Soalan
Assalamualaikum ustaz. Seorang suami mengimamkan isterinya ketika menunaikan solat dan kemudian dia terlupa hafalan surah yang dibacanya. Bolehkah isterinya membetulkan bacaan tersebut? Mohon pencerahan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Pada asasnya, menegur kesalahan imam dalam solat Jemaah telah disyariatkan melalui sabda Rasullah SAW:
التَّسْبِيحُ لِلرِّجَالِ وَالتَّصْفِيقُ لِلنِّسَاءِ
Maksudnya: “Bertasbih itu untuk lelaki, menepuk pula untuk wanita.”
Riwayat al-Bukhari (1203), Abu Daud (939) dan al-Nasa’i (1210)
Berdasarkan hadith ini ulama’ berpendapat:
- Imam Nawawi menyebut, bahawa di sisi Mazhab al-Syafie, bertasbih untuk orang lelaki dan bertepuk bagi orang perempuan. (Lihat al-Majmu’, 4/13).
- Imam Mawardi juga berpendapat bahawa bertepuk adalah cara wanita menegur imam, kerana suara wanita adalah aurat, bimbang menjadi fitnah keatas orang yang mendengar. Dan beliau menyebut bahawa bertepuk lebih tepat berbanding tasbih keatas wanita berdasarkan hadis di atas. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/162).
- Manakala pendapat Mazhab Imam Malik mengatakan bahawa lelaki dan perempuan bertasbih di dalam solat, dan melarang wanita bertepuk di dalam solat. (Lihat Fath al-Qadir, 1/356).
Maka berdasarkan perbincangan ulama di atas, menurut pendapat Mazhab Syafie, bahawa menegur imam dengan cara bertasbih adalah bagi lelaki manakala perempuan dengan cara bertepuk. Selain itu, para ulama juga bersepakat bahawa makmum perlu menegur dan membetulkan imam jika dia tersalah atau terlupa pada bacaan al-Qur’an atau pada perbuatan-perbuatan solat yang lain. (Lihat al-Taj wa al-Iklil 2/27, Matalib Uli al-Nuha 1/485 dan Nail al-Autar 2/373).
Dalam isu ini juga, tegahan daripada bertasbih (iaitu menyebut subhanallah secara kuat) oleh wanita adalah kerana mereka disuruh untuk merendahkan suara dalam solat untuk mengelakkan fitnah, manakala lelaki ditegah daripada menepuk kerana ia lebih sinonim dengan wanita. Inilah sepertimana dijelaskan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani. (Lihat Fath al-Bari 3/77). Sebahagian ahli ilmu pula ada menyatakan bahawa sebab makruhnya tasbih oleh wanita, dan keharusan menepuk untuk menegur imam adalah kerana kelembutan suara kebanyakan wanita dan mungkin ia akan mengganggu konsentrasi jemaah lelaki. Pandangan ini sepertimana yang dinukilkan oleh Ibn ‘Abd al-Bar. (Lihat al-Tamhid, 21/108).
Imam al-Zarkasyi pula menjelaskan bahawa menepuk untuk menegur imam adalah dalam situasi wujudnya lelaki-lelaki ajnabi. Sebaliknya, jika jemaah solat dan imam terdiri daripada wanita atau lelaki-lelaki mahram, maka hendaklah mereka bertasbih (mengucapkan subhanallah) secara jahar (kuat dan terang). (Lihat Mughni al-Muhtaj 1/418).
Penutup
Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa sekiranya wanita itu melakukan solat jemaah bersama lelaki ajnabi, maka dia dilarang menegur secara bertasbih (mengucapkan subhanallah). Sebaliknya, hendaklah dia menegur secara menepuk sahaja.
Akan tetapi, jika dia solat bersama suami, lelaki mahram atau sesama wanita, maka harus baginya untuk menegur imam secara bertasbih apabila imam tersalah atau ingin membetulkan bacaan imam jika terlupa. Meskipun begitu, yang lebih afdhal adalah menegur dengan cara menepuk.
Wallahu a’lam.
Leave a Reply