al-Adab al-Mufrad. Ibn Hajar al-Asqalani berkata sanadnya hasan.

 

Penutup

Selain daripada apa yang disebutkan di atas, ibadah-ibadah seperti solat sunat juga perlu dilakukan juga di rumah selain daripada di masjid. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

اجْعَلُوا فِي بُيُوتِكُمْ مِنْ صَلاَتِكُمْ وَلاَ تَتَّخِذُوهَا قُبُورًا

Maksudnya: “Jadikanlah sebahagian daripada solat kamu di rumah kamu. Jangan jadikan rumah kamu semua seperti kubur.”

Riwayat al-Bukhari (432) dan Muslim (777)

Apa yang dimaksudkan dengan solat di sini ialah solat sunat yang dilakukan secara sendiri. Ini sepertimana disebut dalam hadis daripada Zaid bin Thabit R.A, Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّ أَفْضَلَ صَلَاةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ

Maksudnya: Sesungguhnya sebaik-baik solat bagi seseorang adalah di rumahnya, kecuali solat fardhu.

Riwayat al-Bukhari (7290) dan Muslim (1861)

Oleh itu, sewajarnya kita mengamalkan perkara-perkara yang disebutkan dalam usaha melindungi diri dan tempat tinggal dari sebarang gangguan. Sesungguhnya Allah SWT lah sebaik-baik pelindung dan tempat pergantungan. Firman-Nya:

قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”.

(Surah al-Taubah: 51)

Ibn Kathir berkata: Iaitu kita semuanya adalah di bawah kehendak Allah dan ketentuan-Nya. Kepada-Nya kita bertawakal dan Dia lah sebaik-sebaik pelindung. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/214)

Semoga Allah SWT jadikan rumah kita sebaik-baik tempat untuk kita berteduh dengan rahmat Allah SWT serta selamat dari gangguan dan godaan syaitan. Begitu juga, kita memohon semoga ahli keluarga kita menjadikan rumah yang kita huni sebagai Baiti Jannati. Saya sudahi dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 9 Mei 2022 bersamaan 20 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *