Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya dan suami ada bergaduh dan saya ada mengatakan mungkin saya dah tawar hati dengannya. Selepas pada itu, suami saya ada mengatakan “Kalau tak mahu dekat saya, dah bagitau, kita ada cerai“. Selepas itu, saya ada bincang dengan suami berkenaan perkara itu, kemudian suami terangkan pada saya, katanya, “kita ada cerai, bukannya kita bercerai“. Adakah jatuh talak?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Talak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami.

Lafaz talak terbahagi kepada dua iaitu sarih (jelas) dan kinayah (samar-samar). Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas.

Imam al-Baijuri menyatakan, Talak yang sarih tidak memerlukan kepada niat. Iaitu niat jatuhnya talak. Kerana tidak ada dihtimal kepada selain daripada talak.” (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’, 2/263)

Firman Allah SWT:

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ

Maksudnya :” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Sheikh al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya: “Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)

Berdasarkan persoalan di atas, kami katakan bahawa setiap perbuatan itu saling berkait dengan tujuannya, sebagaimana kaedah menyebut:

الْأُمُور بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: Setiap perkara bergantung kepada niatnya (Lihat al-Ashbah wa al-Nazair li Subki, 1/54)

Oleh itu, niat dan tujuan perbuatan seseorang itu akan menunjukkan kepada hukum sesuatu perkara itu. Apa yang kami faham berdasarkan perkataan suami puan, suami puan mengatakan “kita ada cerai”, iaitu “kita ada cerai untuk kita keluar daripada perkahwinan ini,” maka dalam hal ini, kami katakan bahawa lafaz tersebut masih lagi berbentuk kinayah.

Lafaz kinayah ialah lafaz yang mengandungi makna talak dan selainnya seperti kata lelaki pada isterinya: “Kamu bebas daripada aku!” atau “Pergilah ke ahli keluarga engkau” dan selainnya. Jika dia berniat menceraikan isterinya dengan lafaz-lafaz tersebut, jatuh talak mengikut bilangan yang diniatkan, dan terjatuh talak satu jika dia tidak menetapkan bilangan talak. Ulama’ Syafie juga meletakkan syarat untuk terjatuhnya talak dengan lafaz kinayah adalah lafaz tersebut mestilah berserta niat, bukan sebelum lafaz atau selepas lafaz. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/456-462).

Lafaz talak kinayah ini walaupun selalu digunakan untuk maksud talak, seperti: “Engkau haram atasmu” tidak menyebabkan jatuh talak melainkan apabila suami bermaksud menceraikannya. Jika suami bermaksud yang lain selain talak atau bermaksud apa-apa pun, maka tidak jatuh. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ka’ab bin Malik R.A, katanya:

إِذَا رَسُولُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِينِي، فَقَالَ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُكَ أَنْ تَعْتَزِلَ امْرَأَتَكَ، فَقُلْتُ: أُطَلِّقُهَا؟ أَمْ مَاذَا أَفْعَلُ؟ قَالَ: لاَ، بَلِ اعْتَزِلْهَا وَلاَ تَقْرَبْهَا، وَأَرْسَلَ إِلَى صَاحِبَيَّ مِثْلَ ذَلِكَ، فَقُلْتُ لِامْرَأَتِي: الحَقِي بِأَهْلِكِ، فَتَكُونِي عِنْدَهُمْ، حَتَّى يَقْضِيَ اللَّهُ فِي هَذَا الأَمْرِ

Maksudnya:Utusan Rasulullah SAW datang kepadaku dan berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW menyuruhmu untuk menghindari isterimu.” Aku berkata: “Adakah perlu aku menceraikannya, atau apa yang perlu aku lakukan?” Dia berkata: “Tidak perlu engkau ceraikan, tetapi engkau perlu menghindarinya dan tidak mendekatinya.” Baginda SAW juga mengirim utusan kepada kedua sahabatku sama seperti itu. Aku berkata kepada isteriku: “Pergilah kepada keluargamu dan tinggal bersama mereka hingga Allah memberi keputusan pada urusan ini.” .

Riwayat al-Bukhari (4418) dan al-Nasaie (3424)

Dalam persoalan yang dikemukakan, lafaz kinayah ini berkemungkinan jatuh atau tidak adalah bergantung kepada niat si suami. Jika si suami sudah pun menerangkan bahawa beliau memang tidak ada langsung niat untuk bercerai dengan lafaz kinayah, maka kami katakan bahawa talak tersebut tidak jatuh.

Walaubagaimanapun, kami berpandangan untuk saudari merujuk kepada Mahkamah Syariah dan membuat permohonan pengesahan lafaz talak. Hal ini merupakan  satu usaha untuk membuktikan adakah si suami berniat untuk mentalakkan atau tidak. Apabila berlaku khilaf, maka hakim atau pemerintahlah yang akan memutuskannya. Hal ini selaras dengan kaedah:

أَنَّ حُكْمَ الْحَاكِمِ يَرْفَعُ الْخِلَافَ

Maksudnya:Keputusan hakim (pemerintah) mengangkat khilaf”

Ini bermaksud, ketetapan hakim dan seumpamanya dalam masalah-masalah yang bersifat amali, memutuskan sebarang bentuk perselisihan.

Al-Qarafi menyebutkan dalam al-Furuq bahawa hukum pemerintah dalam masalah ijtihad mengangkat perselisihan. Orang yang berselisih kembali daripada mazhabnya kepada mazhab pemerintah, dan fatwanya berubah setelah diputuskan oleh hakim berkenaan apa yang diperselisihkan sebagaimana pendapat yang sahih daripada para mazhab ulama. (Lihat Al-Furuq, 2/103)

Kami juga ingin menasihatkan di sini, bahawa janganlah bermain-main dalam isu cerai ini. Perkara ini termasuk daripada perkara yang tidak boleh dijadikan bahan gurauan. Hal ini ditegaskan oleh Nabi SAW di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak).”

Riwayat Abu Daud (2194)

Hadith di atas jelas menunjukkan larangan untuk bermain-main dalam tiga perkara di atas. Hal ini kerana gurauan di dalam tiga perkara itu akan dihukumkan sebagai maksud asal perkataan tersebut tanpa mengira niat untuk bergurau. Disebutkan juga bahawa, sekiranya gurauan dibuat oleh suami dan isteri sudah baligh, berakal dan tidak dipaksa mana-mana pihak, maka lafaz talak yang dilafazkan adalah dikira, dan jatuh talak mengikut apa yang disebutkan. (Lihat al-Mu’tamad, 4/ 157)

Semoga isu ini dapat diselesaikan dengan tenang dan harmoni. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: ““Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply