Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, saya ibu kepada tiga anak lelaki yang telah dewasa. Anak-anak saya berumur 25, 23 & 19 tahun. Saya ingin mengeluarkan duit untuk melakukan qurban 1444 H untuk ketiga-tiga anak, suami dan diri sendiri. Adakah ia dibolehkan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Ibadah korban termasuk dalam syiar-syiar agama Allah yang sewajarnya dibesarkan dan diagungkan. Firman Allah SWT:
وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّـهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّۖ كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.
(Surah al-Hajj: 36)
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa mereka yang melakukan sembelihan korban dan memilih binatang besar lagi gemuk sudah pasti termasuk dalam golongan yang membesarkan syiar Allah SWT. Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata: “Ia sebagai tanda dan lambang kebesaran agama Allah dengan melaksanakan ibadat korban tersebut.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 17/296)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa perlu ditanya terlebih dahulu sama ada mereka setuju atau tidak kerana masing-masing adalah mukallaf. Keduanya, kesemua mereka masih hidup. Justeru, jika semua bersetuju, maka boleh dilakukan dan tiada masalah.
Perbuatan ini juga dikira sebagai berbuat baik dalam melaksanakan ibadah korban. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ، فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا
Maksudnya: “Barangsiapa yang memiliki kelapangan (rezeki) dan tidak melakukan ibadah korban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami.”
Riwayat Ibn Majah (3123) dan Ahmad (14/24)
Sekiranya mampu, maka setiap keluarga boleh melakukan ibadah korban sebagai sunat kifa’i.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً،وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً،وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
(Surah al-Baqarah : 201)
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H
Leave a Reply