#1472: Kelonggaran kepada Pesakit Ulser Mulut dalam Rukun Qauli

 

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya tahu rukun qauli adalah wajib disebutkan dengan betul dan tepat, tetapi kadang-kadang bila lidah atau mulut ada ulser, sukar atau susah untuknya menyebutkan bacaan rukun-rukun qauli sebagaimana kebiasaannya. Jadi, adakah solatnya tetap sah atau dia perlu mengqadha’kannya semula ketika sembuh daripada ulser? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut Dr. Zubaidi Hj Ahmad, ulser mulut merupakan satu keadaan yang biasa berlaku. Ulser mulut biasanya berbentuk bulat, berwarna putih atau kelabu dan bengkak. Ia menyebabkan rasa tidak selesa, sakit ketika hendak makan dan minum ataupun semasa memberus gigi. Dalam keadaaan ulser yang teruk, pertuturan seseorang juga mungkin dipengaruhi.

Ulser mulut boleh terjadi apabila terdapat kecederaan tergigit mulut dengan tidak sengaja atau dengan penggunaan gigi palsu dan pendakap gigi yang tidak sempurna. Selain daripada itu, tabiat pemakanan juga boleh mempengaruhi kejadian ulser mulut. Makan makanan yang terlalu pedas, panas ataupun keras dan kurang minum air boleh menyebabkan tisu lembut di dalam mulut mudah mengalami kecederaan dan akhirnya menyebabkan ulser mulut.

Sebab-sebab ulser mulut yang lain ialah kekurangan vitamin B, C dan E, penggunaan sesetengah ubat-ubatan, jangkitan virus, bakteria atau infeksi kulat, penyakit sistemik dan sebagainya. Ulser mulut bukan suatu penyakit, tetapi ia boleh menjadi petanda klinikal untuk sesuatu penyakit yang sedia ada. Oleh itu, punca penyebab ulser mulut perlu dikenal pasti supaya rawatan dan pengendalian yang sewajarkan dapat dilakukan.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Habib Hasan al-Kaff menyatakan, menurut pendapat yang muktamad, rukun solat adalah sebanyak 13 rukun, dengan menjadikan tuma’ninah berada di bawah rukun-rukun. Kemudian, rukun-rukun itu pula terbahagi kepada empat kategori iaitu rukun qauli, rukun fi‘li, rukun ma‘nawi dan rukun qalbi.

Rukun qauli ada lima iaitu takbiratul ihram, bacaan al-Fatihah, tasyahhud akhir, selawat ke atas Nabi Muhammad pada tasyahhud akhir dan salam. Ia dinamakan sebagai rukun qauli kerana disyaratkan kepada orang yang mendirikan solat untuk melafazkannya sekadar suara yang boleh didengari oleh dirinya sendiri.

Seterusnya, rukun fi‘li ada enam iaitu berdiri, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud dan duduk pada tasyahhud akhir. Rukun ma‘nawi hanya ada satu iaitu tertib dan rukun qalbi juga ada satu iaitu niat. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 208).

Pada asasnya, kesemua rukun qauli perlu dibaca, disebutkan dan dilafazkan sehingga mengeluarkan suara sekadar bacaan yang boleh didengari oleh dirinya sendiri. Al-Bujairimi menyebut dalam hasyiahnya bahawa lafaz takbir perlu diperdengarkan oleh dirinya sendiri, begitu juga dengan rukun qauli yang lain. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh Minhaj al-Tullab, 1/189).

Selain itu, Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa bacaan yang paling minimum untuk rukun qauli adalah dibaca dengan senyap iaitu bacaan tersebut boleh didengari oleh dirinya sendiri jika dia seorang yang boleh mendengar. (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/242). Dalam kitabnya yang lain, Imam al-Nawawi menjelaskan lagi bahawa bagi makmum maka sunat untuk memperlahankan suara sama ada ketika solat sendiri ataupun secara berjemaah. Kadar minimum ialah suaranya boleh didengari oleh telinganya sendiri jika dia mempunyai pendengaran yang elok dan tiada halangan untuk menyebutnya. Ini termasuklah bacaan al-Fatihah, surah, tasbih, tasyahhud, salam, doa dan lain-lain. Tidak kiralah bacaan yang wajib mahupun sunat. Kesemuanya tidak dikira sehinggalah dia mendengar sendiri apa yang dibaca. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/394).

Namun, terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan seseorang sukar untuk membaca rukun qauli disebabkan oleh sakit atau uzur seperti sakit mulut, ulser di lidah dan seumpamanya. Keadaan-keadaan sebegini menyukarkannya untuk bercakap apatah lagi membaca rukun qauli. Jika seseorang berada di dalam keadaan sebegini, maka tidak wajib untuknya memperdengarkan bacaan rukun qauli tersebut kepada dirinya.

Imam al-Nawawi menyebutkan, jika lidah seseorang sakit sehingga susah untuk bercakap, maka dia hanya perlu mengerakkan lidahnya sekadar yang dia mampu. Jika dia sudah selepas itu maka dia tidak perlu lagi mengulangi solatnya. Ini kerana solat yang telah ditunaikan itu adalah solat yang sah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/394).

Begitu juga Ibn Roslan menyebut bahawa orang yang sukar untuk bercakap disebabkan sakit maka dia hanya menggerakkan lidah sekadar yang mampu ketika mengucapkan takbiratul ihram. Begitu juga dengan bacaan yang lain seperti tasyahhud dan rukun-rukun qauli yang lain. (Ghayah al-Bayan Syarh Zubad, 1/83).

Perkara ini sesuai dengan firman Allah SWT:

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّـهَ مَا ٱسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya:Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, ayat ini menunjukkan bahawa setiap kewajipan yang tidak mampu dilakukan oleh seorang hamba menjadi gugur. Dalam erti kata lain, seorang hamba itu, jika dia mampu menunaikan sebahagian kewajipan dan tidak mampu untuk menunaikan sebahagian yang lain, maka cukuplah dia menunaikan kewajipan yang dia mampu lakukan, manakala kewajipan yang dia benar-benar tidak mampu untuk tunaikan menjadi gugur. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/868).

Begitu juga Nabi SAW bersabda:

فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya:Apabila aku melarang kamu daripada sesuatu, maka jauhilah ia dan jika aku memerintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.

Riwayat al-Bukhari (7288)

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada kenyataan di atas, jelaslah bahawa bagi mereka yang mempunyai sakit pada bahagian mulut atau lidah seperti ulser dan seumpamanya yang menyebabkan kesukaran untuk menyebut bacaan rukun qauli seperti biasa maka dia hanya perlu menggerakkan lidahnya semampu yang mungkin dan berusaha untuk menyebutnya sebetul mungkin, dan solat yang didirikan dalam keadaan tersebut dikira sah. 

Dalam erti kata lain, jika dia sembuh selepas itu maka tidak perlu untuk mengulangi dan mengqadha’ semula solat tersebut. Ini kerana solat yang ditunaikan sudah dikira sah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 11 Mei 2023 bersamaan 22 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *