#1660: Amalan-Amalan yang Dianjurkan Pada Hari Nahar Bagi Jemaah Haji

Soalan

Apakah amalan-amalan yang digalakkan pada Hari Nahar (10 Zulhijjah)?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Nabi SAW.

Hari al-Nahar merupakan hari ke 10 Zulhijjah. Al-Nahar (النحر) bermaksud penyembelihan (الذبح). Justeru, 10 Zulhijjah dinyatakan sebagai Hari al-Nahar di dalam bulan Islam kerana pada hari tersebut telah disyariatkan kepada seluruh umat Islam yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah penyembelihan haiwan korban.

Daripada Abdullah bin Qurt R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ أعظمَ الأيامِ عندَ اللهِ تباركَ وتعالى يومُ النحرِ ثمَّ يومُ القَّرِّ

Maksudnya: “Hari yang paling agung disisi Allah SWT adalah Hari Nahar, kemudian Hari Qarr”

Riwayat Abu Dawud (1765). Syeikh Syuaib al-Arna’ut menilainya sanadnya sahih.

Hadith ini menunjukkan bahawa antara hari yang paling afdhal di sisi Allah dalam setahun selepas daripada hari Arafah ialah hari raya Aidladha. Ini kerana, banyak perbuatan haji dilakukan pada hari tersebut seperti melontar jamrah al-Aqabah, melakukan korban, bertahallul, melakuan tawaf ifadhah dan sebagainya. Disebabkan itu, ia dinamakan sebagai hari haji al-Akbar sepertimana disebutkan di dalam al-Quran. (Lihat Jawahir al-Bihar, 1/148)

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَفَ يَوْمَ النَّحْرِ بَيْنَ الْجَمَرَاتِ فِي الْحَجَّةِ الَّتِي حَجَّ، فَقَالَ: أَيُّ يَوْمٍ هَذَا؟ قَالُوا: يَوْمُ النَّحْرِ، قَالَ: هَذَا يَوْمُ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW berdiri pada hari al-Nahr (10 Zulhijjah) di antara jamrah-jamrah pada waktu Baginda SAW menunaikan Haji, lalu Baginda SAW bertanya: “Hari apakah ini?”.  Mereka menjawab: “Hari al-Nahr (hari 10 Zulhijjah)”. Nabi SAW bersabda: “Ini adalah hari Haji Akbar”.

Riwayat Abu Dawud (1945). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (1945) menyatakan bahawa sanadnya sahih.

Antara amalan yang dilakukan oleh jemaah haji untuk dilaksanakan pada hari al-Nahar ialah:

  1. Melontar Jamrah al-Kubra mengikut syarat-syaratnya.
  2. Zikrullah kerana termasuk dalam umum
  3. Menyembelih binatang hadyu dan korban.
  4. Tawaf Ifadhah (Tawaf Rukun) sebagai rukun haji.
  5. Sa’ie dengan syarat-syaratnya.
  6. Bercukur atau bergunting rambut sebagai rukun haji dengan syarat-syaratnya.

Firman Allah SWT:

مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ

Maksudnya: “Dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya.”

(Surah al-Fath: 27)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Firman-Nya, ‘مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ’, yakni dalam keadaan mencukur seluruh rambutnya, dan sebahagian yang lain sebahagian rambutnya. Al-Tahliq (mencukur seluruh rambut) dan al-taqsir (memotong sebahagian rambut) untuk kaum lelaki, kedua-duanya boleh. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 13/421)

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏”‏ رَحِمَ اللَّهُ الْمُحَلِّقِينَ ‏”‏ ‏.‏ قَالُوا وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ‏”‏ رَحِمَ اللَّهُ الْمُحَلِّقِينَ ‏”‏ ‏.‏ قَالُوا وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ‏”‏ رَحِمَ اللَّهُ الْمُحَلِّقِينَ ‏”‏ ‏.‏ قَالُوا وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ‏”‏ وَالْمُقَصِّرِينَ ‏”‏

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Semoga Allah SWT merahmati mereka yang mencukur rambutnya (sampai botak)” lalu mereka berkata: “Dan juga bagi mereka yang menggunting rambutnya, ya Rasulullah?” Baginda bersabda lagi “Semoga Allah merahmati mereka yang mencukur rambut mereka (sampai botak).” Lalu mereka berkata lagi: “Dan juga bagi mereka yang menggunting rambutnya, ya Rasulullah?” Namun Baginda tetap bersabda “Semoga Allah merahmati mereka yang mencukur rambut mereka (sampai botak).” Mereka berkata lagi: “Dan juga bagi mereka yang menggunting rambutnya, ya Rasulullah?” Kemudian Baginda bersabda: “Dan juga (semoga Allah merahmati) bagi mereka yang menggunting rambutnya.”

Riwayat Muslim (1301)

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *