#1718: Meletakkan Baja Daripada Najis Di Atas Kubur

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum meletak baja tahi ayam yang telah diproses di pokok atas kubur untuk menyuburkan pokok? Nota dari Google: Cara Baja Tahi Ayam Dihasilkan atau Diproses Pereputan (kompos) mengambil masa lebih dari 6 bulan. Barulah dijadikan baja. Disebabkan itu, baja tahi ayam adalah sejenis baja organik yang sangat baik.

Jawapan :

Alhamdulillah. Segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, tidak ada larangan dalam memberi baja kepada tanaman dengan baja yang najis, sama ada ia berasal daripada najis haiwan yang tidak boleh dimakan, najis manusia, bahagian haiwan yang mati, atau haiwan najis. Ini adalah pendapat jumhur ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, dan Syafi’i.

Ibn al-Qayyim menyatakan, jumhur ulama mengizinkan memanfaatkan najis seperti najis haiwan dalam pembajaan tanah untuk tujuan penanaman, berbuah, dan menghasilkan hasil dengan  najis itu sendiri. (Lihat Zad al-Ma’ad,5/664)

Imam al-Nawawi berkata: Pemberian baja tanah dengan najis adalah dibenarkan. Imam al-Haramain juga menyatakan: Tidak ada yang melarangnya, dan dalam pernyataan al-Saidalani terdapat perbezaan pendapat tentang hal ini, dan pendapat yang tepatnya adalah pemberian baja najis dibolehkan akan tetapi perbuatan yang makruh. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab,4/448)

Bukan itu sahaja, pemberian baja tanah dengan najis tidak mempengaruhi hasil dan tanaman, kerana najis telah suci melalui perubahan menjadi nutrisi yang baik yang diserap oleh pohon.

Hal ini ditegaskan oleh ketiadaan dampak najis pada buah, baik  pada warna, bau, mahupun rasa.

Syeikh Ibn al-‘Uthaimin berkata: Pendapat yang masyhur dalam mazhab Hanbali bahawa haram bagi buah atau tanaman yang disiram dengan najis atau dibaja dengan najis  disebabkan kekotoran tersebut sehingga ia disiram dengan air suci dan hilang kesan najis. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa tidak haram dan tidak  najis kecuali jika kesan najis tersebut terlihat pada biji atau buah dan ini merupakan pendapat yang tepat. Kebanyakan keadaan menunjukkan bahawa najis itu berubah menjadi halal dan tidak menunjukkan kesan pada biji dan buah. (Lihat Majmu’ al-Fatwa wa al-Rasail,11/52)

Menjawab persoalan di atas, kami berpandangan boleh untuk meletakkan baja daripada najis haiwan di atas kubur dengan bertujuan untuk menyuburkan pokok-pokok di atasnya dengan syarat tidak keterlaluan kerana itu bukanlah fokusnya yang utama. Sekalipun begitu sebaik-baiknya ia tidak dilakukan kerana untuk menjaga kemulian dan kehormatan tanah perkuburan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *