Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t.

Baru-baru ini telah tular bahawa ada orang bukan Islam yang beragama Sikh mahu memberi makanan vegetarian yang dimasak dan disediakan oleh mereka kepada mangsa banjir. Justeru, apakah hukum makanan tersebut, sekalipun berasal daripada sumber yang halal? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya:Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”[1]

Ayat di atas menunjukkan bahawa makanan yang hendak dimakan oleh kita hendaklah memenuhi dua kriteria tersebut iaitu, halal dan baik.

Syeikh al-Sa‘di telah mengulas ayat ini dengan mengatakan bahawa ia ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka mengambilnya (yakni untuk makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.  Manakala perkataan ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk (yakni kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus.[2]

Memilih makanan yang halal lagi baik juga merupakan antara faktor doa diterima oleh Allah SWT. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:

الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Maksudnya:Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.’ Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan dia juga diberi makan dengan yang haram. Maka, bagaimana mungkin doanya dikabulkan?[3]

Makanan yang Dimasak Orang Bukan Islam yang Bukan Ahli Kitab

Mengenai perkara ini, tidak menjadi kesalahan ke atas seorang Muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh orang bukan Islam yang bukan ahli kitab berupa susu, sayur-sayuran, buah-buahan dan segala jenis makanan yang lain kecuali sembelihan mereka. Bahkan terdapat riwayat daripada Qatadah yang menyatakan bahawa:

لَا بَأْسَ بِأَكْلِ طَعَامِ الْمَجُوسِ مَا خَلَا ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya:Tidak mengapa dengan memakan makanan orang Majusi selain daripada sembelihannya.[4]

DI samping itu, al-Qurtubi juga ada menukilkan dalam tafsirnya daripada Abu Umar yang menyebutkan bahawa tidak mengapa dengan memakan makanan penyembah berhala, penganut Majusi dan sekalian penganut bukan Islam yang tidak diberikan kitab (yakni bukan ahli kitab) selain daripada sembelihan mereka. Begitu juga, makanan tersebut tidak berhajat kepada sembelihan mengikut syarak kecuali keju kerana ia berasal daripada renet bangkai — disebabkan oleh haiwan itu tidak disembelih mengikut syarak.[5]

Begitu juga, status halal suatu makanan itu, bukanlah dilihat daripada individu yang menyediakan makanan tersebut. Akan tetapi, kayu ukurnya adalah pada bahan-bahan dan perkakas yang digunakan bagi menyediakan makanan tersebut. Dalam erti kata lain, mestilah daripada bahan-bahan yang halal dan bersih, di samping alat-alat perkakas yang digunakan untuk memasaknya juga, mestilah tidak digunakan untuk memasak makanan yang haram.

Kesimpulannya

Justeru, tidak menjadi kesalahan bagi seorang Muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh orang bukan Islam (bukan ahli kitab) seperti penganut Hindu, Sikh, Budha dan lain-lain, selagi mana bahan-bahan yang digunakan adalah halal dan diyakini kesuciannya serta bukan daripada hasil sembelihan mereka.

Sementelahan lagi pada ketika suasana banjir dan pasca banjir di mana mangsa dan petugas operasi banjir sangat memerlukan makanan. Makanya, diharuskan mengambil makanan daripada orang bukan Islam (Non-Muslim) terutamanya yang memasak secara vegetarian.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang diharamkan. Ameen.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 25/12/2021 bersamaan 21 Jamadil Awal 1443H

[1] Surah al-Baqarah: 168

[2] Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80

[3] Riwayat Muslim (1015)

[4] Riwayat ‘Abd al-Razzaq di dalam Musannafnya (10155)

[5] Lihat Tafsir al-Qurtubi, 2/221

-29%

Siri Kematian

eBook 7 Siri Kematian

Rated 0 out of 5
RM30.00
-17%
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
-58%
RM50.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
-60%

Kajian Ilmiah

Fiqh Banjir

Rated 0 out of 5
RM2.00

Leave a Reply

Your email address will not be published.