#1716: Hutang Yuran Universiti

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika saya berhutang yuran pengajian dengan pihak Universiti tahun 1998. Oleh kerana kecuaian saya, saya telah teringat tentang hutang lebih kurang 10 tahun kemudian, saya telah menghubungi Universiti tersebut, saya tidak dapat jawapan kerana pihak berkenaan tak jumpa lagi rekod pengajian saya dengan menggunakan kad pelajar dan kad pengenalan saya. Jadi apa yang patut saya lakukan untuk menjelaskan hutang pengajian tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hutang yang dipinjam wajib dilunaskan dalam jumlah yang sama dengan yang diterima daripada pemiliknya dalam tempoh yang disepakati. Orang yang berhutang wajib melunaskan hutang dan apabila telah sampai tempoh yang disepakati dan setelah dia merasa berkemampuan untuk melunaskannya. Rasulullah SAW melarang daripada menangguhkan pembayaran hutang. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَطْلُ الْغَنِىِّ ظُلْمٌ وَإِذَا أُتْبِعَ أَحَدُكُمْ عَلَى مَلِىءٍ فَلْيَتْبَعْ

Maksudnya: “Penangguhan orang yang telah berkecukupan adalah perbuatan zalim, dan apabila tagihanmu dipindahkan kepada orang yang berkecukupan, maka hendaknya dia pun menurutinya.”

Riwayat Muslim (4085)

Dalam menjawab persoalan yang diajukan, suka kami nyatakan bahawa isu seumpama ini  telah dibahaskan di dalam Ahkam Syar’iyyah Siri ke 147: Hutang Terlalu Lama.[1]

Berbalik kepada persoalan di atas, kami syorkan buat saudara agar membayar hutang saudara dengan cara, membiayai yuran siswa lain yang kurang berkemampuan (mengikut kadar hutang). Dengan cara ini, saudara bukan sahaja dapat melunaskan hutang saudara, malah dapat membantu pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan.

Semoga dengan penjelasan ini memberi kefahaman kepada kita semua dalam memahami syariat Islam dengan lebih baik. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

[1] https://maktabahalbakri.com/147-hutang-terlalu-lama/

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *