#1631: Memakai Gelang Kristal

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah saya tahu apakah hukum memakai gelang kristal yang dikatakan ada efek healing sama ada emosi atau fizikal?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebagai muslim yang beriman, kita mesti percaya bahawa Allah SWT adalah sebaik-baik pelindung dan tempat pergantungan. Firman-Nya:

قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”.

(Surah al-Taubah: 51)

Ibn Kathir berkata: Iaitu kita semuanya adalah di bawah kehendak Allah dan ketentuan-Nya. Kepada-Nya kita bertawakal dan Dia lah sebaik-sebaik pelindung. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/214)

Justeru dalam hal ini, sejauh mana keberkesanan gelang ini boleh memberikan manfaat kepada pemakainya seperti memberi aura yang positif kepada mental dan fizikal adalah perkara yang perlu dirujuk kepada pakar dalam bidang itu seperti kajian klinikal daripada pakar-pakar perubatan dan seumpamanya.

Adapun apa yang dinyatakan berkenaan gelang ini jika ia berdasarkan pada kajian saintifik yang betul dan nyata, maka tiada masalah dalam menggunakan gelang tersebut. Namun, jika ia hanya berdasarkan pada khayalan dan imaginasi semata-mata, maka tidak boleh untuk dipakai gelang tersebut. Hal ini kerana larangan terhadapnya pasti berkaitan dengan kepercayaan-kepercayaan khurafat. Jika terdapatnya keraguan, maka orang yang menjauhi keraguan tersebut telah membersihkan agamanya dan maruahnya. 

Diriwayatkan daripada ‘Imran Bin Husain R.A, bahawa Nabi SAW pada suatu hari melihat seorang lelaki yang memakai gelang di tangannya. Lalu Nabi SAW bersabda:

مَا هَذِهِ الْحَلْقَةُ ‏”‏.‏ قَالَ هَذِهِ مِنَ الْوَاهِنَةِ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ انْزِعْهَا فَإِنَّهَا لاَ تَزِيدُكَ إِلاَّ وَهْنًا

Maksudnya: “Gelang apakah ini ? Maka lelaki itu pun menjawab: Ini disebabkan penyakit. Lalu baginda bersabda: Tanggalkanlah ia kerana sesungguhnya ia tidak menambahkan kepadamu melainkan kelemahan.‏”

Riwayat Ibn Majah (3531)

Al-Sindi dalam syarahnya berkata: “Kata (مِنَ الْوَاهِنَةِ), pada akhirnya kelemahan itu adalah suatu penyakit yang menyerang urat pada bahu, dan juga menyerang seluruh tangan, lalu merebak pada darinya. Dan dikatakan: ia adalah penyakit yang menyerang anggota badan, dan mungkin ada tergantung di atasnya sesuatu yang disebut khazr al-wahinah, yang hanya menyerang lelaki sahaja. Hal ini dilarang oleh Nabi SAW kerana dia memakai gelang tersebut sebagai suatu bentuk perlindungan daripada rasa sakit, sehingga pada dirinya tergolong dalam pengertian tama’im (tangkal) yang dilarang. Dalam al-Zawaid, Sanadnya adalah hasan kerana Mubarak dalam sanad hadith ini ialah Ibn Fudalah.” (Lihat Hasyiah al-SIndi ‘ala Sunan Ibn Majah, 2/361)

Berdasarkan hadith di atas, Nabi SAW memerintahkan supaya pemakaian gelang dengan tujuan dan keyakinan bahawa ia dapat menyembuhkan tersebut ditanggal dan dijauhkan kerana ia sama sekali tidak dapat memberi manfaat dan mengelakkan kemudaratan.

Justeru, tiada keraguan bahawa dengan memakai gelang yang berdasarkan sangkaan semata-mata ia memberi manfaat sepatutnya ditinggalkan oleh seorang muslim. Adalah lebih utama bagi seorang Muslim untuk berhati-hati menjauhi perkara yang syubhah dan memadai dengan pengubatan yang jelas dan yang jauh daripada keraguan. Diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Basyir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

فَمَنِ اتَّقَى المُشْتَبِهََاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ: كَرَاعٍ يَرْعَى حَوْلَ الحِمَى، يُوشِكُ أَنْ يُوَاقِعَهُ، أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى، أَلاَ إِنَّ حِمَى اللهِ فِي أَرْضِهِ مَحَارِمُهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghindarkan diri daripada perkara syubhat, maka dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Sesiapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka dia seperti seorang pengembala yang menggembala haiwan ternaknya di sekitar tanah larangan yang dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah, setiap raja memiliki tanah larangan dan tanah larangan Allah di bumi ini ialah perkara-perkara yang diharamkan-Nya.”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

Ibn Daqiq al-‘Id berkata: “Hal ini menunjukkan bahawa masalah syubhat mempunyai hukum tersendiri yang diterangkan oleh syariat sehingga sebahagian orang ada yang berhasil mengetahui hukumnya dengan tepat.” (Lihat Syarh al-Arba’in al-Nawawiyah, hlm. 47)

Syeikh Abdul Aziz bin Baz berkata: “Apa yang saya lihat dalam isu ini adalah dengan meninggalkan memakai gelang yang disebutkan – gelang tembaga yang digunakan untuk merawat beberapa penyakit – dan tidak menggunakannya sebagai jalan untuk menghindari syirik dan mengelakkan fitnah yang berkaitan dengannya dan perkara yang boleh cenderung ke arahnya dan menyebabkan hati manusia terikat padanya. Hal ini supaya hati dan jiwa seorang Muslim itu hanya bergantung kepada Allah Yang Maha Suci, dengan keyakinan dan ketergantungan penuh pada-Nya, dan cukuplah dengan menggunakan apa yang telah diizinkan oleh syara’ dengan jelas dalam hal-hal yang dihalalkan Allah dan yang Dia mudahkan bagi hamba-hamba-Nya, dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya dan dalam perkara yang samar-samar.” (Lihat Majmu’ Fatawa, 1/207)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin pernah ditanya berkenaan orang yang diberi ubat dengan memakai gelang, katanya: “Soalan kamu mengenai orang yang diberikan ubat oleh ahli farmasi dalam bentuk gelang untuk merawat rematik dan digunakan pada tangan, maka kamu perlu tahu bahawa ubat adalah sebab untuk sembuh, dan yang menjadi penyebab untuk sembuh itu adalah Allah SWT. Tidak ada sebab kecuali Allah SWT menjadikannya sebagai sebab. Sebab-sebab yang Allah jadikan sebagai sebab terbahagi kepada dua jenis:

  • Pertama: Sebab-sebab syar’ie seperti Al-Quran dan doa sebagaimana yang disebut  oleh Nabi SAW berkenaan surah Al-Fatihah: “Dan apa yang membuat kamu tahu bahawa surah al-Fatihah itu adalah ubat?“, dan juga seperti apa yang dilakukan oleh Nabi SAW dalam merawat orang sakit dengan doa, Allah SWT menyembuhkan mereka melalui doa yang dikehendaki-Nya.
  • Kedua: Sebab-sebab yang bersifat material dan dapat dirasakan secara langsung seperti ubat-ubatan yang diketahui melalui syara’, seperti madu, ataupun melalui kajian klinikal seperti kebanyakan ubat-ubatan pada zaman ini. Jenis ini haruslah mempunyai kesan secara langsung yang dapat dirasakan dan bukannya berdasarkan andaian dan khayalan. Sekiranya keputusan kajian itu mengesahkan keberkesanannya, maka sahlah untuk menggunakan ubat yang menghasilkan kesembuhan dengan izin Allah SWT.

Namun, jika itu hanya sekadar khayalan dan imaginasi yang dirasakan oleh pesakit, dan dia merasakan keselesaan jiwa melalui khayalan dan imaginasi tersebut, dan penyakit itu menjadi lebih ringan atau mungkin kegembiraan jiwa yang melanda pesakit berkurang sehingga penyakit itu hilang, maka hal ini tidak dibolehkan untuk bergantung kepada gelang tersebut atau mengakui bahawa ia adalah ubat. Kita tidak boleh berpegang kepada khayalan dan imaginasi, dan itulah sebab mengapa dilarang memakai gelang atau benang dan sejenisnya untuk menyembuhkan atau menghilangkan penyakit, kerana itu bukanlah sebab yang dibenarkan secara syar’i atau secara material. Jika tidak ada bukti bahawa ia adalah sebab syar’i atau sebab yang dapat dirasakan dengan jelas, maka tidak dianggap sebagai sebab. Hal ini kerana dengan menjadikannya sebagai sebab adalah bentuk persaingan dengan Allah SWT dalam kerajaan-Nya dan bentuk penyekutuan dengan-Nya, yang mana seseorang itu bersama-sama Allah dalam menentukan sebab-sebab dan akibatnya. Wallahu a’lam. (Lihat Majmu’ Fatawa wa Rasail, 17/70)

Kesimpulan

Oleh itu, dalam hal ini, kami katakan bahawa pemakaian gelang pada hari ini khususnya bagi kaum lelaki adalah dilarang seperti gelang kristal, gelang tasbih, gelang getah plastik, gelang besi magnet adalah tidak dibolehkan jika tidak ada bukti yang jelas dan hanya sekadar sangkaan yang menyatakan bahawa ia boleh mengubati penyakit seseorang.

Berkenaan dengan fatwa memakai gelang magnet, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah yang bersidang pada 30 Januari 2008 telah membincangkan mengenai Gelang Magnet. Mesyuarat memutuskan bahawa HARAM hukumnya ke atas lelaki yang memakai gelang tangan magnet kerana menyerupai perhiasan yang dikhususkan kepada golongan perempuan. Walau bagaimanapun harus jika memakai gelang magnet itu memberi manfaat kepada pemakainya dengan syarat diakui oleh doktor muslim atau doktor pakar bukan muslim yang dipercayai. [1]

Manakala keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan pada Bilangan 1/1429 bertarikh 20 Safar 1429H bersamaan 27hb Februari 2008M telah memutuskan bahawa: Haram bagi lelaki memakai gelang magnetik kerana pemakaian gelang tersebut lebih kepada menyerupai wanita ( تـشبّه بالنساء ). Cara ini adalah satu kaedah untuk merosakkan orang Islam. [2]

Maka dalam hal ini, kami katakan bahawa supaya meninggalkan amalan seperti ini yang meragukan sebagaimana sabda Nabi SAW:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang meragukan kamu kepada yang tidak meragukan kamu.”

Riwayat al-Tirmizi (2518)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

 

[1]  Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10644
[2] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/12358

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *