Soalan :

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya jika seorang ibu menfitnah dan memburuk kan seorang anak kepada orang lain atau anak lain. Dan anak itu memberontak dan melawan kerana merasa dianiayai. Adakah berdosa besar anak itu?

 

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, fitnah berasal daripada perkataan bahasa arab yang mengandungi beberapa makna. Antaranya disebutkan oleh al-Azhari, Ibn Faris, dan Ibn Manzur bahawa fitnah bermaksud ujian. ( Lihat Tahzib al-Lughah, 14/296; Maqayis al-Lughah, 4/472.) Tambahan lagi, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, fitnah itu kebiasaannya dibuat untuk mengubah sesuatu dan mereka-reka.(Lihat Fath al-Bari, 13/4. ) Manakala dalam masyarakat Melayu, perkataan fitnah memberi makna yang lebih spesifik. Ia hanya merujuk kepada sebarang tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau sesuatu pihak yang membawa kepada porak-peranda. 

Justeru, berdasarkan kepada pentakrifan ini, hukum fitnah jelas haram dan ditegah. Hal ini kerana perbuatan fitnah dikecam dengan keras oleh Nabi SAW sebagaimana hadith daripada Huzaifah R.A, bahawa Baginda bersabda:

‏ لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ

Maksudnya:Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).

 Riwayat Muslim (105)

 Terdapat dalam riwayat yang lain dengan lafaz qattat “قَتّاتٌ”. Riwayat al-Bukhari (6056). Tambahan pula, Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan lagi bahawa nammam itu ialah orang yang duduk bersama-sama dalam satu kumpulan yang ramai, dan berakap-cakap tentang sesuatu perkara, lalu mereka menambah-nambah — yakni mereka-reka — perkara tersebut dengan tujuan untuk memfitnah. Akan tetapi qattat pula ialah orang yang mencuri dengar perbualan suatu kumpulan itu sedang mereka tidak tahu, dan kemudian menokok-tambah dengan sesuka hati cerita tersebut untuk tujuan memfitnah. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 369 )

Selain itu, termasuklah juga perbuatan tersebut dengan cara tulisan yang disebarkan seperti dalam media massa dan lain-lain untuk tujuan memfitnah.

Selain daripada itu, sebagai seorang Muslim yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya mengakui dan bersetuju bahawa ‘memfitnah’ bukan daripada akhlak seorang Muslim, mahupun daripada nilai-nilai yang baik. Sebaliknya, Allah SWT berfirman:

وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا

Maksudnya:Dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik.

(Surah al-Baqarah: 83 ) 

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan dalam kitabnya, Islam sangat marah terhadap orang yang gemar mendengar perkataan yang buruk, lalu segera menyampaikan kepada orang lain untuk bermusuh-musuhan atau kerana ingin menimbulkan fitnah, atau bertujuan untuk memporak-perandakan hubungan antara satu sama lain supaya hancur dan binasa. ( Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 369.)

Dalam menjawab persoalan di atas, alangkah malangnya sebarang tindakan yang diambil oleh ibu bapa tanpa sebarang usul periksa atau tabayyun. Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

(Surah al-Hujurat: 6) 

Al-Sobuni berkata: Jika datang kepada kamu seorang lelaki fasiq yang mana ia tidak boleh dipercayai dengan kebenaran dan keadilannnya, dengan apa yang diberitaka, maka hendaklah kamu menyemak akan kesahihan berita. Ini supaya kamu tidak mengenakan hukuman atau musibah kepada satu-satu kaum sedangkan kamu jahil tentang hakikat sebenar. Ketika itu, jadilah kamu menyesal tak sudah atas perbuatan kamu. (Lihat Safwah al-Tafasir, 3/216)

Dalam situasi ini suka untuk kami menasihati supaya meninggalkan perbuatan memberontak kerana perbuatan tersebut boleh menyakiti hati kedua-dua ibu bapa.Untuk mengelakkan kejadian ini berlaku perlu dijelaskan kepada ibu-bapa isu yang sebenar supaya mereka tahu apa yang berlaku dan dapat mencari jalan penyelesaian yang terbaik.Sebagai seorang anak kita perlu mempamerkan akhlak yang baik dan mendoakan kebaikan kepada mereka serta ikutlah nasihat tuhan sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT :

وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا ۖ وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ۚ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ‎ 

Maksdunya : “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.”

(Surah Luqman: 15 )

Ibn Kathir berkata: “Jika kedua orang tuamu memaksa kepada agamanya, maka janganlah kamu mengikutnya dan dalam saat yang sama ia tidaklah menjadi penghalang bagimu untuk berbakti kepada keduanya di dunia secara ma’ruf (baik). Ambillah iktibar dari kisah Sa’ad bin Abi Waqqas yang berbakti kepada ibunya dan bagaimana cara penyelesaian yang dilakukan oleh Sa’ad yang penuh hikmah sehingga akhirnya menjadikan ibunya boleh menerimanya.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/402).

Ingatlah sabda Rasulullah SAW sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma:

رِضَاءُ اللَّهِ فِي رِضَاءِ الْوَالِدِ ، وَسَخَطُ اللَّهِ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ

Maksudnya: “Allah redha dengan sebab redha kedua ibubapa dan Allah murka dengan sebab murka kedua ibubapa.”

Riwayat al-Tirmizi (1899), Ibn Hibban (429) dan al-Hakim (7249)

 Kami akhiri dengan doa : 

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَلِوَالِدِيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صِغِيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah! ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.”

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=fitnah. Diakses pada 28 Mac 2022.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *