#1698: Diterjah untuk Melihat Keadaan Rumah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Ada saudara buat permohonan bantuan zakat di satu negeri. Selang seminggu kemudian, hadir satu pasukan (hanya dua org pegawai lelaki)  buat siasatan ke rumah dengan mengejut dan terjah tanpa buat panggilan dahulu (tak pasti jika memang sebegitu prosedurnya).

Persoalan saya, jika tuan rumah (suami) tiada kerana keluar bekerja, dan pegawai ingin masuk tengok keadaan dalam rumah walaupun diminta si isteri tunggu di luar sekejap untuk mereka ambil gambar apa yang berkaitan, apakah dibenarkan pegawai tersebut masuk rumah?

Saya ada terdengar suatu kisah kalau tak silap isteri Nabi SAW (saya lupa maaf jika silap) ada ingin ziarah rumah seseorang yang dikatakan dialah ahli syurga. Tapi tak dibenarkan masuk kerana suami tiada dan perlu dapat keizinan suami dahulu. Kemudian datang lagi keesokan hari. Saya lupa rentetan cerita tu bagaimana atau mungkin ada masa Datuk boleh kongsi di post Datuk nanti. Berbalik kepada soalan saya tadi, mohon pencerahan. Jutaan terima kasih. Assalamualaikum.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Persoalan di atas adalah berkaitan cara dan kaedah sesuatu tindakan yang dijalankan.

Dalam menjawab persoalan di atas, perlulah mengikuti adab dan peraturan untuk masuk ke rumah seseorang, iaitu antaranya mesti meminta izin, mesti memberi salam dan mesti masuk ikut pintu hadapan.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّىٰ تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَىٰ أَهْلِهَا ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).”

(Surah al-Nur: 27)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Wahai orang-orang yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, janganlah kamu semua masuk ke dalam rumah orang lain, kecuali setelah kamu diizinkan masuk dan mengucapkan salam kepada penghuninya. Hal itu adalah supaya kamu tidak melihat aurat dan privasi orang lain dan mengejutkan para penghuninya yang sedang dalam keadaan tenang, yang akan menyebabkan mereka merasa terganggu, terusik, kesal dan tidak suka.

Oleh kerana itu, hendaklah meminta izin dan mengucapkan salam terlebih dahulu di luar pintu rumah agar dapat diketahui siapa orang yang ingin masuk. Ucapan salam adalah yang lazim dipraktikkan pada masa lampau di mana ketika itu rumah-rumah ketika itu tidak memiliki pintu bertutup serapat pintu rumah-rumah yang ada pada masa kini, kerana rumah-rumah pada masa itu tidak memiliki penutup yang memadai.

Perkataan ‘الاسْتِئْنَاس’ ertinya adalah ‘الاسْتِعْلَام’ (mencari tahu) dan ‘الاسْتِكْشَاف’ (berusaha mengungkap), daripada perkataan ‘آنس الشَّيْء’ yang bermaksud melihat sesuatu dalam keadaan jelas dan terbuka. Sesiapa yang ingin masuk ke rumah orang lain, dia hendaklah mencari tahu dari penghuni rumah, apa yang mereka inginkan, apakah mengizinkan atau tidak. Oleh kerana itu, perkataan ini maksudnya adalah sama dengan ‘الاسْتِئْذَان’ (meminta izin). Inilah juga seperti yang ditafsirkan oleh Ibn ‘Abbas R.Anhuma. Katanya lagi, ‘الاسْتِئْنَاس’ tidak akan diperolehi melainkan setelah adanya izin dan selepas meminta izin. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 18/201)

Hadith Nabi SAW, daripada Sahl bin Sa’ad al-Sa’idi, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الِاسْتِئْذَانُ مِنْ أَجْلِ البَصَرِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya meminta izin itu disyariatkan untuk menjaga pandangan.”

Riwayat al-Bukhari (6241) dan Muslim (2156)

Imam al-Nawawi berkata: Hadis ini menunjukkan bahawa meminta izin penghuni rumah ketika hendak memasuki rumahnya adalah sesuatu yang disyariatkan dan diperintahkan. Tujuannya adalah agar orang yang hendak memasuki rumah tersebut tidak melihat hal-hal yang diharamkan, seperti perempuan yang bukan mahram, yang kebetulan dalam keadaan tidak menutup auratnya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/285)

Selain itu, Nabi SAW juga mengajar bahawa antara adab apabila datang ke rumah seseorang, maka berdirilah di tepi pintu dan bukan di hadapan pintu rumah tersebut. Daripada ‘Abdullah bin Busr R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَتَى بَابَ قَوْمٍ لَمْ يَسْتَقْبِلِ الْبَابَ مِنْ تِلْقَاءِ وَجْهِهِ ، وَلَكِنْ مِنْ رُكْنِهِ الْأَيْمَنِ أَوِ الْأَيْسَرِ وَيَقُولُ : السَّلَامُ عَلَيْكُمُ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَذَلِكَ أَنَّ الدُّورَ لَمْ يَكُنْ عَلَيْهَا يَوْمَئِذٍ سُتُورٌ

Maksudnya: Apabila Rasulullah SAW sampai di pintu rumah seseorang, Baginda tidak akan berdiri menghadap pintu tersebut, sebaliknya Baginda akan berdiri di sisi kanan atau kiri pintu sambil mengucap ‘Assalamualaikum, Assalamualaikum’. Ini kerana ketika itu tiada langsir di pintu rumah.

Riwayat Abu Daud (4514)

Di samping itu juga, tetamu hendaklah memperkenalkan diri apabila diminta oleh tuan rumah. Daripada Jabir R.A, katanya:

أَتَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فِي دَيْنٍ كَانَ عَلَى أَبِي فَدَقَقْتُ الْبَابَ فَقَالَ ‏”‏ مَنْ ذَا ‏”‏‏.‏ فَقُلْتُ أَنَا‏.‏ فَقَالَ ‏”‏ أَنَا أَنَا ‏”‏‏.‏ كَأَنَّهُ كَرِهَهَا‏.‏

Maksudnya: Aku datang bertemu Rasulullah SAW atas urusan hutang bapaku. Aku pun mengetuk pintu rumah Baginda. Baginda pun bertanya: “Siapa itu?” Aku menjawab: “Saya.” Baginda menjawab: “Saya? Saya?” Seolah-olah Baginda tidak suka dengan jawapan tersebut.

Riwayat al-Bukhari (6250)

Justeru, sebaik-baiknya, biarlah mendapat keizinan dan ketetapan. Maka itu adalah lebih baik.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ.

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

 

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *