#1705: Tidak Sempat Menggantikan Puasa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya tidak menggantikan puasa kerana tidak mampu berpuasa disebabkan mengandung. Pada 15hb 3 ni dah kena admit wad. Tidak sempat saya menqadha’kan puasa. Apakah tindakan saya?

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Puasa pada bulan Ramadan adalah salah satu rukun daripada rukun-rukun Islam dan Allah telah menyatakan bahawa puasa ini diwajibkan kepada orang-orang yang beriman dari umat ini, sebagaimana juga diwajibkan kepada umat yang sebelum ini.Allah berfirman :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya:  Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

(Surah al-Baqarah, 183)

Apabila masuknya bulan puasa wajib ke atas setiap muslim yang mukallaf berpusa sepertimana yang telah diberfirman oleh Allah :

فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمْ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

Maksudnya :  sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu.

Surah al-Baqarah : 185

Namun, sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk berpuasa atas sebab keuzuran seperti sakit, musafir, haid dan sebagainya maka wajib ke atasnya untuk menggantikan semula pada hari yang lain. Firman Allah SWT:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya:  “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain;

(Surah al-Baqarah: 184)

Dalil di atas menunjukkan wajib menggantikan puasa bagi sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadan disebabkan sakit atau musafir atau sebab-sebab yang lain.Sekiranya tidak menggantikannya sehingga tiba Ramadan seterusnya maka ia berdosa dan perlu membayar fidyah (Lihat al-Fiqh al-Manhaji,3/118).Ini juga berdasarkan firman Allah SWT :

Firman Allah SWT:

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Maksudnya: “Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Golongan yang wajib dikenakan fidyah puasa ialah:

  1. Orang tua yang lemah dan pesakit yang tiada harapan sembuh.
  2. Ibu yang mengandung dan menyusukan bayi.
  3. Orang yang telah meninggal dunia dalam keadaan masih lagi mempunyai hutang puasa yang belum diganti.
  4. Musafir, pesakit dan orang yang melambatkan ganti puasa.

Kembali kepada persoalan yang diajukan, kami manyatakan bagi sesiapa yang tertinggal puasa Ramadan disebabkan musafir, sakit atau sebab-sebab lain, maka dia wajib menggantikannya sebelum tiba bulan Ramadan yang berikutnya. Namun sekiranya dia cuai dan tidak menggantikannya sehingga tiba bulan Ramadan berikutnya, maka dia dikira berdosa dan wajib menggantikan balik puasa yang ditinggalkan dan dikenakan denda membayar fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir miskin sehari secupak makanan kebiasaan penduduk negeri setempat bergantung kepada hari puasa yang ditinggalkan.Contohnya :

En Muhammad tidak mampu berpuasa selama 3 hari di dalam bulan Ramadan kerana pekerjaannya yang berat. Beliau hanya menggantikan puasanya selepas 2 tahun. Maka fidyah yang dikenakan ke atas beliau ialah:

Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah ( cupak )

3 hari X RM4.00 = RM12 (FIDYAH)

 

Wallahua’lam.

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *